Sebaik Ucapan Terima Kasih
Matan Hadith
عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ، فَقَالَ لِفَاعِلِهِ: جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا، فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ.
التخريج: جامع الترمذي، كتاب البر والصلة، باب ما جاء في الثناء بالمعروف، حديث رقم 2035، عن أسامة بن زيد رضي الله عنه وقَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ جَيِّدٌ غَرِيبٌ لَا نَعْرِفُهُ مِنْ حَدِيثِ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ إِلَّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ.
Terjemahan
Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang diperlakukan dengan baik kepadanya kemudian dia mengucapkan kepada yang melakukan kebaikan tersebut: “جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا” (Semoga Allah membalas kebaikanmu dengan sebaik-baik pembalasan), maka sungguh dia telah memberikan pujian yang terbaik." (Hadith riwayat al-Tirmizi, no. 2035, al-Nasaie dalam sunan al-Kubra (6/53), no. 10008).
Pengajaran
1- Terima kasih adalah lafaz yang sering diucapkan oleh seseorang kepada seseorang yang lain sebagai tanda menghargai kebaikan yang telah dilakukan ke atas dirinya dan orang lain. Adakalanya kebaikan seseorang tidak mampu untuk dibalas dalam bentuk perbuatan, harta benda atau kewangan namun dengan ucapan terima kasih adalah sudah mencukupi sebagai tanda pujian dan penghargaan terhadap kebaikan tersebut. Bahkan perbuatan berterima kasih ini adalah suatu amalan yang terpuji dan amat disukai sesama insan.
2- Dalam hadith ini Nabi SAW telah mengajarkan kepada umat baginda suatu lafaz yang paling baik dalam menyatakan pujian dan penghargaan atas kebaikan yang telah dilakukan. Imam al-Munawi dalam kitabnya Faidh al-Qadir (1/526) mensyarahkan maksud hadith ini dengan berkata: “Maksud ucapan Nabi SAW: “فقد أبلغ في الثناء” (maka sungguh dia telah memberikan pujian yang terbaik) iaitu dia telah menyempurnakan dalam pujian itu dan telah berusaha membalas kebaikan terhadapnya dengan menyebut lafaz yang paling mencukupi lagi indah bagi membalas kebaikan tersebut dengan berdoa untuknya agar Allah SWT membalasnya dengan ganjaran pahala yang besar. Walaubagaimanapun jika digabungkan dengan membalas kebaikan tersebut sebagaimana yang telah dilakukan kepadanya, maka itu adalah lebih sempurna sebagaimana yang disebutkan oleh riwayat ini. Perlu juga difahami bahawa di akhir hadith ini menjelaskan "sudah mencukupi hanya dengan berdoa" jika sekiranya tidak mampu untuk membalas kebaikan tersebut sebagaimana kebaikan yang telah diberikan kepadanya. Namun doa ini hanyalah terbatas sesama Muslim, manakala jika bukan Muslim cukuplah kita mendoakannya dengan dibanyakkan harta, anak-anak dan kesihatan yang baik.
3- Hakikatnya Pemberi nikmat yang hakiki adalah Allah SWT manakala seseorang yang melakukan kebaikan adalah perantara untuk sampainya kebaikan tersebut. Hanya Allah SWT bersifat al-Syakur iaitu yang Maha Sempurna dalam memberikan ganjaran dan balasan atas setiap kebaikan yang dilakukan. Seseorang yang tidak berterima kasih sesama manusia, maka sebenarnya dia juga tidak bersyukur kepada Allah SWT. Justeru, ucaplah terima kasih atas setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang kepada diri kita dengan berdoa sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith ini. Mudah-mudahan kita akan memperolehi banyak lagi kebaikan pada masa akan datang.
Sumber rujukan:
- Kitab Jamie al-Tirmizi
- Kitab Sunan al-Kubra Li An-Nasaie
- Kitab Tuhfatul al-Ahwazi
- Kitab Faidh al-Qadir Li al-Munawi
- Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih