Puasa Sunat 6 Syawal

Perawi : Abu Ayyub al-Ansari RA

Koleksi : Sahih Muslim

Kitab : كِتَابُ الصَّوْمِ - Puasa

Bab :Disunatkan Puasa 6 hari daripada Bulan Syawal Mengikuti Ramadhan

No. Hadith : 1164

Status :

Matan Hadith

 

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.رواه مسلم وأبو داود والترمذي وإبن ماجه وأحمد وغيرهم

-التخريج: صحيح مسلم، كتاب الصيام، باب استحباب صوم ستة أيام من شوال إتباعا لرمضان، حديث رقم 1164.

Terjemahan

Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa selama setahun."(Riwayat Muslim, Kitab ash-Shiyam, Bab Istihbabu Shaumi Sittati Ayyami Min Syawwalin Ittibaa’an Li Ramadhana, no. 1164)


Pengajaran

  1. Allah SWT dengan sifat Rahim-Nya telah mengurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang berpuasa dengan bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan akan memperolehi ganjaran puasa setahun apabila diikuti dengan enam hari puasa sunat dalam bulan Syawal. Berdalilkan satu riwayat hadith yang bermaksud: “Puasa Ramadhan pahalanya menyamai berpuasa selama sepuluh bulan dan berpuasa enam hari daripada bulan Syawal menyamai puasa selama dua bulan. Maka ianya mencukupi setahun.” (Hadith riwayat Ahmad, no. 21378, Ibn al-Khuzaimah dalam sahihnya, no. 2115, al-Darimi, no. 1755, al-Baihaqi dalam sunan al-Kubra, no. 8230). Dalam riwayat Ibn Majah 1715, ditambah: “Ini adalah kerana firman Allah SWT dalam surah al-An‘am, ayat 160 yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan amal kebaikan maka akan digandakan kepadanya pahala sepuluh kali ganda.”

 

  1. Jumhur fuqaha daripada mazhab al-Syafie, al-Hanbali dan sebahagian fuqaha al-Hanafi dan al-Maliki bersepakat mengatakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah mustahab (sunat). Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menaqalkan; Berkata Ashab al-Syafie: “Yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Eid al-Fitri, jika sekiranya tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal maka itu juga turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi).” Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qadha’ Ramadhan sebagaimana Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, Kitab Puasa, jilid 2, m/s: 52 (Dar Kutub al-Ilmiyah), menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa qadha’ dengan katanya yang bermaksud: “Contohnya sesiapa yang berniat puasa qadha’ pada hari isnin dan  dalam masa yang sama berniat puasa sunat hari isnin, maka  itu dibolehkan serta mendapat ganjaran kedua-duanya. Sebaliknya jika diniatkan puasa sunat sahaja maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” 

 

  1. Hukum menyatukan puasa qadha’ dengan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal atau hari-hari lain yang disunatkan berpuasa adalah harus dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seseorang yang telah menyempurnakan puasa sepenuhnya daripada sebulan Ramadhan. Bahkan menyegerakan qadha’ puasa itu adalah amalan yang terpuji dan dituntut oleh syarak kerana pahala ibadah puasa tersebut hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui dan akan memberikan ganjarannya. Setiap muslim hendaklah menjadikan amalan berpuasa sunat ini sebagai rutin dan kelaziman kerana telah terbukti natijah daripada berpuasa itu akan memelihara seseorang daripada segala sifat keji dan mungkar, mendorong untuk mengerjakan amalan kebaikan yang lain serta dapat menampung kekurangan daripada puasa wajib yang telah dilakukan.

 

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sahih Muslim
  2. Kitab Sunan Abu Dawud
  3. Kitab Sunan al-Tirmizi
  4. Kitab Sunan Ibn Majah
  5. Kitab Musnad Ahmad
  6. Kitab Syarh Sahih Muslim Li Imam al-Nawawi
  7. Kitab al-Mufhim Li Ma Usykila Min Talkhisi Kitabi Muslim
  8. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misyaktul al-Masobih
  9. Kitab al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie Li Ibn Hajar al-Haitami
Hits: 32975

Carian Hadith