Butiran Hadith
HADITH 31: KONSEP DAN FAEDAH ZUHUD
Matan
عَنْ أبي العباس سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ أَحَبَّنِي اللَّهُ، وَأَحَبَّنِي النَّاسُ، فَقَالَ: «ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللَّهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ» حَدِيثٌ حسن، رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ وَغَيْرُهُ بأسانيد حسنةٍ
رواه ابن ماجه في «كتاب الزهد»، باب الزهد في الدنيا، رقم (4102).
وأما من رواه غير ابن ماجه، فقد ذكر ابن علان منهم: الطبراني في «معجمه الكبير»، وابن حبان في «روضة العقلاء»، والحاكم في «الرقائق» من «مستدركه» (4/313)، وأبو نعيم في «الحلية» (7/136)، والبيهقي في «شعب الإيمان». فالحديث حسن بشواهده.
Maksud Hadith
Daripada Sayidina Abu al-‘Abbas
Sahl bin Sa’ad al-Sa‘idi RA beliau berkata, seorang sahabat telah datang kepada
Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah SAW, tunjukkan kepadaku suatu amalan
yang apabila aku mengamalkannya aku akan dicintai oleh Allah SWT dan juga
manusia”. Maka Baginda SAW bersabda: “Zuhudlah dalam perkara dunia nescaya kamu
akan dicintai oleh Allah SWT dan zuhudlah terhadap apa-apa yang ada pada
manusia nescaya manusia akan menyukai kamu”.
Hadith ini berstatus hasan.
Takhrij al-Hadis:
English Translation
Penghayatan Hadith
1. Hadis ini menerangkan mengenai matlamat utama yang mesti dikejar oleh setiap Mukmin, iaitu kasih dan cinta Allah S.W.T. Seorang lelaki bertanya kepada Fudhail bin ‘Iyadh, “Wahai Abu ‘Ali, bilakah seseorang itu telah dianggap mencapai matlamatnya dalam kecintaan kepada Allah?” Fudhail berkata, “Jika perasaan kamu sama sahaja ketika mendapat kurniaan-Nya atau sebaliknya, maka kamu sudah mencapai tahap kecintaan kepada Allah S.W.T.”
2. Apabila seseorang itu disayangi oleh Allah S.W.T, maka Allah S.W.T akan menjadikan seluruh makhluk menyayanginya.
3. Cinta Allah S.W.T dapat diperoleh dengan memiliki sifat zuhud dalam perkara dunia. Menurut Abu Muslim al-Khaulani, zuhud di dunia itu bukan dengan mengharamkan sesuatu yang halal atau mensia-siakan harta, tetapi meyakini bahawa kekayaan Allah S.W.T melebihi harta yang dimiliki oleh manusia.
4. Kasih Allah S.W.T diperoleh dengan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah S.W.T, manakala kasih manusia diperoleh apabila diri tidak tamak dengan tidak merebut apa-apa yang mereka miliki.
5. Sesiapa yang menjadikan dunia dan keredhaan manusia sebagai satu-satunya matlamat hidup, dia tidak akan memperoleh kasih sayang Allah S.W.T.
- Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 35 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
- Mustafa Dib al-Bugha dan Muhyiddin Mistu, al-Wafi fi Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa li al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘, cetakan pertama, 1440H/2019M), hlm. 214.
Ibn Daqiq al-‘Id, Abu al-Fath Muhammad bin ‘Ali (w. 702H). Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Penelitian dan penyediaan: Muwaffaq al-Syaikh. Beirut, Lubnan: Resalah Publishers, Marwan Daboul Publications, cetakan kedua, 1447H/2025M, halaman 96.

