Anak Memerdekakan Ibu Bapanya

Perawi : Abu Hurairah RA

Koleksi : Sahih Muslim

Kitab :Kitab Pemerdekaan - كِتَابٌ الْعِتْقُ

Bab :Kelebihan Memerdekakan Seorang Ayah

No. Hadith : 1510

Status :

Matan Hadith

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا، إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا، فَيَشْتَرِيَهُ، فَيُعْتِقَهُ.

التخريج: صحيح مسلم، كِتَابٌ الْعِتْقُ، بَابٌ فَضْلُ عِتْقِ الْوَالِدِ، حديث رقم 1510.

Terjemahan

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang anak belum dikatakan dapat membalas (kebaikan) bapanya, kecuali jika didapati bapanya sebagai hamba sahaya, lalu dia membelinya dan memerdekakannya."

(Hadith riwayat Muslim, no. 1510, Abu Dawud, no.5137, at-Tirmizi, no. 1906, Ibn Majah, no. 3659, Ahmad, no. 6846)


Pengajaran

  1. Allah SWT telah menciptakan manusia di atas muka bumi dengan sebaik-baik kejadian dan menjadikan manusia sebagai khalifah yang akan memakmurkannya. Antara sebaik-baik insan di atas muka bumi ini adalah ibu bapa. Dengan asbab ibu bapalah  yang membawa kepada kelahiran manusia ke dunia.  Justeru  itu Islam meletakkan ibu bapa di tempat yang tinggi dalam hubungan kekeluargaan bahkan digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 23 yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan kamu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.

  1. Dalam menjelaskan hadith ini Imam al-Nawawi (dalam syarahnya, Juzu’ 10, halaman 392) telah meletakkan hadith ini dalam Bab Kelebihan Memerdekakan Seorang Ayah, mengatakan: “Bahawa seseorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan mahupun menyempurnakan haknya sebagai seorang anak kepada ayahnya sehinggalah dia memerdekakan ayahnya tersebut”. Imam al-Sindi pula dalam mensyarahkan hadith ini mengatakan: “Penghambaan adalah satu kebinasaan, maka dengan pemerdekaan adalah seperti melepaskannya daripada kebinasaan kepada satu kehidupan”. Perumpamaan yang dibawa dalam hadith ini adalah jika sekiranya ayahnya itu dijadikan hamba sahaya, lalu dia membelinya dan memerdekannya barulah seolah-olah dia telah membalas kebaikan ayahnya tersebut yang telah menjadi punca kelahirannya. Namun jika dilihat dalam konteks pada zaman ini sistem penghambaan sudah tidak berlaku tetapi dalam konteks kehidupan sebenar seseorang anak itu mungkin telah meletakkan ayahnya sebagai hamba kepada kemiskinan dengan tidak memberikan nafkah dan menyara kehidupan kedua ibu bapanya. Hadith ini juga menjadi dalil perbahasan fuqaha’ dalam hukum penghambaan dan pemerdekaannya.
  1. Disamping kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dilahirkan diatas dunia ini, hendaklah setiap anak berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang telah melahirkannya. Tanda syukur kepada Allah SWT dengan menyempurnakan amal ibadah hanyalah kepada-Nya dan tanda berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa adalah berbuat baik kepada mereka dengan cara mentaati, memastikan keperluan mereka dipenuhi, memberi nafkah, melayani dengan baik, sentiasa merendah diri serta mendoakan kesejahteraan mereka. Bahkan ibubapa merupakan anugerah yang istimewa buat setiap insan. Menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap anak untuk menjaga kedua ibu bapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik kepada mereka. Ingatlah, dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi. Rasulullah SAW pernah bersabda:

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ.

أخرجه الحاكم في المستدرك على الصحيحين، كِتَابُ الْبِرِّ وَالصِّلَةِ ، وَالْوَجْهُ الثَّالِثُ،  حديث رقم 7263، عن أبي بكرة رضي الله عنه، وقال هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه.

Maksudnya:

“Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah SWT hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali dosa derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah SWT akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidupnya sebelum kematiannya lagi.” (Hadith riwayat al-Hakim, no. 7263)

Semoga dengan berbakti kepada kedua ibu bapa akan mememerdekan seseorang anak daripada haknya dihadapan Allah SWT di akhirat nanti.

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sahih Muslim
  2. Kitab Sunan Abu Dawud
  3. Kitab Sunan al-Tirmizi
  4. Kitab Sunan Ibn Majah
  5. Kitab Musnad Ahmad
  6. Kitab al-Mustadrak ala al-Sahihain
  7. Kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim
  8. Kitab Hasyiah al-Sindi
Hits: 2934

Carian Hadith