Soalan: Adakah terdapat hadith mengenai berpuasa setelah pertengahan Sya’ban?


Soalan:



Adakah terdapat hadith mengenai berpuasa setelah pertengahan Sya’ban? Kerana saya mendengar bahawa Nabi SAW melarang berpuasa setelah pertengahan Sya’ban





Jawapan:



Diriwayatkan oleh Abu Daud, no. 3237, Tirmizi, no. 738, Ibnu Majah, no. 1651 dari Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:



إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلا تَصُومُوا



“Apabila telah memasuki pertengahan Sya’ban, maka janganlah kamu semua berpuasa.”



Hadith ini menunjukkan larangan berpuasa setelah pertengahan Sya’ban, iaitu dimulai dari  hari keenam belas. Akan tetapi ada (dalil) yang menunjukkan dibolehkannya berpuasa.



Di antaranya ialah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari, no. 1914. Muslim, no. 1082 dari Abu Hurairah radhiallahu anhu berkata, Rasulullaah SAW bersabda:



لا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلا يَوْمَيْنِ إِلا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ



“Janganlah kamu semua mendahului bulan Ramadan dengan berpuasa sehari atau dua hari, melainkan seseorang yang (terbiasa) berpuasa, maka berpuasalah.”



Perkara ini menunjukkan bahawa berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’aban diperbolehkan bagi  orang yang mempunyai kebiasaan berpuasa, seperti seseorang terbiasa berpuasa Isnin dan Khamis atau berpuasa sehari dan berbuka sehari atau seumpamanya.



Diriwayatkan oleh Bukhari, no. 1970, Muslim, no. 1156 dari Aisyah RA, dia berkata, kebiasaan Rasulullah SAW berpuasa pada seluruh bulan Sya’ban. (Maksudnya) berpuasa di bulan Sya’ban kecuali sedikit (beberapa hari yang tidak berpuasa)." tambahan dari Muslim.



An-Nawawi rahimahullah berkata: “Ungkapan



كَانَ يَصُوم شَعْبَان كُلّه , كَانَ يَصُومُهُ إِلا قَلِيلاً



kebiasaan Rasulullah SAW berpuasa pada seluruh bulan Sya’ban. (Maksudnya) berpuasa di bulan Sya’ban kecuali sedikit (beberapa hari yang tidak berpuasa)."



Perkataan kedua adalah penjelasan dari perkataan pertama, dan menjelaskan bahawa perkataan  ‘Kullahu’  maksudnya adalah Ghalibuhu, iaitu sebahagian besarnya.



Hadith ini menunjukkah dibolehkan berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’ban, akan tetapi bagi sesiapa yang ingin menyambung dengan berpuasa sebelumnya.



Ulama kalangan mazhab Syafii telah mengamalkan hadith-hadith ini, lalu mereka berkata, tidak dibolehkan berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’ban kecuali bagi orang yang terbiasa berpuasa  atau ingin meneruskan puasa sebelum pertangahan (Sya’ban). Dan ini adalah pendapat terkuat menurut kebanyakan (ulama mazhab Syafi’i) bahawa larangan dalam hadith adalah untuk pengharaman. Sebahagian lain berpendapat – seperti Ar-Ruyani- bahawa larangan tersebut bersifat makruh, bukan untuk mengharamkan. (lihat kitab Al-Majmu, 6/399-400, dan Fathul Bari, 4/129)



Imam An-Nawawi rahimahullah mengatakan dalam kitab Riyadul Shalihin, hal. 412: “Bab larangan mendahului Ramadan (dengan berpuasa) setelah pertengahan Sya’ban kecuali bagi orang yang meneruskan puasa sejak sebelum pertengahan (Sya’ban) atau bertepatan dengan kebiasaan berpuasa Isnin dan Khamis." 



Majoriti ulama melemahkan hadith larangan berpuasa setelah pertengahan Sya’ban. Berdasarkan perkara itu mereka mengatakan, tidak dimakruhkan berpuasa setelah pertengahan Sya’ban.



Kesimpulan jawabannya adalah bahawa larangan berpuasa dipertengahan kedua bulan Sya’ban  dianggap  makruh, bukan haram, kecuali bagi yang biasa berpuasa atau  ingin menyambung puasa yang telah dia lakukan sejak sebelum pertengahan bulan. Wallallahu’alam



Hikmah dari larangan ini ialah menyambung berpuasa dapat melemahkan dirinya untuk berpuasa di bulan Ramadan.



Jika ada yang mengatakan bahawa jika berpuasa dari awal bulan, mungkin dia lebih lemah lagi! Maka jawabannya adalah bahawa orang yang telah berpuasa sejak awal bulan, maka dia telah terbiasa berpuasa sehingga kelemahan akibat berpuasa akan berkurang.



Wallallahua’lam.


Hits: 819

Carian Hadith