HADITH 40: MEREBUT PELUANG BERAMAL

Matan

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عنهما قَالَ: «أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِمَنْكِبِي، فَقَالَ: كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ: إِذَا أَمْسَيْتَ، فَلَا تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ» رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.

أخرجه البخاري في كتاب الرقاق، باب قول النبي ﷺ: «كن في الدنيا كأنك غريب»، رقم (6053).

Maksud Hadith

Daripada Sayidina Ibn Umar RA katanya: “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda: “Hiduplah kamu di dunia ini seperti orang asing atau musafir”.

Sayidina Ibn Umar RA selalu berkata: “Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu menanti pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah kamu menanti petang. Rebutlah peluang sihatmu, sebelum sakitmu dan rebutlah peluang hidupmu sebelum kematianmu”.

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH.

Takhrij al-Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Riqaq, bab sabda Nabi ﷺ: “Jadilah kamu di dunia seolah-olah seorang asing (perantau)”, hadis nombor 6053.

English Translation


Penghayatan Hadith

1. Menurut Imam Ibn Rajab, hadis ini meletakkan batasan kepada impian dan angan-angan seorang Mukmin di dunia. Seorang Mukmin tidak seharusnya menganggap dunia sebagai tempat tinggal yang tetap, tetapi hendaklah dia menjadikan dirinya seumpama musafir yang membuat persiapan untuk berangkat. 

2. Orang yang asing ialah orang yang jauh dari tanah air, keluarga dan hartanya. Maka, hatinya sangat bergantung kepada Allah S.W.T dan dia sentiasa rindu untuk pulang. Begitulah seharusnya pergantungan hati seorang Mukmin kepada Allah S.W.T dan rindunya kepada akhirat.

3. Sama keadaannya dengan seorang musafir yang singgah untuk berehat dan mendapatkan bekalan untuk meneruskan perjalanannya. Begitulah keadaan orang beriman tidak memerlukan kesenangan yang berlebihan semasa persinggahannya di dunia.

4. Kesihatan dan kehidupan ialah nikmat yang mesti dimanfaatkan untuk kebahagiaan hidup di akhirat. Nabi S.A.W bersabda, “Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh kebanyakan manusia; kesihatan dan masa lapang.” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Rujukan:

  1. Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 44 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
  2. Mustafa Dib al-Bugha dan Muhyiddin Mistu, al-Wafi fi Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa li al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘, cetakan pertama, 1440H/2019M), hlm. 330.
  3. Ibn Daqiq al-‘Id, Abu al-Fath Muhammad bin ‘Ali (w. 702H). Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Penelitian dan penyediaan: Muwaffaq al-Syaikh. Beirut, Lubnan: Resalah Publishers, Marwan Daboul Publications, cetakan kedua, 1447H/2025M, halaman 119.


Asbab Alwurud (Sebab Terbitnya Hadith)