Sanggul Bonggol Unta
Matan Hadith
حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ سُهَيْلٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا. رواه مسلم.
التخريج: صحيح مسلم , كِتَابُ اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ بَابُ النِّسَاءِ الْكَاسِيَاتِ الْعَارِيَاتِ الْمَائِلَاتِ الْمُمِيلَاتِ حديث رقم 2128 ,عن أبي هريرة رضي الله عنه.
Terjemahan
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Dua golongan daripada penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia dengannya dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya (mengoda lelaki ke arah melakukan zina). Kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget (supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu.” (Hadith riwayat Muslim, No. 2128 & 2856)
Pengajaran
- Aurat berasal daripada kalimah عَارٌ bermaksud celaka kerana seringkali pendedahan aurat membawa kepada kecelakaan dan kerosakan. Perkataan عِرْيَانٌ pula bermaksud aib dan memalukan. Secara moralnya orang yang mendedahkan aurat adalah berkelakuan tidak sopan dan sangat menjelekkan.
- Hadith ini menjelaskan mukjizat Nabi SAW dengan pengkhabaran sesuatu yang tidak berlaku pada zaman baginda SAW tetapi akan berlaku di masa hadapan iaitu mengenai dua golongan yang diancam menjadi ahli neraka;
- golongan yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia adalah gambaran akan tiba suatu masa penguasa atau pemimpin zalim yang akan mendera dan memeras orang bawahan serta rakyatnya dengan menggunakan kuasanya bagi menjatuhkan hukuman secara tanpa hak dan dengan jalan yang batil.
- golongan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang adalah memberi beberapa maksud antaranya :
(a) berpakaian dengan menggunakan nikmat Allah SWT tetapi telanjang daripada sikap mensyukurinya
(b) berpakaian tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak.
(c) cenderung kepada maksiat atau melakukan perkara yang mendorong orang lain kepada maksiat seperti bertabarruj (berhias dengan mendedahkan auratnya), memakai wangian, tidak menjaga suaranya, lenggang-lenggoknya yang menggoda, tanpa perasaan malu dan segan sehingga menimbulkan fitnah dan dosa.
- Hadith ini juga menyatakan bahawa Nabi SAW melarang wanita bersanggul seperti kepala mereka mempunyai bentuk bonggol unta yang senget”. Imam an-Nawawi menjelaskan maksud sanggul ini adalah samada mereka membesarkan rambut dengan cara melilit kain serban atau kain-kain yang lain. Pendapat lain mengatakan sanggul itu dibuat dengan menyambung rambut dengan rambut palsu yang jelas haram penggunaannya, atau untuk menarik perhatian dan menggoda orang lain kepada mereka di samping mendedahkan sanggul itu untuk diperlihatkan kepada orang ramai. Sesungguhnya mereka merupakan golongan yang dikutuk oleh Allah SWT. Bahkan mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak dapat mencium bau syurga walaupun sedikit.
- Allah SWT menciptakan wanita dengan pelbagai keistimewaan yang tersendiri seperti kecantikan rupa paras dan fizikal, sifat lemah-lembut, kehalusan kulit dan sebagainya, berbeza dengan kaum lelaki. Sehubungan dengan itu, Allah SWT telah menetapkan salah satu syariat-Nya ialah kewajipan menutup aurat dengan sempurna. Tujuan pensyariatan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memulia dan menghormati nilai diri setiap muslimah.
Sumber rujukan:
- Kitab Sahih Muslim
- Kitab Syarh Sahih Muslim Li An-Nawawi
- Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih
- Kitab Al-Mufhim Limaa Syukila min Talkhis Sahih Muslim Li Abu Abbas Ahmad bin Umar Al-Ansori Al-Qurtubi
- Kitab Nuzhah Al-Muttaqin Syarh Riyadus Salihin