Glosari

Al-Mutaba’ah (sokongan) (المتابعة )
Dari segi bahasa: Perkataan (المتابعة ) dan kata jamaknya ( متابعات) membawa maksud bersetuju, berkongsi sama atau bersepakat.
ISTILAH
Dari segi istilah pula ialah: Seorang perawi sebuah hadis berkongsi sama dalam meriwayatkannya dengan seorang perawi yang lain, sama ada ia meriwayatkan hadis itu dari guru yang sama ataupun guru yang lebih atas sehinggalah ke akhir sanad, dan sekurang-kurangnya perkongsian riwayat itu ialah pada sahabat yang sama. (Sila lihat Fath al-Mughith: 1/229)

Jenis-jenis al-Mutaba’ah:

Terdapat dua jenis al-Mutaba’ah iaitu; pertama al-Mutaba’ah at-Tammah (perkongsian penuh) dan yang keduanya al-mutaba’ah al-qasirah (perkongsian kurang penuh).

Jenis Pertama: Al-Mutaba’ah at-Tammah

Iaitu terdapat persamaan/perkongsian riwayat bagi seseorang perawi dari awal sanadnya (iaitu ada seorang atau beberapa orang perawi lain yang meriwayatkannya).

Sebagai contoh:

Syu’bah bin al-Hajjaj meriwayatkan dari Qatadah, daripada Salim bin Abu Al-Ja’d, daripada Ma’dam bin Abu Talhah daripada Abu Darda’ daripada Nabi SAW bersabda: Apakah kalian lemah (tidak mampu) untuk membaca satu pertiga al-Quran dalam satu malam? Lalu para sahabat bertanya: Bagaimana dibaca satu pertiga al-Quran itu (dalam satu malam)? Lalu baginda pun bersabda: Bacalah (قل هو الله أحد ), sesungguhnya surah itu menyamai satu pertiga al-Quran.

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Aban al-Attar daripada Qatadah dengan sanad yang sama seperti di atas. Dan dengan ini Aban dianggap sebagai Mutabi’ tam (berkongsi penuh) bagi Syu’bah bin al-Hajjaj kerana mereka berdua meriwayatkan hadis dari guru yang sama iaitu Qatadah dan dari riwayat sahabat yang sama iaitu Abu al-Darda’ r.a. (Hadis di atas diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitab Solat al-Musafirin: No 811)

Jenis Kedua: Al-Mutaba’ah al-Qasirah

Iaitu terdapat persamaan/perkongsian riwayat bagi seseorang perawi di pertengahan sanadnya.

Sebagai contoh:

Al-Imam Malik meriwayatkan daripada Saleh bin Kisan, daripada Urwah bin al-Zubair daripada Aisyah r.a., beliau berkata: “Solat itu pada mulanya difardhukan dua rakaat, dua rakaat sama ada bermukim ataupun bermusafir. Lalu bilangan rakaat solat bagi orang bermusafir ditetap begitu, manakala bilangan rakaat solat bagi orang bermukim pula ditambah.”
>