Butiran Hadith
HADITH 41: KEUTAMAAN SUNNAH NABI SAW
Matan
عَنْ أبي مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رضي الله عنهما، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ» حديث صحيح ، ورويناه في "كتاب الحجة" بإسناد صحيح.
أخرجه إسماعيل بن محمد بن الفضل الأصبهاني في «الحجة في بيان المحجة»، الجزء الأول، فصل في ذكر الأهواء المذمومة، رقم (103)، ص. 252.
Maksud Hadith
Daripada Sayidina Abu Muhammad
Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak
sempurna iman seseorang kamu sehinggalah keinginan dirinya mengikuti apa-apa
(ajaran) yang aku bawa”.
Hadith sahih. Kami meriwayatkannya dalam kitab al-Hujjah (oleh Imam Nasr bin Ibrahim al-Maqdisi RH) dengan sanad yang sahih.
Takhrij al-Hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh Ismail bin Muhammad bin al-Fadl al-Asbahani dalam kitab al-Hujjah fi Bayan al-Mahajjah, jilid 1, bab kecil mengenai celaan terhadap hawa nafsu yang tercela, hadis nombor 103, halaman 252.
English Translation
Penghayatan Hadith
1. Menurut Imam Abu ‘Amr al-Dani, iman itu bertambah dengan ketaatan, berkurang dengan maksiat, teguh dengan ilmu, lemah dengan kejahilan dan terbatal dengan kekufuran. Oleh sebab itu, seorang Mukmin hendaklah berusaha ke arah kesempurnaan Iman.
2. Rasulullah S.A.W mesti dijadikan suri teladan dalam kehidupan. Baginda berusaha membawa umat ke jalan yang diredhai Allah S.W.T. Menurut Imam Ibn Battal, Mukmin yang sempurna imannya akan mengakui bahawa hak dan kelebihan Rasulullah S.A.W hendaklah didahulukan berbanding hak bapanya, anaknya dan semua manusia yang lain.
3.Hawa nafsu sering mengajak kepada kemungkaran. Ia mesti dididik dan didorong untuk mengutamakan sunnah Nabi S.A.W. Sebaliknya, mempersenda atau mengingkari sunnah Nabi S.A.W menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam.
4. Antara jalan memupuk kecintaan terhadap Nabi S.A.W adalah membaca, mempelajari dan menghayati;
i. Hadis-hadis Nabi S.A.W
ii. Sirah Nabi S.A.W
iii. Syamail (peribadi dan budi pekerti) Nabi S.A.W
iv. Kisah para sahabat Nabi RA.
Rujukan:
- Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 45 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
- Mustafa Dib al-Bugha dan Muhyiddin Mistu, al-Wafi fi Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa li al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘, cetakan pertama, 1440H/2019M), hlm. 335.
- Isma‘il bin Muhammad bin al-Fadl al-Asbahani, al-Hujjah fi Bayan al-Mahajjah, jld. 1, fasal: Fasl fi Dhikr al-Ahwa’ al-Madhmumah, hlm. 252, no. 103.
Ibn Daqiq al-‘Id, Abu al-Fath Muhammad bin ‘Ali (w. 702H). Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Penelitian dan penyediaan: Muwaffaq al-Syaikh. Beirut, Lubnan: Resalah Publishers, Marwan Daboul Publications, cetakan kedua, 1447H/2025M, halaman 122.

