Katakan 'Aku Berpuasa'

Hadith Sahih

Perawi : Abu Hurairah RA

Koleksi : Sunan Abu Dawud

Kitab :Kitab Puasa - كِتَاب الصِّيَام

Bab :Ghibah Bagi Orang Berpuasa

No. Hadith : 2353

Status : Sahih

Matan Hadith

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الصِّيَامُ جُنَّةٌ، إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ، فَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ، فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ، إِنِّي صَائِمٌ.

-أخرجه أبو داود في سننه، كِتَابٌ الصَّوْمُ، بَابٌ الْغِيبَةُ لِلصَّائِمِ، حديث رقم 2363، وقال الأرنؤوط، إسناده صحيح.

Terjemahan

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Puasa adalah perisai (daripada perbuatan dosa). Apabila seseorang di antara kamu berpuasa, maka janganlah (samada dari segi perbuatan ataupun percakapan) dia melakukan perkara keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil. Sekiranya seseorang mengajaknya bertengkar atau menghinanya, maka hendaklah dia mengatakan: “Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa”.

(Riwayat Abu Dawud, Kitab ash-Shaum, Bab al-Ghibah Li as-Shaimi, no. 2363, berkata al-Arna’ut, sanadnya sahih)


Pengajaran

1.Puasa diibaratkan seperti perisai yang menyelamatkan orang yang berpuasa, dari melakukan sebarang maksiat  dan dosa-dosa besar, kerana maksiat itu akan menjerumuskan pelakunya ke dalam neraka Jahannam.

2.Puasa adalah ibadah zahir dan batin. Zahirnya adalah dengan memelihara diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Manakala batinnya pula dengan menjaga hati, percakapan, perbuatan dan apa jua perkara yang akan mendatangkan dosa dan merosakkan hati.

3.Justeru, apabila diajak bertengkar atau dihina, hendaklah dia memperingatkan dirinya dan si pelaku tadi dengan mengatakan aku berpuasa agar masing-masing mendapat peringatan bersama untuk menjaga adab dan tuntutan amalan puasa itu sendiri.

Hits: 2606

Carian Hadith