HADITH 29: JALAN KE SYURGA

Matan

عَنْ مُعَاذٍ بن جبل رضي الله عنه قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ وَيُبَاعِدُنِي مِنَ النَّارِ، قَالَ: لَقَدْ سَأَلْتَ عَنْ عَظِيمٍ وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ تعالى عَلَيْهِ: تَعْبُدُ اللَّهَ لَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ، وَتَحُجُّ الْبَيْتَ. ثُمَّ قَالَ: أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ، وَصَلَاةُ الرَّجُلِ من جَوْفِ اللَّيْلِ، ثُمَّ تَلَا: {تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ} [السجدة: 16] حَتَّى بَلَغَ: يَعْلَمُونَ [السَّجْدَةِ: 16 - 17]، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكَ بِرَأْسِ الْأَمْرِ وَعَمُودِهِ وَذُرْوَةِ سَنَامِهِ؟ قُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذُرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكَ بِمِلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ قُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ، قَالَ: كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا قُلْتُ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ، وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ، أَوْ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ إِلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ. 

رواه الترمذي في أبواب الإيمان، باب ما جاء في حرمة الصلاة، رقم (2169). وفي زيادة عن معاذ رضي الله عنه قال: كنت مع النبي ﷺ في سفر، فأصبحت يوماً قريباً منه ونحن نسير، فقلت: يا رسول الله، أخبرني بعمل يدخلني الجنة... إلخ.

Maksud Hadith

Daripada Sayidina Mu‘az bin Jabal RA berkata, Aku bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, beritahulah kepadaku amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka.” Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya, kamu telah bertanya tentang perkara yang amat besar. Namun, sebenarnya ia mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah SWT. Kamu menyembah Allah SWT, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji di Baitullah.” Kemudian Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai, sedekah itu menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang yang didirikan pada tengah malam.”

Kemudian Baginda SAW (menerangkan fadilat solat malam dengan) membaca ayat yang bermaksud:

“Mereka menjauhkan (diri) mereka daripada tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana menunaikan solat tahajud dan amalan soleh), mereka berdoa kepada Tuhan dengan rasa takut (akan kemurkaan-Nya) dan ingin memperoleh lagi (keredhaan-Nya) dan mereka membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Maka tiada seorang pun yang mengetahui balasan yang disediakan yang telah dirahsiakan untuk mereka (tentang segala jenis nikmat) yang amat indah dan menggembirakan hati sebagai balasan bagi amalan soleh yang dilakukan oleh mereka.” (Surah al-Sajdah: 16-17).

Kemudian Baginda SAW bersabda: “Mahukah aku beritahu kamu tentang asas bagi segala urusan (agama), tiangnya dan kemuncaknya?” Aku berkata: “Bahkan, beritahulah wahai Rasulullah SAW.” Baginda SAW bersabda: “Asas bagi segala urusan ialah Islam, tiangnya ialah solat dan kemuncaknya ialah jihad.”

Kemudian Baginda SAW bersabda: “Mahukah aku beritahu kamu tentang perkara teras bagi semua perkara ini?” Aku berkata: “Bahkan, beritahulah wahai Rasulullah SAW” Lalu Baginda SAW memegang lidahnya yang mulia lantas bersabda: “Tahanlah lidahmu ini daripada membinasakanmu.”

Aku berkata: “Wahai Nabi Allah, adakah kita pasti akan dihukum akibat perkara yang kita tuturkan?” Baginda SAW bersabda: “Bertuah kamu! Sebenarnya, hasil tuaian lidah manusia itulah yang banyak menghumbankan mereka ke dalam neraka dalam keadaan muka terlungkup”.

Takhrij al-Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam Abwab al-Iman (Bab-bab Keimanan), bab Ma Ja'a fi Hurmat al-Salah (Perkara yang Diriwayatkan tentang Kehormatan dan Kepentingan Solat), hadis no. 2169.

Dalam riwayat tambahan daripada Muaz RA, beliau berkata:
“Ketika dalam suatu perjalanan, aku bersama Nabi ﷺ. Pada suatu pagi, aku berada berdekatan dengan Baginda ketika kami sedang berjalan. Lalu aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku suatu amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga ...’” dan seterusnya.

English Translation


Penghayatan Hadith

1. Persoalan tentang syurga dan neraka adalah perkara besar yang sewajarnya menjadi perhatian setiap orang yang beriman.

2. Bagi seseorang yang dikurniakan taufik oleh Allah S.W.T, pasti segala amalan yang membawanya ke syurga menjadi mudah. Oleh itu, setiap orang wajib berusaha untuk mendapatkan hidayah Allah S.W.T ini dengan menempuh jalan mujahadah. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Dan orang yang berjihad dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, maka Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan). Dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah diberikan kepada orang yang berbuat baik.” (al-Ankabut: 69).

3. Islam menganjurkan pelbagai bentuk ibadah yang boleh dilakukan, tonggak semua ibadah itu ialah solat dan berjihad di jalan Allah S.W.T.

4. Terdapat banyak amalan yang boleh menghapuskan dosa dan kesalahan, seperti bersedekah dan mengerjakan solat. 

5. Memelihara lisan daripada menuturkan perkara yang dilarang adalah antara cara untuk menyelamatkan diri daripada azab neraka. Saidina Ibn ‘Abbas RA berkata, “Berhati-hatilah, ucapkanlah perkataan yang baik nescaya kamu diberi ganjaran, atau diamlah daripada perkataan yang buruk nescaya kamu selamat. Jika tidak,  kamu pasti akan menyesal.”

Rujukan:

  1. Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf, dan Ibn Rajab al-Hanbali, ‘Abd al-Rahman bin Ahmad. Al-Arba‘un al-Nawawiyyah bersama Tambahan Ibn Rajab. Disunting oleh al-Syirbini bin Fa’iq al-Syirbini. Disemak dan diberikan kata pengantar oleh Mustafa bin al-‘Adawi, halaman 33 berdasarkan penomboran al-Maktabah al-Syamilah.
  2. Mustafa Dib al-Bugha dan Muhyiddin Mistu, al-Wafi fi Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah (Damsyik: Dar al-Mustafa li al-Tiba‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzi‘, cetakan pertama, 1440H/2019M), hlm. 203.
  3. Ibn Daqiq al-‘Id, Abu al-Fath Muhammad bin ‘Ali (w. 702H). Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Penelitian dan penyediaan: Muwaffaq al-Syaikh. Beirut, Lubnan: Resalah Publishers, Marwan Daboul Publications, cetakan kedua, 1447H/2025M, halaman 93.

Asbab Alwurud (Sebab Terbitnya Hadith)