Mendapat  Pahala Amalan Setahun Puasa & Qiyam

Hadith Sahih

Perawi : Aus bin Aus RA

Koleksi : Sunan Abu Dawud

Kitab :Kitab Taharah - كِتَابُ الطَّهَارَةِ

Bab :Mandi pada hari Jumaat

No. Hadith : 345

Status : Sahih

Matan Hadith

 عَنْ  أَوْسُ بْنُ أَوْسٍ الثَّقَفِيُّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ غَسَّلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَاغْتَسَلَ ثُمَّ بَكَّرَ وَابْتَكَرَ وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ وَدَنَا مِنْ الْإِمَامِ فَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خُطْوَةٍ عَمَلُ سَنَةٍ أَجْرُ صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا

التخريج: سنن أبي داود، كِتَابُ الطَّهَارَةِ،  بَابٌ فِي الْغُسْلِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، حديث رقم 345، وقال الأرنؤوط: إسناده صحيح

Terjemahan

Daripada  Aus bin Aus Ath-Thaqafi r.a., bahawa saya pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: "Sesiapa yang mandi (seumpama mandi junub) pada hari Jumaat dengan menyempurnakan mandian  (ke seluruh badan), kemudian dia pergi untuk solat Jumaat pada awal waktu dengan berjalan kaki dan tidak menaiki kenderaan serta dia duduk hampir dengan imam untuk mendengarkan khutbah dan tidak berbicara sia-sia, maka bagi setiap langkahnya dia mendapat  ganjaran pahala amalan setahun berpuasa dan berdiri beribadah malam."

(Riwayat Abu Dawud, no. 345)


Pengajaran

1.  Allah SWT telah memerintahkan setiap hamba-Nya untuk sentiasa bersegera dalam mengerjakan kebaikan. Antara amalan kebaikan tersebut adalah datang awal untuk mendirikan solat terutamanya bagi solat jumaat. Bahkan bersegera untuk hadir solat jumaat mendapat ganjaran dan fadhilat yang banyak berbanding dengan amalan lain.

2. Solat jumaat merupakan solat yang mempunyai fadhilat yang khusus kerana keistimewaan yang ada pada hari jumaat. Ianya dimulai dengan mandi pada awal paginya untuk mendirikan solat sebagaimana seseorang yang mandi kerana janabah (mengangkat hadas besar). Mempersiapkan diri dengan memakai pakaian yang paling baik dan dalam keadaan memakai wangi-wangian. Ini menunjukkan bahawa seorang mukmin hendaklah bersiap sedia untuk solat dan menghadiri jumaat dalam keadaan yang benar-benar bersih. Dalam hadith ini juga telah menjelaskan ciri-ciri orang yang akan mendapat pahala amalan setahun berpuasa dan berdiri beribadah malam yang merupakan ganjaran yang amat besar dan amat sukar untuk dilakukan.

3. Justeru, banyak lagi hadith dan fadhilat lain yang telah diberitakan oleh Nabi SAW berkenaan kemuliaan hari jumaat, amalan-amalan di hari jumaat terutamanya solat jumaat, berzikir dan berselawat pada hari jumaat, bersedekah serta lain lain amalan yang sepatunya direbut pada hari jumaat ini.

Hits: 656

Carian Hadith