HADITH 39: KESALAHAN YANG DIMAAFKAN

Matan

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما، أَنَّ رَسُولَ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ» حديث حسن، رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ، وَالْبَيْهَقِيُّ، وَغَيْرُهُمَا.

أخرجه ابن ماجه في كتاب الطلاق، باب طلاق المكره والناسي، رقم (2043)، ولفظه: «إن الله وضع عن...». وأخرجه البيهقي في كتاب الأيمان، باب جامع الأيمان، (10/60).

وأخرجه ابن حبان في صحيحه، رقم (7219)، في الإحسان في تقريب صحيح ابن حبان، والحاكم (2/198)، والدارقطني (4/170).

وقال ابن رجب الحنبلي عن إسناد الدارقطني: «وهذا إسناد صحيح في ظاهر الأمر، ورواته كلهم محتج بهم في الصحيحين» (جامع العلوم والحكم، ص. 350).

وقال ابن حجر الهيتمي في شرحه على الأربعين: «فقد روي مرفوعًا من وجوه أخر يفيد مجموعها أنه حسن».

Maksud Hadith

Daripada Sayidina Ibn ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT memaafkan untukku kesalahan umatku yang dilakukan secara tersilap, terlupa atau dipaksa”.

Hadith hasan. Diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah RH, Imam al-Baihaqi RH dan imam yang lain.

Takhrij al-Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam Kitab al-Talaq, bab Talak Orang yang Dipaksa dan Orang yang Terlupa, hadis nombor 2043. Lafaz hadis tersebut ialah: “Sesungguhnya Allah mengampunkan daripada …”. Hadis ini turut diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam Kitab al-Ayman, bab Himpunan Perbahasan Sumpah, jilid 10, halaman 60.

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban, nombor 7219, al-Hakim (jilid 2, halaman 198) dan al-Daraqutni (jilid 4, halaman 170).

Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan berkenaan sanad al-Daraqutni: “Sanad ini, berdasarkan penelitian zahir, adalah sahih dan semua perawinya merupakan perawi yang dijadikan hujah dalam kedua-dua kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.” (Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, halaman 350).

Ibn Hajar al-Haytami pula menyatakan dalam syarahnya terhadap al-Arba‘in bahawa hadis ini diriwayatkan secara marfu‘ melalui beberapa jalur lain, dan keseluruhan jalur tersebut menguatkan kedudukannya sehingga mencapai darjat hasan.

English Translation


Penghayatan Hadith

1. Perbuatan manusia terbahagi kepada dua kategori iaitu;

i. Perbuatan secara sengaja dengan niat dan pilihan. 

ii. Perbuatan secara tersilap, terlupa dan dipaksa. 

Menurut Imam Ibn al-Mulaqqin, hadis ini mewakili separuh syariat Islam kerana ia menjelaskan kedudukan perbuatan dalam kategori yang kedua.

2. Perbuatan secara tersilap ialah kesalahan yang tidak disengajakan seperti merosakkan barang atau mencederakan orang tanpa sengaja ketika seseorang melakukan pekerjaan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab: 5).

3.  Kesalahan terlupa pula ialah keadaan tidak mengingati sesuatu ketika sedang melakukan sesuatu amalan, contohnya terlupa bilangan rakaat dalam solat dan makan pada siang hari ketika berpuasa.

4.  Allah S.W.T juga memaafkan seseorang yang melakukan maksiat atau kesalahan bukan dengan kehendaknya sendiri, tetapi dipaksa dan tiada pilihan kepadanya untuk menolak seperti dilarang mengerjakan solat oleh penjenayah.

5. Kesalahan yang dimaafkan mestilah diukur berdasarkan hukum-hakam Islam, bukan sewenang-wenangnya dimaafkan dan diukur mengikut pandangan peribadi. Manakala kesalahan yang berkaitan dengan hak-hak manusia mestilah dimohon kemaafan dan disempurnakan tuntutannya.

Rujukan:

  1. Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 43 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
  2. Mustafa Dib al-Bugha dan Muhyiddin Mistu, al-Wafi fi Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa li al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘, cetakan pertama, 1440H/2019M), hlm. 318.
  3. Ibn Daqiq al-‘Id, Abu al-Fath Muhammad bin ‘Ali (w. 702H). Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Penelitian dan penyediaan: Muwaffaq al-Syaikh. Beirut, Lubnan: Resalah Publishers, Marwan Daboul Publications, cetakan kedua, 1447H/2025M, halaman 117.

Asbab Alwurud (Sebab Terbitnya Hadith)