Butiran Hadith
HADITH 36: MENUNAIKAN KEPERLUAN SAUDARA MUSLIM DAN KEUTAMAAN ILMU
Matan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، قَالَ: «مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ، مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ، وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فَيَمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ» رَوَاهُ مُسْلِمٌ بهذا اللفظِ.
أخرجه مسلم في كتاب الذكر والدعاء والتوبة والاستغفار، باب فضل الاجتماع على تلاوة القرآن وعلى الذكر، رقم (2699).
وأخرج بعض جمله، من حديث ابن عمر رضي الله عنهما، البخاري في كتاب المظالم، باب لا يظلم المسلم المسلم ولا يسلمه، رقم (2310)، وفي كتاب الإكراه، باب يمين الرجل لصاحبه إنه أخوه، رقم (6551).
وأخرجه مسلم في كتاب البر والصلة والآداب، باب تحريم الظلم، رقم (2580).
Maksud Hadith
Daripada Sayidina Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang melapangkan kesempitan dunia seorang Mukmin, Allah SWT akan melapangkan kesempitannya pada hari kiamat. Sesiapa yang mempermudah urusan orang yang dalam kesusahan, Allah SWT akan mempermudah urusannya di dunia dan akhirat.
Sesiapa yang menutup keaiban saudara Muslim, Allah SWT akan menutup
keaibannya di dunia dan akhirat. Allah SWT akan sentiasa membantu hamba-Nya
selagi dia membantu saudaranya. Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk
menuntut ilmu, maka Allah SWT akan mempermudah baginya jalan ke syurga dengan
ilmu tersebut. Tidak berhimpun sekumpulan Muslim dalam mana-mana rumah Allah
SWT dalam keadaan membaca dan mempelajari al-Quran sesama mereka melainkan
ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat akan meliputi mereka, para malaikat
akan menaungi mereka dan Allah SWT akan menyebut perihal mereka kepada para
makhluk di sisi-Nya.
Sesiapa yang amalannya menyebabkannya lambat (sama ada di dunia dan
akhirat), nasab keturunannya tidak akan dapat mempercepatkannya (untuk meraih
kedudukan mulia)”.
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim RH dengan lafaz ini.
Takhrij al-Hadis:
English Translation
Penghayatan Hadith
1. Hadis ini menghimpunkan pelbagai pengetahuan, kaedah dan adab yang berkaitan dengan interaksi dan hubungan sesama individu dalam masyarakat Muslim.
2. Setiap Muslim hendaklah memiliki sifat belas kasihan dan tidak membiarkan saudara Muslim yang lain dalam kesusahan. Nabi S.A.W bersabda, “Sesungguhnya, Allah S.W.T akan merahmati hamba-hamba-Nya yang memiliki sifat belas kasihan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
3. Setiap Muslim tidak terlepas daripada dosa dan keaiban. Seorang Muslim yang menutup keaiban saudaranya, Allah S.W.T akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat.
4. Menuntut ilmu ialah satu jalan yang akan membawa ke syurga. Masa, tenaga dan harta yang digunakan untuk menuntut ilmu ialah pelaburan yang tidak akan rugi selamanya.
5. Ilmu yang paling utama untuk dipelajari dan ditekuni ialah ilmu al-Quran. Nabi S.A.W bersabda, “Sebaik-baik kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari).
6. Sikap sambil lewa atau tidak bersungguh-sungguh melakukan amalan kebaikan akan memberi kesan kepada pelakunya. Keturunan yang dihormati dan nasab yang mulia tidak dapat membantu melengkapkan amalan yang disia-siakan.
7. Islam juga tidak membenarkan perbuatan merendah-rendahkan nasab dan mencela keturunan seseorang.
- Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 40 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
- Mustafa Dib al-Bugha dan Muhyiddin Mistu, al-Wafi fi Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa li al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘, cetakan pertama, 1440H/2019M), hlm. 275.
Ibn Daqiq al-‘Id, Abu al-Fath Muhammad bin ‘Ali (w. 702H). Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Penelitian dan penyediaan: Muwaffaq al-Syaikh. Beirut, Lubnan: Resalah Publishers, Marwan Daboul Publications, cetakan kedua, 1447H/2025M, halaman 109.

