Berhati-Hati Dalam Menyebarkan Berita

Hadith Sahih

Perawi : Hafsh bin ‘Ashim RA

Koleksi : Sahih Muslim

Kitab :Kitab al-Muqaddimah (Pengenalan) - كتاب المقدمة

Bab :Larangan Menceritakan Semua yang Didengari

No. Hadith : 5

Status : Sahih

Matan Hadith

 
عَنْ حَفْصٍ بْنِ عَاصِمٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ. رواه مسلم وأبو داود
 
التخريج: صحيح مسلم، كتاب المقدمة، باب النهى عن الحديث بكل ما سمع، حديث رقم 5.

Terjemahan

Daripada Hafsh bin ‘Ashim RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta apabila dia menceritakan semua apa yang didengari." (Hadith riwayat Muslim, no. 5 dan Abu Dawud, no. 4992)


Pengajaran

 

1. Setiap perkhabaran atau berita itu boleh membawa kepada kebenaran atau kepada kedustaan. Ianya perlu diselidiki daripada siapa dan sumber yang menyampaikannya. Jika ianya daripada seseorang yang benar lagi dipercayai atau daripada sumber yang berautoriti maka ianya akan menepati kebenaran. Sebaliknya pendustaan adalah diharamkan kerana ianya berlawanan dengan kebenaran dan membawa kepada dosa.

2. Hadith ini telah diletakkan dalam Sahih Muslim pada Bab “Larangan Menceritakan Semua yang Didengari” dan Imam al-Nawawi mengatakan dalam syarahnya (1/75) : “Adapun makna hadith ini dan makna athar-athar yang seumpamanya merupakan peringatan daripada menyampaikan setiap berita yang didengari oleh seseorang, kerana biasanya dia mendengar khabar yang benar dan yang dusta. Jika dia menyampaikan setiap yang didengari, bererti dia telah berdusta karena menyampaikan sesuatu yang tidak tepat. Manakala Imam Al-Munawi pula dalam kitabnya Faidh al-Qadir (5/3) berkata: “Maksudnya adalah, jika dia tidak memastikan kebenaran suatu berita yang didengari (maka dia dianggap pendusta), sebab biasanya berita yang didengari terkadang benar dan terkadang dusta, maka jika dia menyampaikan semua yang didengari, maka dia tidak akan terlepas daripada kedustaan.”

3. Demikianlah ketentuan syariat, bahawa orang yang tidak berusaha memastikan kebenaran khabar atau berita yang didengari sebelum menyampaikannya, dihukumi sebagai pendusta. Seseorang itu tidak dapat menjangkau seluruh maklumat mengenai kebenaran atau kedustaaan sesuatu khabar atau berita. Walaupun khabar atau berita yang seakan yakin kebenarannya perlu diteliti terlebih dahulu dan mendapat kepastian dari sumber yang sahih bukannya disebarkan khabar atau berita tersebut dengan tujuan mencari simpati, publisiti atau sengaja atau tidak sengaja mencari kesalahan orang lain dengan niat yang pelbagai seperti hasad dengki, amarah, tidak puas hati dan seumpamanya. Jika wujud keraguan dalam berita atau khabar angin atau rumours tentang sesuatu perkara hendaklah dijauhi kerana ianya akan membawa kepada perpecahan dan penyesalan. Dunia tanpa sempadan hari ini, banyak fitnah dan berita dusta dijadikan sandaran. Kekadang sesuatu khabar atau berita bukan kerana keabsahan informasi yang terkandung di dalamnya, tetapi ukuran tersebut dibuat berasaskan berapa ramai yang ‘like’ dan ‘hangat’nya info tersebut. Fahamilah bahawa jumlah ‘like’ mahupun ‘dislike’ tersebut bukanlah syarat ‘mutawatir’ khabar atau berita tersebut, adakalanya dasar perkhabaran yang disebarkan itu mempunyai bukti kekeliruan dan kepalsuan. Sebagai seorang Muslim perlu ada sifat al-Tasabbut (yakin dengan berita yang disampaikan) dan al-Tabayyun (berusaha untuk mengetahui hakikat kebenaran).

 

Sumber rujukan:

1. Kitab Sahih Muslim
2. Kitab Sunan Abu Dawud
3. Kitab Syarh Muslim
4. Kitab Faidh al-Qadir

 

Hits: 5445

Carian Hadith