Tokoh Sahabat

Ibn Mas'ud RA
Zon: Kurun 1
Kelahiran

Abdullah Bin Mas’ud Bin Ghafil Bin Habib Bin Al-Huzaili, Abu Abdul Rahman. Ibunya ialah ummu Abdullah daripada qabilah Huzaili juga. Beliau termasuk dikalangan yang mula-mula masuk islam. Diriwayatkan bahawa beliau orang yang ke enam memeluk islam. Antara biografi ringkasnya ialah: Beliau orang yang pertama menyaringkan bacaan al-quran di Mekah di hadapan orang kafir.

Berhijrah ke Kota Habsyah kemudian ke Kota Madinah, menyertai bersama Rasulullah SAW peperangan Badar, Bai’ah al-Ridhuan dan semua peperangan. Kemudian menyertai peperangan yarmuk selepas kewafatan Rasulullah SAW Beliau dimuliakan dan dikasihi Rasulullah SAW. Pernah berkhidmat sebagai khadam Rasulullah SAW dengan penuh amanah. Memegang banyak rahsia Rasulullah. Menjadi teman Rasulullah SAW dalam musafir.

Beliau diizinkan masuk bertemu Rasulullah SAW pada sepanjang masa dan membawa siwak sepatu dan air untuk Rasulullah.Termasuk di kalangan ulama’ sahabat yang besar dan menghafaz al-quran. Rasulullah pernah berkata padanya: "Sesungguhnya kamu seorang budak yang layak menjadi guru".

Meriwayatkan sebanyak 848 hadith. Umar melantiknya menjadi gabenor di Kufah dan juga penguasa Baitulmal. Kembali ke Kota Madinah pada zaman pemerintahan Uthman. Meninggal pada tahun 32 hijrah atau selepasnya dalam usia 60 tahun di Kota Madinah.
>