Berwuduk Cara Nabi SAW, Bagaimakah ia?

Perawi : Ali bin Abi Talib RA

Koleksi : Sunan At-Tirmidzi

Kitab :1. كتاب الطهارة Kitab al-Taharah

Bab :Berwuduk Cara Nabi SAW, Bagaimakah ia?

No. Hadith : 47

Status :

Matan Hadith

حَدَّثَنَا هَنَّادٌ وَقُتَيْبَةُ قَالَا حَدَّثَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ أَبِي حَيَّةَ قَالَ: رَأَيْتُ عَلِيًّا تَوَضَّأَ فَغَسَلَ كَفَّيْهِ حَتَّى أَنْقَاهُمَا ثُمَّ مَضْمَضَ ثَلَاثًا وَاسْتَنْشَقَ ثَلَاثًا وَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا وَذِرَاعَيْهِ ثَلَاثًا وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ مَرَّةً ثُمَّ غَسَلَ قَدَمَيْهِ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ثُمَّ قَامَ فَأَخَذَ فَضْلَ طَهُورِهِ فَشَرِبَهُ وَهُوَ قَائِمٌ ثُمَّ قَالَ أَحْبَبْتُ أَنْ أُرِيَكُمْ كَيْفَ كَانَ طُهُورُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ أَبُو عِيسَى وَفِي الْبَاب عَنْ عُثْمَانَ وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ وَابْنِ عَبَّاسٍ وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو وَالرُّبَيِّعِ وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أُنَيْسٍ وَعَائِشَةَ رِضْوَانُ اللَّهِ عَلَيْهِمْ حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ وَهَنَّادٌ قَالَا حَدَّثَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ عَبْدِ خَيْرٍ ذَكَرَ عَنْ عَلِيٍّ مِثْلَ حَدِيثِ أَبِي حَيَّةَ إِلَّا أَنَّ عَبْدَ خَيْرٍ قَالَ كَانَ إِذَا فَرَغَ مِنْ طُهُورِهِ أَخَذَ مِنْ فَضْلِ طَهُورِهِ بِكَفِّهِ فَشَرِبَهُ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ عَلِيٍّ رَوَاهُ أَبُو إِسْحَقَ الْهَمْدَانِيُّ عَنْ أَبِي حَيَّةَ وَعَبْدِ خَيْرٍ وَالْحَارِثِ عَنْ عَلِيٍّ وَقَدْ رَوَاهُ زَائِدَةُ بْنُ قُدَامَةَ وَغَيْرُ وَاحِدٍ عَنْ خَالِدِ بْنِ عَلْقَمَةَ عَنْ عَبْدِ خَيْرٍ عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حَدِيثَ الْوُضُوءِ بِطُولِهِ وَهَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ قَالَ وَرَوَى شُعْبَةُ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ خَالِدِ بْنِ عَلْقَمَةَ فَأَخْطَأَ فِي اسْمِهِ وَاسْمِ أَبِيهِ فَقَالَ مَالِكُ بْنُ عُرْفُطَةَ عَنْ عَبْدِ خَيْرٍ عَنْ عَلِيٍّ قَالَ وَرُوِيَ عَنْ أَبِي عَوَانَةَ عَنْ خَالِدِ بْنِ عَلْقَمَةَ عَنْ عَبْدِ خَيْرٍ عَنْ عَلِيٍّ قَالَ وَرُوِيَ عَنْهُ عَنْ مَالِكِ بْنِ عُرْفُطَةَ مِثْلُ رِوَايَةِ شُعْبَةَ وَالصَّحِيحُ خَالِدُ بْنُ عَلْقَمَةَ

Terjemahan

Hannad dan Qutaybah telah meriwayatkan kepada kami, kata mereka: Abu al-Ahwas telah meriwayatkan kepada kami, daripada Abi Ishaq, daripada Abi Hayyah, katanya: Aku melihat ‘Ali RA berwuduk. Beliau membasuh kedua-dua tapak tangannya hingga bersih, kemudian berkumur-kumur tiga kali dan memasukkan air ke hidung tiga kali, membasuh muka tiga kali dan tangannya (dari siku sampai hujung jari) tiga kali, menyapu kepalanya sekali, kemudian membasuh dua kaki hingga buku lali, kemudian berdiri lalu mengambil lebihan air wuduknya dan meminumnya dalam keadaan berdiri, lalu beliau berkata: “Aku suka menunjukkan kepada kamu semua bagaimana cara Rasulullah SAW berwuduk.”

Abu ‘Isa berkata: Pada bab ini terdapat riwayat daripada ‘Uthman RA, ‘Abdullah bin Zaid RA, Ibn ‘Abbas RA, ‘Abdullah bin ‘Amru RA, ar-Rubaiyyi’ RA, ‘Abdullah bin Unais RA, dan ‘Aisyah RA. Qutaybah dan Hannad telah meriwayatkan kepada kami, kata mereka: Abu al-Ahwas telah meriwayatkan kepada kami, daripada Abi Ishaq, daripada ‘Abd Khayr, beliau menyebutkan daripada ‘Ali RA seperti hadith Abu Hayyah, kecuali ‘Abd Khayr berkata: Apabila beliau (Ali RA selesai mengambil wuduk, beliau menceduk lebihan air wuduknya dengan tapak tangan lantas meminumnya. Kata Abu ‘Isa: Hadith ‘Ali RA yang diriwayatkan oleh Abu Ishaq al-Hamdaniy, daripada Abi Hayyah, ‘Abd Khayr, dan al-Harith, daripada ‘Ali RA. Hadith ini turut diriwayatkan oleh  Zaidah bin Qudamah dan selainnya daripada Khalid bin ‘Alqamah, daripada ‘Abd Khayr, daripada ‘Ali RA dengan hadith wuduk dengan (bentuk) yang panjang. Hadith ini adalah hasan sahih. Hadith ini diriwayatkan juga oleh Shu‘bah daripada Khalid bin ‘Alqamah, namun beliau keliru dalam menyebutkan namanya dan nama bapanya. Beliau (Abu ‘Isa) mengatakan ia turut diriwayatkan Malik bin ‘Urtufah, daripada ‘Abd Khayr, daripada ‘Ali RA. Beliau menambah, hadith ini diriwayatkan juga daripada Abi ‘Awanah, daripada Khalid bin ‘Alqamah, daripada ‘Abd Khayr, daripada ‘Ali RA. Kata beliau lagi, ia diriwayatkan juga daripadanya (Abu ‘Awanah) daripada Malik bin ‘Urtufah sama dengan riwayat Shu‘bah dan riwayat yang sahih adalah riwayat Khalid bin ‘Alqamah.


Pengajaran

1. Para sahabat bersungguh-sungguh mencontohi segala apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Hadith ini menceritakan bagaimana Ali RA telah mencontohi cara wuduk Rasulullah SAW. Beliau juga turut meminum lebihan air wuduknya (dalam bekas) yang menunjukkan bahawa lebihan air wuduk adalah suci.

2. Hadith ini turut mengisyaratkan bagaimana ‘Ali RA minum sambil berdiri. Beberapa riwayat juga pernah mengisyaratkan bahawa Rasulullah SAW dalam beberapa keadaan telah minum sambil berdiri sedangkan beberapa hadith lain melarang seseorang minum sambil berdiri. Sebenarnya, perbuatan Nabi SAW minum sambil berdiri menunjukkan ia harus, namun yang disunatkan bagi seorang Muslim ialah minum sambil duduk.

Hits: 472

Carian Hadith