Adakah terdapat hadith mengenai cara mandi junub dengan menggosok tubuhnya menggunakan alat pembersih seperti sabun atau tidak


Soalan:



Adakah terdapat hadith mengenai cara mandi junub dengan menggosok tubuhnya menggunakan alat pembersih seperti sabun atau tidak?





 Jawapan:



Diwajibkan ketika mandi untuk menghilangkan hadath besar iaitu dengan menyiramkan air merata ke seluruh tubuh. Tidak disyaratkan menggunakan sabun atau alat pembersih lainnya. Rasulullah SAW tidak menyebutkan baginda menggunakan sidr (daun bidara) atau sikat atau pembersih lainnya. Yang ada adalah bahawa baginda menyiram air ke badannya secara merata.



Di antara riwayat tersebut adalah apa yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, sesungguhnya Nabi SAW,



كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي الْمَاءِ فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلَاثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ -صحيح البخاري، كِتَابُ الْغُسْلِ، بَابُ الْوُضُوءِ قَبْلَ الْغُسْلِ ،حديث رقم 248  



 



Nabi ﷺ apabila mandi junub, akan memulainya dengan mencuci kedua telapak tangannya. Kemudian Baginda berwudhuk sebagaimana wudhuk untuk solat.  Seterusnya Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menggosokkannya ke kulit kepalanya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepalanya dengan kedua telapak tangannya sebanyak tiga kali, kemudian Baginda mengalirkan (meratakan) air ke seluruh tubuhnya." (Riwayat al-Bukhari, no. 248)



 



Daripada Ummu Salamah RA, beliau berkata, aku bertanya: "Wahai Rasulullah, aku adalah wanita yang rambut mengerbang, adakah aku perlu melepaskannya apabila mandi junub? Baginda menjawab:



لَا، إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِي عَلَى رَأْسِكِ ثَلَاثَ حَثَيَاتٍ ، ثُمَّ تُفِيضِينَ عَلَيْكِ الْمَاءَ فَتَطْهُرِينَ



.صحيح مسلم، كِتَابٌ الْحَيْضُ، بَابٌ : حُكْمُ ضَفَائِرِ الْمُغْتَسِلَةِ، حديث رقم 330-



"Tidak perlu, sesungguhnya mencukupi bagi kamu menuangkan air ke kepalamu sebanyak tiga kali, kemudian kamu mengalirkan (meratakan) air ke seluruh tubuhmu, maka setelah itu engkau akan suci." (Riwayat Muslim, no. 330)



Kesimpulannya, kewajipan mandi junub adalah dengan air (melainkan jika ketiadaan air, ganti dengan tayammum) dan tidak diwajibkan menggunakan alat pembersih seperti sabun dan seumpamanya. Inilah yang ditunjukkan oleh sunnah Nabi SAW dan jika seseorang menggunakan sabun atau alat pembersih lainnya, maka diharuskan selepas selesai rukun mandi junub tersebut."



Wallahu a'lam.



 


Hits: 5078

Carian Hadith