Menjama‘kan Antara Dua Solat

Perawi : Ibnu Abbas RA

Koleksi : Sunan At-Tirmidzi

Kitab :Kitab Solat - كِتَابُ الصَّلاَةِ

Bab :Solat

No. Hadith : 187

Status :

Matan Hadith

حَدَّثَنَا هَنَّادٌ، حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، عَنِ الأَعْمَشِ، عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ ‏.‏ قَالَ فَقِيلَ لاِبْنِ عَبَّاسٍ مَا أَرَادَ بِذَلِكَ قَالَ أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ ‏.‏ وَفِي الْبَابِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ ابْنِ عَبَّاسٍ قَدْ رُوِيَ عَنْهُ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ رَوَاهُ جَابِرُ بْنُ زَيْدٍ وَسَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ شَقِيقٍ الْعُقَيْلِيُّ ‏.‏ وَقَدْ رُوِيَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم غَيْرُ هَذَا ‏.

Terjemahan

Daripada Ibn ‘Abbas berkata: Rasulullah SAW menjama‘kan antara Zuhur dan Asar, dan antara Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa wujud perasaan takut ataupun hujan. Katanya: Dikatakan kepada Ibn ‘Abbas apakah kehendak nabi dengan yang demikian? Ibn ‘Abbas berkata: Nabi SAW tidak ingin menyusahkan umatnya. Pada bab ini terdapat riwayat daripada Abu Hurairah. Abu ‘Isa berkata: Hadith Ibn ‘Abbas telah diriwayatkan daripadanya daripada sanad yang lain. Jabir bin Zaid, Sa‘id bin Jubair dan ‘Abdullah bin Syaqiq al-‘Uqaili turut meriwayatkannya. Ia juga diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas daripada Nabi SAW selain daripada hadith ini.


Pengajaran

1. Tujuan Nabi SAW melakukan jama‘ antara dua solat adalah supaya tidak menyusahkan umatnya. Jika Nabi menyatakan jama‘ antara dua solat ialah bagi memudahkan umatnya nescaya ramai orang yang akan melakukan jama‘ ketika tidak bermusafir tanpa ada alasan yang kukuh. Apa yang dapat difahami daripada hadith ini ialah jama‘ dilakukan ketika terdapat keuzuran.

2. Jama‘ solat yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah jama‘ yang sebenar bukan Jama‘ Suwari. Jama‘ Suwari yang dimaksudkan oleh sesetengah ulama’ ialah nabi SAW melewatkan solat Zuhur hingga akhir waktunya kemudian ketika selesai waktu solat Zuhur Nabi solat Asar pada awal waktunya. Begitulah juga dengan solat Maghrib dan solat Isyak.

3. Jama‘ solat juga dibenarkan jika terdapat keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

4. Hadith ini juga menyebutkan tiga isu iaitu jama‘ solat tanpa rasa takut, tidak kerana musafir dan tidak pula kerana hujan.

Hits: 342

Carian Hadith