Antara Amalan Sunnah Di Hari Jumaat

Perawi : Ibn As-Sabaq RA

Koleksi :

Kitab :كتاب الطهارة Kitab al-Taharah

Bab :مَا جَاءَ فِي السِّوَاكِ - Siwak

No. Hadith : 143

Status :

Matan Hadith

عَنْ ابْنِ السَّبَّاقِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِي جُمُعَةٍ مِنْ الْجُمَعِ: يَا مَعْشَرَ الْمُسْلِمِينَ إِنَّ هَذَا يَوْمٌ جَعَلَهُ اللَّهُ عِيدًا فَاغْتَسِلُوا وَمَنْ كَانَ عِنْدَهُ طِيبٌ فَلَا يَضُرُّهُ أَنْ يَمَسَّ مِنْهُ وَعَلَيْكُمْ بِالسِّوَاكِ.

[التخريج : موطأ مالك كِتَابُ الطَّهَارَةِ , بَابُ مَا جَاءَ فِي السِّوَاكِ , حديث رقم 143 , عن ابن السباق وهو عبيد بن السباق الثقفي رضي الله عنه , وهو حديث المرسل]

(أخرجه ابن أبي شيبة في مصنفه ( فِي غُسْلِ الْجُمُعَةِ برقم 4943 ) والحافظ ابن حجر في المطالب العالية ( بَابُ الْغُسْلِ لِلْجُمُعَةِ برقم 734 ) والبيهقي في السنن الكبير ( وَمِنْ جُمَّاعِ أَبْوَابِ الْهَيْئَةِ لِلْجُمُعَةِ برقم 5571.

Terjemahan

Daripada Ibn As-Sabaq RA (menceritakan), bahawa pada suatu hari jumaat Rasulullah SAW bersabda: "Wahai kaum muslimin! Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan hari ini sebagai hari Eid (hari kebesaran), maka hendaklah kamu sekalian mandi. Barangsiapa memiliki wangian, maka tidaklah mengapa jika kamu berwangian dengannya dan hendaklah kamu bersiwak." (Hadith riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatto', No: 148, Ibn Abi Syaibah, No:4943, Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Matolib Al-'Aliyah, No:734, Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra, No:5571).


Pengajaran

Hari jumaat adalah hari Eid iaitu 'Hari Kebesaran' yang berulang setiap minggu atau lebih dikenali sebagai penghulu bagi segala hari. Hadith ini menjelaskan beberapa amalan sunnah yang perlu dilakukan pada hari jumaat, antaranya :

1- Mandi- Diwajibkan kepada yang berjunub dan disunatkan kepada selainnya melainkan kepada wanita dan kanak-kanak disebabkan tiada kewajipan untuk menunaikan solat jumaat. (Syarh Musnad As-Syafie Li Abi Qasim Ar-Rafie)

2- Memakai wangian - Disunnahkan berwangian sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi SAW. Bahkan Abu Hurairah RA mewajibkan berwangian pada hari jumaat. (Syarh Az-Zarqani 'Ala Muwatto' Imam Malek).

3- Bersiwak- Disunahkan bersiwak sebagaimana menjadi amalan Nabi SAW pada setiap waktu solat dan ketika.

Berkata Imam As-Syafie dalam kitabnya Al-Umm dengan mensyarahkan hadith bersiwak dengan menyatakan hadith tersebut merupakan dalil bahawa bersiwak adalah tidak wajib kerana jika sekiranya ianya wajib nescaya Nabi SAW akan memerintahkan umatnya bersiwak samada memberatkan atau tidak memberatkan sebagaimana hadith :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ يَرْفَعُهُ قَالَ لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلَاةٍ.رواه البخاري وأبو داود.

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah RA dan beliau memarfu'kannya kepada Nabi SAW, baginda bersabda: "Jika sekiranya aku tidak akan memberatkan keatas umatku, nescaya aku benar-benar akan memerintahkan mereka untuk bersiwak pada setiap kali solat." (Hadith riwayat Al-Bukhari, No: 887, 7242, Muslim, No:252, Abu Dawud, No: 47).

Selain itu ada banyak lagi amalan sunnah yang boleh diamalkan di hari jumaat yang tidak dinyatakan di sini.

Wallahu A'lam.

Hits: 13845

Carian Hadith