Lidah Yang Berdosa

Hadith Sahih

Perawi : Abu Hurairah RA

Koleksi : Sahih Muslim

Kitab :Kitab Zuhud dan Ar-Raqaiq (Melunakkan Hati) - كتاب الزهد والرقائق

Bab :Bercakap dengan suatu perkataan punca dicampakkan ke neraka

No. Hadith : 2988

Status : Sahih

Matan Hadith

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ مَا فِيهَا يَهْوِي بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ. متفق عليه واللفظ لمسلم.
التخريج: صحيح مسلم , كتاب الزهد والرقائق , باب التكلم بالكلمة يهوي بها في النار , حديث رقم 2988 , عن أبي هريرة رضي الله عنه

Terjemahan

Daripada Abu Hurairah RA,  bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seseorang hamba apabila mengucapkan sesuatu perkataan tanpa diteliti akan kebenarannya, akan membuatkannya terjerumus ke dalam neraka yang dalamnya sejauh antara jarak timur ke barat." (Muttafaqun Alayhi, hadith riwayat Al-Bukhari, No. 6477, Muslim, No. 2988, Ahmad, No. 8567, lafaz hadith riwayat Muslim).


Pengajaran

1.  Lidah adalah suatu otot daripada anggota tubuh manusia yang ajaib. Ianya akan mengeluarkan sesuatu perkataan ataupun ungkapan yang diucapkan oleh seseorang. Perkataan atau ucapan tersebut boleh menjadi satu kebenaran dan kekadang boleh menjadi satu pembohongan. 
 
2.  Rasulullah SAW telah mengingatkan agar setiap Muslim hendaklah sentiasa menjaga pertuturannya. Sesuatu ucapan yang benar lagi memberikan kesan yang baik akan mendatangkan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT dan menjadi sebab seseorang dimasukkan ke dalam syurga. Namun adakalanya sekalipun ucapan yang benar tetapi dengan sebab tidak diselidiki adakah perkataan itu akan memberikan kesan yang baik ataupun buruk maka ia mungkin menjadi punca yang memasukkannya ke dalam neraka. Apatah lagi jika sesuatu ucapan yang buruk seperti mengeji, memfitnah, mengaibkan orang lain, berbohong dan seumpamanya pasti akan menyebabkan kehancurannya dan ianya adalah haram lagi berdosa.
 
3.  Oleh itu, kita hendaklah menilai setiap perkataan yang akan diucapkan walaupun baik, adakah ianya perlu? Adakah ianya akan mendatangkan kebaikan? Adakah ianya akan mendatangkan keburukan? Janganlah kerana keterlanjuran lidah, kita menjadi berdosa yang akan menatijahkan neraka sebagai tempat pembalasan.  وَنَعُوْذُ بِاللَّهِ مِنْهُ (kami memohon perlindungan Allah SWT daripadanya).
 
Sumber Rujukan :
1.  Kitab Sahih al-Bukhari
2.  Kitab Sahih Muslim
3.  Kitab Musnad Ahmad
4.  Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani
5.  Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih
Hits: 5242

Carian Hadith