Fadhilat Puasa 'Asyura
Matan Hadith
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ. رواه مسلم
التخريج: صحيح مسلم، كِتَاب الصِّيَامِ ، إستحباب صيام ثلاثة أيام مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَصَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ، حديث رقم 1162، عن أبي قتادة رضي الله عنه.
Terjemahan
Daripada Abu Qatadah al-Anshari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Dan adapun puasa pada hari 'Asyura juga dihitung di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya." (Hadith riwayat Muslim, no. 1162-196)
Pengajaran
1. 'Asyura adalah berasal daripada perkataan Arab 'asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari 'Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram. Nabi SAW sendiri sentiasa mengalakkan umat baginda untuk berpuasa pada hari 'Asyura disebabkan keistimewaannya. Dalam hadith ini, Allah SWT menganugerahkan kepada hamba-Nya yang berpuasa sehari (hari 'asyura) mendapat pengampunan dosa selama setahun. Imam al-Nawawi dalam syarahnya al-Minhaj (Jilid 3, muka surat 234) menyatakan bahawa keampunan dosa tersebut hanya ke atas dosa-dosa kecil sahaja manakala bagi dosa-dosa besar keampunannya tidak dapat tidak mestilah dengan bertaubat kepada Allah SWT.
2. Selain berpuasa pada hari 'Asyura, umat Islam juga digalakkan berpuasa pada hari ke-9 Muharam sebagaimana hadith riwayat Muslim, no. 1134 (133). Imam al-Nawawi dalam syarahnya al-Minhaj (Jilid 3, muka surat 205) dalam menghuraikan hadith ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulama di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan lain-lain berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10 Muharram. Ini kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 ('Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (pada tahun berikutnya). Menurut Imam al-Nawawi lagi: “Sebahagian ulama berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10 sahaja.” Manakala al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqolani dalam Fathul Bary (4/288) berkata: "Cara berpuasa 'Asyura terbahagi kepada tiga tingkatan;
2.1 Tingkatan paling rendah adalah puasa hari kesepuluh sahaja
2.2 Tingkatan lebih tinggi adalah puasa hari ke-9 dan ke-10; dan
2.3 Tingkatan lebih tinggi lagi adalah puasa hari ke-9, ke-10, dan ke-11. Wallahu a'lam."
3. Ketahuilah, bahawa Allah SWT Maha Pemurah Lagi Maha Pengampun. Keampunan Allah SWT Maha Luas sehinggakan seseorang hamba yang mempunyai dosa sebanyak buih di lautan sekalipun jika dia bertaubat dengan sebenar-benar taubat pasti Allah SWT akan mengampuninya. Dalam banyak hadith telah mengambarkan betapa pemurahnya Allah SWT dengan menjadikan dengan amalan yang sedikit tetapi menjadi penyebab diampunkan dosa. Dalam hadith ini, Allah SWT menganugerahkan dengan hanya berpuasa sehari dapat mengampunkan dosa selama setahun. Justeru, marilah kita merebut peluang pada bulan yang mulia ini untuk menambah amalan dengan berpuasa sunat dan amalan-amalan kebaikan lain sebagai tanda syukur dan mengikuti sunnah Nabi SAW.
Sumber rujukan:
1. Kitab Sahih al-Bukhari
2. Kitab Sahih Muslim
3. Kitab Fathul Bary Li Ibn Hajr al-'Asqolani
4.Kitab Syarh Sahih Muslim Li al-Nawawi
5. Kitab al-Majmu' 'Ala Syarh al-Muhazzab