Doa Memperbaiki Urusan Dunia & Akhirat

Perawi : Abu Hurairah RA

Koleksi : Sahih Muslim

Kitab :Kitab Zikir,doa,taubat dan Istighfar - كتاب الذكر والدعاء والتوبة والإستغفار

Bab :Mohon Perlindungan daripada keburukan amalan yang dilakukan dan yang tidak dilakukan

No. Hadith : 2720

Status :

Matan Hadith

حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ دِينَارٍ حَدَّثَنَا أَبُو قَطَنٍ عَمْرُو بْنُ الْهَيْثَمِ الْقُطَعِيُّ عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي سَلَمَةَ الْمَاجِشُونِ عَنْ قُدَامَةَ بْنِ مُوسَى عَنْ أَبِي صَالِحٍ السَّمَّانِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ.رواه مسلم والنسائي.

التخريج: صحيح مسلم , كتاب الذكر والدعاء والتوبة والاستغفار , باب التعوذ من شر ما عمل ومن شر ما لم يعمل , رقم حديث 2720 , عن أبي هريرة رضي الله عنه.

 

Terjemahan

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: "Adalah Rasulullah SAW sering berdoa:

اللّٰهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ

(Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi benteng pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah baki kehidupan ini sebagai tambahan (peluang) bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kebebasanku daripada segala kejahatan)". (Hadith riwayat Muslim, No. 2720, an-Nasaie, No. 1346, At-Tabrani dalam Mu’jam Al-Ausatd, No. 7257, dalam Mu’jam Al-Soghir, No. 865, Al-Bazar dalam musnadnya, No. 986)


Pengajaran

  1. Agama adalah cara kehidupan manusia yang menjadi panduan menuju jalan kebenaran. Hanya dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam sahajalah manusia itu akan mendapat kebahagian di dunia mahupun di akhirat sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ali- Imran, ayat 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”.
  1. Allah turunkan agama untuk menjadi benteng yang melindungi seseorang agar tidak tergelincir dan terjerumus dalam kesalahan dan maksiat. Ia menjaga manusia daripada kesesatan dan mengikut hawa nafsu dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan kehidupan dunia sebagai tempat persinggahan untuk hamba-Nya memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan kehidupan di akhirat yang kekal abadi.
  1. Allah SWT telah menetapkan ajal dan maut setiap insan. Justeru, jika Allah SWT memberikan baki kehidupan ke atas hamba-Nya, ia adalah peluang untuknya menambah amal soleh. Namun jika dihabiskannya dalam kemaksiatan maka sesungguhnya kematian itu adalah pembebasan dan penamat baginya daripada segala kejahatan. Oleh itu, sentiasalah berdoa agar Allah memperbaiki urusan kita di dunia dan di akhirat.

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sahih Muslim
  2. Kitab Sunan An-Nasaie
  3. Kitab Mu’jam Al-Ausatd Li At-Tabrani
  4. Kitab Mu’jam Al-Soghir Li At-Tabrani
  5. Kitab Al-Bahrul Al-Zukhar al-Ma’ruf bi Musnad Al-Bazzar
  6. Kitab Syarh Sahih Muslim Li An-Nawawi
  7. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih
Hits: 8499

Carian Hadith