HADITH 37: RAHMAT ALLAH SWT BERKAITAN PAHALA DAN DOSA

Matan

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تبارك وتعالى قَالَ: «إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عز وجل عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِئَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً» رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ، في صحيحيهما بهذه الحروف.
فانظر يا أخي وفقنا الله وإياك إلى عظيم لطف الله تعالى، وتأمل هذه الألفاظ. وقوله ((عنده)) إشارة إلى الاعتناء بها. وقوله ((كاملة)) للتوكيد وشدة الاعتناء بها. وقال في السيئة التي هم بها ثم تركها ((كتبها الله عنده حسنة كاملة)) فأكدها بـ (كاملة) وإن عملها كتبها الله سيئة واحدة، فأكد تقليلها ، بـ (واحدة) ولم يؤكدها بـ (كاملة).فلله الحمد والمنة، سبحانه لا نحصي ثناء عليه، وبالله التوفيق.

رواه البخاري في كتاب الرقاق، باب من هم بحسنة أو بسيئة، رقم (6126)، وفي كتاب التوحيد.
ورواه مسلم في كتاب الإيمان، باب إذا هم العبد بحسنة كُتبت، وإذا هم بسيئة لم تُكتب، رقم (131).

Maksud Hadith

Daripada Sayidina Ibn ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan hadith Qudsi daripada Tuhannya SWT, Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya, Allah SWT telah (memerintahkan malaikat) menulis segala kebaikan dan kejahatan. Kemudian, Dia menerangkan hal tersebut. Sesiapa yang berniat melakukan suatu kebaikan tetapi dia tidak menyempurnakan niatnya, maka Allah SWT menetapkan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Sekiranya dia berniat melakukan kebaikan lalu dia mengerjakannya, maka Allah SWT akan menetapkan untuknya sepuluh kebaikan (dan digandakan) sehingga 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang tidak terkira banyaknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kejahatan tetapi dia tidak melakukannya, maka Allah SWT menetapkan untuknya satu kebaikan yang sempurna. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan lalu dia melakukannya, maka Allah SWT akan menetapkan untuknya satu dosa sahaja”.

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH dan Muslim RH dalam kitab sahih mereka dengan lafaz-lafaz ini secara tepat.

Imam al-Nawawi RH berkata: “Wahai saudaraku, semoga Allah SWT memberi taufik kepada kita semua. Lihatlah betapa besarnya kasih sayang Allah SWT dan renungilah lafaz-lafaz berkenaan”.

Dan perkataan “عِنْدَهُ” (di sisi-Nya) ialah suatu isyarat kepada tumpuan Allah SWT (yang khusus) terhadap amalan baik tersebut.

Dan perkataan “كَامِلَةً” (sempurna) yang bermaksud “sempurna” memberi makna penegasan serta menunjukkan ia diberi tumpuan khusus.

Dan firman Allah SWT mengenai kejahatan yang seseorang berniat melakukannya kemudian dia meninggalkannya (tidak jadi buat): Allah SWT mencatatkannya di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Maka Allah SWT menegaskan (ganjaran kebaikan itu) dengan perkataan “sempurna” (كَامِلَةً).

Dan jika dia melakukan kejahatan tersebut, Allah SWT mencatatkannya sebagai satu kejahatan sahaja. Maka Allah SWT menegaskan pengurangan (dosa) itu dengan perkataan “satu” (وَاحِدَةً) dan tidak menegaskannya dengan perkataan “sempurna” (كَامِلَةً).

Bagi Allah SWT segala pujian dan kebaikan. Maha Suci Allah SWT. Kita tidak mampu menghitung (secara sempurna) puji-pujian terhadap-Nya dan hanya milik Allah SWT taufik untuk melakukan segala kebaikan.

Takhrij al-Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Riqaq (Kitab yang Melembutkan Hati), bab seseorang yang berniat melakukan kebaikan atau keburukan, hadis nombor 6126, dan turut diriwayatkan dalam Kitab al-Tawhid (Kitab Tauhid).

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Kitab al-Iman (Kitab Keimanan), bab apabila seseorang hamba berniat melakukan kebaikan, maka kebaikan itu dicatat untuknya, dan apabila dia berniat melakukan keburukan, maka keburukan itu tidak dicatat, hadis nombor 131.

English Translation


Penghayatan Hadith

1. Hadis ini memperincikan ganjaran pahala dan balasan dosa yang dilakukan oleh seorang hamba. Ia adalah asas kebahagian atau kesengsaraan di dunia dan akhirat. Ia juga melambangkan kasih Allah S.W.T yang amat tinggi kepada hamba-Nya. 

2. Semua panduan yang diperlukan oleh seorang hamba untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat telah dijelaskan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Tidaklah Kami tinggalkan sesuatu pun dalam kitab Al-Quran ini.” (Surah al-An’am: 38).

3. Seorang hamba yang berazam untuk melakukan kebaikan akan diberikan balasan satu ganjaran kerana keazamannya. Jika dia melaksanakannya, ganjaran itu akan digandakan sepuluh kali ganda atau lebih sehingga tidak terkira banyaknya mengikut keikhlasan, kesungguhan, jenis amalan, waktu, tempat, kesan dan kesempurnaan amalan tersebut.

4. Seorang hamba yang berniat melakukan maksiat, tetapi meninggalkannya kerana Allah S.W.T akan diberikan satu ganjaran kebaikan kerana keazaman meninggalkannya. Namun, jika dia meneruskan maksiat tersebut akan ditulis satu dosa di sisi Allah S.W.T.

5. Ketentuan balasan baik dan buruk adalah daripada Allah S.WT. Pahala dan dosa juga hak milik Allah S.W.T. Para ulama telah memperincikannya bersumberkan al-Quran dan hadis Nabi S.W.T.

Rujukan:

  1. Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 41 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
  2. Mustafa Dib al-Bugha dan Muhyiddin Mistu, al-Wafi fi Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa li al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘, cetakan pertama, 1440H/2019M), hlm. 306.
  3. Ibn Daqiq al-‘Id, Abu al-Fath Muhammad bin ‘Ali (w. 702H). Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Penelitian dan penyediaan: Muwaffaq al-Syaikh. Beirut, Lubnan: Resalah Publishers, Marwan Daboul Publications, cetakan kedua, 1447H/2025M, halaman 111.


Asbab Alwurud (Sebab Terbitnya Hadith)