HADITH 50: KEUTAMAAN ZIKIR SEBAGAI AMALAN HARIAN MUSLIM

Matan

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُسْرٍ قَالَ:أَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ شَرَائِعَ الْإِسْلَامِ قَدْ كَثُرَتْ عَلَيْنَا، فَبَابٌ نَتَمَسَّكُ بِهِ جَامِعٌ؟ قَالَ:لَا يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْبًا مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ عز وجل.حديث صحيح: أخَرَّجَهُ الْإِمَامُ أَحْمَدُ بِهَذَا اللَّفْظِ.

أخرجه أحمد في مسنده، مسند الشاميين، حديث عبد الله بن بسر، رقم (17680)، ج 29، ص 226. وإسناده صحيح، كما حكم عليه شعيب الأرناؤوط.

Maksud Hadith

Daripada Abdullah bin Busr RA, beliau berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya syariat-syariat Islam telah menjadi banyak bagi kami. Maka, tunjukkanlah kepada kami satu amalan yang merangkumi semuanya agar kami dapat berpegang teguh dengannya.” Baginda SAW bersabda: “Hendaklah lidahmu sentiasa basah dengan mengingati Allah SWT.”

Hadis ini berstatus sahih dan diriwayatkan oleh Imam Ahmad RH dengan lafaz ini.

Takhrij al-Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad Ahmad, Musnad al-Shamiyyin, hadis Abdullah bin Busr, nombor 17680, jilid 29, halaman 226. Sanad hadis ini dinilai sahih oleh Syu‘ayb al-Arna’ut.

English Translation


Penghayatan Hadith

Hadis ini menjelaskan keutamaan berzikir kepada Allah SWT secara berterusan dalam kehidupan seorang Muslim. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang satu amalan yang boleh dijadikan pegangan dalam menghadapi pelbagai tuntutan syariat Islam. Baginda SAW lalu berpesan supaya lidah sentiasa basah dengan zikrullah.

Menurut Imam al-Ghazali RH, zikir yang dilakukan melalui lisan dengan kehadiran hati mampu mendidik jiwa sehingga seseorang sentiasa mengingati Allah SWT. Manakala Imam Ibn Rajab RH menjelaskan bahawa zikir yang disyariatkan juga merangkumi seluruh aspek kehidupan seharian. Seorang Muslim mengucapkan nama Allah SWT ketika makan dan minum. Nama Allah SWT juga disebut ketika berpakaian, masuk dan keluar rumah, naik kenderaan, menyembelih dan bersin. Begitu juga ketika bertemu sahabat, mendapat nikmat baharu dan terhindar daripada bencana. Zikir turut diucapkan ketika menghadapi kesusahan, ketika bermusafir, dan dalam setiap keadaan yang silih berganti. Apabila semua ini diamalkan, lidahnya akan sentiasa basah dengan zikrullah dalam setiap detik kehidupannya.

Pengajaran Hadis

1. Kelebihan berzikir: Zikir merupakan amalan yang sangat dituntut kerana dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT.

2. Mengingati Allah secara berterusan: Seorang Muslim hendaklah membiasakan diri berzikir dalam kehidupan seharian, bukan hanya selepas solat.

3. Zikir menenangkan hati: Mengingati Allah SWT dapat memberikan ketenangan jiwa sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Ra‘d, ayat 28.

4. Zikir menghidupkan hati: Rasulullah SAW mengumpamakan orang yang berzikir dengan orang yang hidup, manakala orang yang tidak berzikir seperti orang yang mati.

5. Memperbanyakkan amalan zikir: Antara zikir yang dianjurkan ialah tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahu Akbar), tahlil (La ilaha illallah) dan istighfar.

6. Mengamalkan zikir dalam pelbagai keadaan: Zikir boleh dilakukan ketika bekerja, bermusafir, makan, berpakaian dan dalam urusan kehidupan seharian.

Penghayatan Semasa

Dalam kehidupan moden yang dipenuhi kesibukan kerja, penggunaan telefon pintar dan pelbagai tuntutan harian, seseorang mudah terleka daripada mengingati Allah SWT. Oleh itu, amalan zikir pagi dan petang serta membiasakan lidah menyebut nama Allah dapat membantu memelihara hubungan rohani dengan-Nya.

Dalam kehidupan keluarga, ibu bapa boleh membudayakan zikir melalui amalan membaca doa sebelum makan, mengamalkan zikir selepas solat dan mengajar anak-anak mengingati Allah sejak kecil.

Di tempat kerja pula, kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa mengetahui setiap perbuatan manusia dapat mendidik seseorang supaya lebih amanah, jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

Kesimpulannya, hadis ini mengingatkan umat Islam supaya menjadikan zikir sebagai amalan harian dan bukan sekadar ibadah pada waktu tertentu. Lidah yang sentiasa mengingati Allah SWT, disertai hati yang menghayati kebesaran-Nya, dapat membentuk peribadi Muslim yang tenang, bersyukur dan sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.

Rujukan:

  1. Ahmad bin Hanbal (164–241H). Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal. Tahkik: Syu‘ayb al-Arna’ut, ‘Adil Murshid dan lain-lain. Penyelia: ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki. Beirut: Mu’assasat al-Risalah, cetakan pertama, 1421H/2001M, jilid 29, halaman 226, hadis no. 17680.Nota: Hadis ini menghimpunkan dua nasihat Nabi S.A.W: sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya, serta anjuran supaya lidah sentiasa basah dengan zikrullah.
  2. Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 67 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.

Asbab Alwurud (Sebab Terbitnya Hadith)