Menjauhi Percakapan dan Perbuatan Dusta

Hadith Sahih

Perawi : Abu Hurairah RA

Koleksi : Sahih Al-Bukhari

Kitab : Kitab Puasa - كتاب الصوم

Bab :Sesiapa yang tidak menjauhi percakapan dan perbuatan dusta ketika berpuasa

No. Hadith : 1903

Status : Sahih

Matan Hadith

حَدَّثَنَا آدَمُ بْنُ أَبِي إِيَاسٍ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ حَدَّثَنَا سَعِيدٌ الْمَقْبُرِيُّ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

التخريج: صحيح البخاري، كِتَابٌ : الصَّوْمُ. ، بَابُ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فِي الصَّوْمِ.، حديث رقم 1903

Terjemahan

Adam bin Abu Iyas telah menceritakan kepada kami, Ibnu Abu Dza'bi telah menceritakan kepada kami, Sa'id Al Maqbariy telah menceritakan kepada kami , dari ayahnya, daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makanannya dan minumannya.” 


Pengajaran

  1. Ibadah puasa merupakan ibadah jasmaniah dan rohaniah. Ia menjadi ibadah jasmaniah kerana menuntut kepada setiap yang berpuasa menahan lapar dan dahaga, serta daripada melakukan perkara lain yang membatalkan puasa.
  2. Puasa dikatakan sebagai ibadah rohaniah kerana ia menuntut agar setiap yang berpuasa bukan sahaja menjalani ibadah jasmaniah bahkan rohaniah iaitu dengan menahan diri daripada segala perkara yang akan mengurangkan pahala ibadah puasa termasuklah ucapan, perbuatan dan lintasan hati serta maksiat.
  3. Antara perkara yang ditegah dalam Islam adalah percakapan dan perbuatan yang membawa kepada pendustaan. Justeru, setiap Muslim hendaklah menjauhi percakapan dan perbuatan dusta agar ibadah puasa yang dilakukan mendapat pahala dan tidak menjadi sia-sia, serta membuahkan natijah kepada rohaniah orang yang berpuasa.
Hits: 2352

Carian Hadith