Dua Penasihat Bagi Seorang Pemimpin

Hadith Sahih

Perawi : Abu Sa’id Al-Khudri RA

Koleksi : Sahih Al-Bukhari

Kitab :Takdir - كِتَابٌ الْقَدَرُ

Bab :yang maksum adalah yang dipelihara oleh Allah

No. Hadith : 6611

Status : Sahih

Matan Hadith

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا اسْتُخْلِفَ خَلِيفَةٌ إِلَّا لَهُ بِطَانَتَانِ بِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالْخَيْرِ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ وَبِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالشَّرِّ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ وَالْمَعْصُومُ مَنْ عَصَمَ اللَّهُ

التخريج: صحيح البخاري،  كِتَابٌ الْقَدَرُ، بَابٌ الْمَعْصُومُ مَنْ عَصَمَ اللَّهُ، حديث رقم 6611.

Terjemahan

Daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a.,  daripada Nabi ﷺ bersabda: "Tidak ada yang dipilih menjadi pemimpin kecuali dia mempunyai dua penasihat. Penasihat yang mengajaknya melakukan kebaikan dan memberi semangat ke arah kebaikan dan penasihat yang menyuruhnya  melakukan kejahatan dan mendorongnya ke arah kejahatan. Namun, yang terpelihara (dari dosa dan kesalahan) hanyalah yang dipelihara oleh Allah SWT.”  


Pengajaran

  1. Kepimpinan merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang dipikul apabila seseorang itu dilantik menjadi pemimpin. Setiap kepimpinan itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT adakah dirinya telah menunaikan amanah ini dengan sebaiknya.
  2. Dalam hadith ini, Nabi SAW mengingatkan bahawa bagi setiap pemimpin akan ada dua jenis penasihat. Imam Ibn Hajar al-Asqolani (13/191) dalam mensyarahkan hadith ini mengatakan: “Dua penasihat itu boleh jadi malaikat atau pun syaitan.” Jika penasihat itu bersifat seperti malaikat, maka dia akan dibantu, dinasihati, ditegur, diajak untuk melakukan kebaikan dan dihalang untuk melakukan maksiat. Sebaliknya jika penasihat itu bersifat seperti syaitan, maka dia akan diajak kepada keduniaan, dihasut dan ditipu ke arah kehancuran. Namun yang terpelihara daripada godaan dan tipu daya syaitan hanyalah yang dipelihara oleh Allah SWT.
  3. Oleh itu, setiap pemimpin hendaklah bertawakal dan memohon pertolongan kepada Allah SWT atas kelemahan dirinya serta kebergantungannya hanyalah kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Memelihara lagi Maha Pengampun.

 

  1. Kitab Sahih al-Bukhari
  2. Kitab Fathu al-Bary
  3. Kitab Syarhu Sahihu al-Bukhari Li Ibni Battal
Hits: 2189

Carian Hadith