Butiran Hadith
HADITH 42: MENGHARAPKAN PENGAMPUNAN DAN RAHMAT ALLAH SWT
Matan
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: يَا بْنَ آدَمَ، إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ مِنْكَ وَلَا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَمَ، لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ، ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي، غَفَرْتُ لَكَ، يَا ابْنَ آدَمَ، إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا، ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا، لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً.
رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ رحمه الله وَقَالَ: حَدِيثٌ حَسَنٌ.
أخرجه الترمذي في كتاب الدعوات، باب غفران الذنوب مهما عظمت، رقم (3534)، والدارمي، رقم (2791).
وقال السخاوي في تخريجه للأربعين النووية بعد تخريجه: هذا حديث حسن.
Maksud Hadith
Daripada Sayidina Anas RA beliau
berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: “Wahai
anak Adam, sesungguhnya, selagi engkau berdoa dan berharap kepada-Ku, pasti Aku
akan mengampuni dosa-dosa engkau walau banyak sekali pun dan Aku tidak peduli.
Wahai anak Adam, sekiranya dosa engkau begitu banyak sehingga mencecah langit
kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, pasti Aku mengampunkan dosa engkau.
Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi
bumi, kemudian engkau bertemu dengan-Ku dalam keadaan engkau tidak mensyirikkan
Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan memberikan kepada engkau sepenuh itu juga
pengampunan”.
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi RH. Hadith hasan.
Takhrij al-Hadis:
English Translation
Penghayatan Hadith
1. Hadis ini menjelaskan mengenai keluasan pengampunan dan rahmat Allah S.W.T kepada para hamba-Nya yang berharap dan berdoa kepada-Nya, memohon pengampunan daripada-Nya serta tidak mensyirikkan-Nya.
2. Sikap enggan berdoa dan berputus asa daripada rahmat Allah S.W.T bertentangan dengan ciri-ciri hamba yang beriman. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad), "Wahai sekalian hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya, Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.” (Surah al-Zumar: 53).
3. Istighfar ialah lambang pengiktirafan seorang hamba terhadap kesalahan dan dosanya. Saidina ‘Ali bin Abi Talib RA berkata, “Aku hairan apabila seseorang itu binasa (di akhirat) sedangkan penyelamat ada bersamanya.” Beliau ditanya, “Apakah penyelamatnya?” Saidina ‘Ali RA menjawab, “Istighfar.”
4. Allah S.W.T mengampunkan hamba-Nya dengan syarat mereka beriman dan tidak melakukan syirik kepada-Nya. Meskipun begitu, seorang hamba hendaklah tidak mengambil mudah dengan melakukan maksiat dan perlu memiliki sifat malu kepada Allah S.W.T.
5. Imam al-Nawawi mengakhiri kitabnya ini dengan hadis yang menimbulkan harapan dalam diri seorang Muslim supaya berusaha untuk beramal dengan semua hadis dan terus meningkatkan ilmu berkenaan sunnah Nabi S.A.W, meskipun dia mungkin melakukan kesilapan dan memiliki banyak kekurangan. Sesungguhnya, rahmat Allah S.W.T amat besar bagi hamba yang mengharapkan keredhaan-Nya.
- Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 35 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
- Mustafa Dib al-Bugha dan Muhyiddin Mistu, al-Wafi fi Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa li al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘, cetakan pertama, 1440H/2019M), hlm. 343.
Ibn Daqiq al-‘Id, Abu al-Fath Muhammad bin ‘Ali (w. 702H). Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Penelitian dan penyediaan: Muwaffaq al-Syaikh. Beirut, Lubnan: Resalah Publishers, Marwan Daboul Publications, cetakan kedua, 1447H/2025M, halaman 25–29.

