Niat pun dah dapat pahala?

Hadith Sahih

Perawi : Ibnu Abbas RA

Koleksi : Sahih Al-Bukhari

Kitab :Kitab al-Riqaq (Melembutkan hati) - كتاب الرقاق

Bab :Sesiapa yang berniat baik atau buruk

No. Hadith : 6491

Status : Sahih

Matan Hadith

حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَارِثِ حَدَّثَنَا جَعْدُ بْنُ دِينَارٍ أَبُو عُثْمَانَ حَدَّثَنَا أَبُو رَجَاءٍ الْعُطَارِدِيُّ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ: قَالَ: إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ: فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً. رواه البخاري ومسلم في صحيحيهما بهذه الحروف.

[التخريج: صحيح البخاري , كتاب الرقاق , باب من هم بحسنة أو بسيئة , حديث رقم 6491 , عن ابن عباس رضي الله عنهما]

Terjemahan

Abu Ma'mar telah mengkhabarkan kepada kami, Abdul Warith telah mengkhabarkan kepada kami, Ja'd bin Dinar telah mengkhabarkan kepada kami, Abu Uthman telah mengkhabarkan kepada kami, Abu Raja' al-Útaridiyyi telah mengkhabarkan kepada kami, daripada Ibn Abbas RA, daripada Nabi SAW, Baginda meriwayatkan (hadith qudsi) daripada Tuhannya Azza Wa Jalla berfirman, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan (balasan) setiap kebaikan (pahala) dan setiap kejahatan (dosa). Kemudian Allah menjelaskan maksudnya: “Maka sesiapa berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya (kerana keuzuran), maka Allah SWT menulis kebaikan itu disisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna untuknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka Allah SWT menulis kebaikan itu disisi-Nya sebanyak sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan, sehingga gandaan kebaikan yang banyak untuknya. (Sebaliknya) Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak melakukannya (kerana takut kepada Allah SWT), maka Allah SWT menulis disisi-Nya satu kebaikan yang sempurna baginya. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan, lalu dia melakukannya, maka Allah akan menulis kejahatan itu baginya hanya sebagai satu kejahatan.”

(Hadith riwayat Al-Bukhari, No. 6491, Muslim, No. 131, Ahmad, No. 2684)


Pengajaran

  1. Niat, azam, tekad, cita-cita dan keinginan adalah lintasan hati seseorang dan apabila diniatkan ke arah kebaikan itu adalah anugerah dan taufik daripada Allah SWT. Andai seseorang itu sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melakukannya namun terdapat halangan (keuzuran), maka jangan putus asa mahupun kecewa kerana Allah Maha Mengetahui akan apa yang terdetik dalam hati seseorang hamba dan membalasnya dengan ganjaran kebaikan.
  1. Seseorang Muslim perlu menyedari dan memahami bahawa setiap apa yang terdetik dalam hatinya itu diketahui Allah SWT. Setiap manusia diberikan sifat ikhtiyariah iaitu pilihan dalam setiap amalan yang akan dilakukan. Namun, setiap niat kebaikan jika tidak mampu dilakukannya disebabkan keuzuran turut akan diberikan pahala. Begitu juga setiap niat kejahatan, jika tidak dilakukan kerana takut kepada Allah turut akan diberikan pahala untuknya. Maka apabila niat kejahatan terbit maka perasaan malu dan takut akan menjadi pendinding agar dirinya menjauhi kejahatan dan kemaksiatan. Maksud hadith Nabi SAW ;

“Sesungguhnya Allah SWT memaafkan umatku pada perkara (kejahatan) yang dibisikkan dalam dirinya selama mana dia tidak melakukannya dan tidak menuturkannya.” (Hadith riwayat Al-Bukhari, No. 6171 dan Muslim, No. 182).

  1. Manusia sering kali tertewas dan kecundang dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu sehingga meletakkan dirinya dalam lembah dosa dan kehinaan. Sekiranya tergelincir, segeralah bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat hamba-Nya Maha dan Pemurah.

Sumber rujukan :

1.Kitab Sahih al-Bukhari

2.Kitab Sahih Muslim

3.Kitab Musnad Ahmad

4.Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani

5.Kitab Syarh Al-Arbain An-Nawawiyyah Li Ibn Al-‘Attar

Hits: 8721

Carian Hadith