Kebaikan vs Dosa
Matan Hadith
عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ: الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ.
]التخريج : صحيح مسلم ,كتاب البر والصلة والآداب , باب تفسير البر والإثم , حديث رقم 2553 , عن النواس بن سمعان الأنصاري رضي الله عنه[
Terjemahan
Daripada an-Nawwas bin Sim‘an al-Ansari RA, beliau berkata: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebaikan dan dosa." Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kebaikan adalah akhlak yang baik. Manakala dosa adalah sesuatu yang membuat hati gementar dan bimbang serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya." (Hadith riwayat Muslim, No: 2553, at-Tirmizi, No: 2389, Ahmad, No: 16973).
Pengajaran
- Fitrah manusia adalah mahu memperoleh kebaikan dan menjadi individu yang baik kerana itulah akhlak yang baik. Dari aspek teori, menjadi baik tidaklah sukar kerana kebaikan itu adalah dengan mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
- Hati yang tenang adalah jiwa yang memiliki nur (cahaya) sehingga dapat membezakan antara perkara yang benar dan salah, perkara yang jujur dan yang bohong, perkara yang terpuji dan tercela, kerana itulah petunjuk yang datang daripada jiwa seseorang yang sentiasa melakukan kebaikan.
- Manusia fitrahnya suka melakukan kebaikan dan kebenaran. Melakukannya akan menyebabkan hati tenang. Manakala perkara dosa pula menggementarkan hati. Apabila melakukan dosa, hati akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan, berdebar-debar, resah gelisah, cemas, bimbang dilihat atau diketahui oleh orang lain