Butiran Hadith
HADITH 43: PRINSIP ASAS PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA
Matan
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ، فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ.رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.
أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الفرائض، باب ميراث المرأة والزوج مع الولد وغيره، رقم (6745)، ج 8، ص 420.
Maksud Hadith
Daripada Sayidina
Ibnu Abbas RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Berikanlah
bahagian-bahagian yang telah ditetapkan (dalam harta pusaka) kepada orang-orang
yang berhak menerimanya. Kemudian, apa yang tersisa selepas pembahagian tersebut,
maka berikanlah kepada lelaki yang paling dekat (hubungan kekeluargaannya
dengan si mati)”.
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH dan Imam Muslim RH.
Takhrij al-Hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Fara’id, Bab Pewarisan Wanita dan Suami Bersama Anak serta Waris-waris Lain, hadis nombor 6745, jilid 8, halaman 420.
English Translation
Penghayatan Hadith
Hadis ini mengajar bahawa setiap ahli waris berhak menerima bahagian harta pusaka sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Pembahagian tersebut hendaklah dilakukan berdasarkan hukum faraid, manakala baki harta diberikan kepada waris lelaki yang paling dekat hubungan kekeluargaannya dengan si mati mengikut ketetapan syarak.
1. Menunaikan hak waris merupakan amanah. Setiap ahli waris berhak menerima bahagiannya. Oleh itu, tiada sesiapa boleh menyembunyikan, mengurangkan atau menafikan hak waris lain.
2. Pembahagian pusaka hendaklah mengikut hukum faraid. Ketetapan Allah SWT perlu dihormati dan tidak boleh diubah semata-mata mengikut kehendak atau kepentingan individu.
3. Lelaki dan wanita mempunyai hak dalam pewarisan. Islam mengiktiraf hak kedua-duanya untuk menerima harta pusaka sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran. Justeru, hak wanita tidak boleh dinafikan atas alasan adat atau kedudukan dalam keluarga.
4. Jangan menangguhkan urusan harta pusaka tanpa alasan yang munasabah. Pengurusan pusaka perlu diselesaikan dengan teratur supaya hak waris tidak terabai dan tidak menimbulkan pertikaian berpanjangan.
5. Jangan biarkan harta pusaka memutuskan hubungan kekeluargaan. Perselisihan berkaitan tanah, rumah dan wang peninggalan hendaklah diselesaikan secara baik dengan menghormati hak setiap waris.
6. Pelajari ilmu faraid supaya pembahagian lebih adil. Kefahaman tentang hukum pewarisan Islam dapat mengelakkan kesilapan pembahagian, pengambilan hak orang lain dan pertelingkahan sesama keluarga.
Hadis ini mengingatkan bahawa pengurusan harta pusaka bukan sekadar urusan pembahagian harta, tetapi merupakan amanah yang melibatkan hak sesama manusia. Setiap waris hendaklah diberikan haknya berdasarkan ketetapan syarak agar keadilan terpelihara dan hubungan kekeluargaan terus terjalin.
Rujukan:
- Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 60 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
Al-Bukhari, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Isma‘il bin Ibrahim bin al-Mughirah al-Ju‘fi. Sahih al-Bukhari. Jil. 8, hlm. 420, no. hadis 6745.

