Butiran Hadith
HADITH 38: KEDUDUKAN PARA WALI ALLAH SWT
Matan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا، فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَلَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ، كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَإنْ سَأَلَنِي أعْطَيْتُهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ» رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ
رواه البخاري في كتاب الرقاق، باب التواضع، رقم (6137).
Maksud Hadith
Daripada Sayidina Abu Hurairah RA
beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman:
“Sesiapa yang memusuhi mana-mana wali-Ku, maka Aku mengisytiharkan perang
terhadapnya. Tiada perkara yang hamba-Ku lakukan untuk menghampirkan dirinya
kepada-Ku yang lebih Aku sukai daripada perkara yang Aku fardukan kepadanya.
Hamba-Ku sentiasa menghampirkan dirinya kepada-Ku melalui amalan-amalan sunat
sehinggalah Aku mengasihinya. Apabila Aku mengasihinya, maka Aku akan menjadi
pendengaran yang dia mendengar dengannya. Aku akan menjadi penglihatan yang dia
melihat dengannya. Aku akan menjadi tangan yang dia bertindak dengannya. Aku
akan menjadi kaki yang dia berjalan dengannya. Demi sesungguhnya, jika dia
meminta sesuatu daripada-Ku, pasti Aku akan mengurniakannya dan jika dia
meminta perlindungan daripada-Ku, pasti Aku akan melindunginya”.
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam
al-Bukhari RH.
Takhrij al-Hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Riqaq (Kitab yang Melembutkan Hati), bab tawaduk (rendah hati), hadis nombor 6137.
English Translation
Penghayatan Hadith
1. Hadis ini menjelaskan tentang wali Allah S.W.T, sifat dan kelebihan mereka. Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, wali Allah ialah seorang yang mengenali Allah S.W.T, sentiasa melakukan ketaatan dan ikhlas dalam ibadah. Mereka sentiasa menghampirkan diri kepada Allah S.W.T.
2. Allah S.W.T memberi amaran kepada orang yang memusuhi para wali-Nya. Menurut Imam Ibn Rajab, para wali Allah S.W.T wajib dikasihi dan haram dimusuhi.
3. Kedudukan wali hanya ditentukan oleh Allah S.W.T. Tugas hamba adalah menyempurnakan ibadah fardu dan memperbanyak amalan sunat.
4. Allah S.W.T akan menjaga para wali-Nya. Semua pancaindera mereka akan dipandu ke arah ketakwaan kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Ketahuilah, sesungguhnya, wali-wali Allah tidak berasa bimbang (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka tidak akan berdukacita.” (Surah Yunus: 62).
5. Setiap Muslim yang istiqamah dalam melaksanakan ketaatan dan memiliki cinta yang ikhlas kepada Allah S.W.T akan mendapat kedudukan yang istimewa di sisi-Nya seperti dikurniakan doa yang mustajab dan dilindungi oleh-Nya.
Rujukan:
- Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 42 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
- Mustafa Dib al-Bugha dan Muhyiddin Mistu, al-Wafi fi Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa li al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘, cetakan pertama, 1440H/2019M), hlm. 311.
Ibn Daqiq al-‘Id, Abu al-Fath Muhammad bin ‘Ali (w. 702H). Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Penelitian dan penyediaan: Muwaffaq al-Syaikh. Beirut, Lubnan: Resalah Publishers, Marwan Daboul Publications, cetakan kedua, 1447H/2025M, halaman 115.

