Keutamaan solat isyak dan subuh berjemaah

Hadith Sahih

Perawi : Buraydah RA

Koleksi : Sunan At-Tirmidzi

Kitab :Kitab Solat - كِتَابُ الصَّلاَةِ

Bab :Keutamaan solat isyak dan subuh berjemaah

No. Hadith : 223

Status : Sahih

Matan Hadith

حَدَّثَنَا عَبَّاسٌ الْعَنْبَرِيُّ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ كَثِيرٍ أَبُو غَسَّانَ الْعَنْبَرِيُّ، عَنْ إِسْمَاعِيلَ الْكَحَّالِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَوْسٍ الْخُزَاعِيِّ، عَنْ بُرَيْدَةَ الأَسْلَمِيِّ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ مَرْفُوعٌ هُوَ صَحِيحٌ مُسْنَدٌ وَمَوْقُوفٌ إِلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَلَمْ يُسْنَدْ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم‏.‏

Terjemahan

Daripada Buraidah al-Aslami, daripada Nabi SAW bersabda: Sampaikanlah gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam kegelapan malam menuju masjid-masjid, dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat.

Abu ‘Isa berkata: Hadith ini gharib melalui isnad ini secara marfu’, sanadnya sahih dan mawquf kepada sahabat-sahabat Nabi SAW dan tidak disandarkan kepada Nabi SAW.


Pengajaran

  1. Hadith ini menceritakan mengenai pahala orang yang banyak berjalan ke masjid dalam kegelapan malam bahawa mereka akan diterangi oleh cahaya pada hari kiamat.
  2. Perkara ini juga disebutkan dalam surah al-Hadid ayat 12 da 13.Maksudnya (Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): "Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya: yang demikian itu adalah kemenangan yang besar"(ayat 12) (Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: "Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu". (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): "Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)," serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa.(ayat 13)
  3. Lafaz al-Masysyain digunakan dengan sighah mubalagah (pola kepalingan) yang membawa maksud mereka yang selalu datang ke masjid berjalan kaki pada malam yang gelap.
  4. Hadith ini secara tidak langsung menceritakan mengenai keutamaan solat Isyak, Subuh, Tarawih dan Kusuf yang dikerjakan pada waktu yang gelap.
Hits: 1386

Carian Hadith