Setiap Amalan Bergantung pada Niat

Matan

حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ قَالَ: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيُّ قَالَ: أَخْبَرَنِي مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ: أَنَّهُ سَمِعَ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ يَقُولُ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رضي الله عنه عَلَى الْمِنْبَرِ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا، أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksud Hadith

Al-Humaidi ‘Abd Allah bin al-Zubair telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Sufyan telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Yahya bin Sa‘id al-Ansari telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Muhammad bin Ibrahim al-Taimi telah mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau mendengar ‘Alqamah bin Waqqas al-Laithi berkata: Aku mendengar ‘Umar bin al-Khattab RA berkata di atas mimbar: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan sesungguhnya setiap orang akan memperoleh berdasarkan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana seorang wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang menjadi tujuan hijrahnya itu.”


Takhrij Hadis:

أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب بدء الوحي، باب كيف كان بدء الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، رقم (1)، ومسلم في صحيحه، كتاب الإمارة، باب قوله صلى الله عليه وسلم:إنما الأعمال بالنية، رقم (1907)

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Kitab Permulaan Wahyu, Bab “Bagaimana Permulaan Wahyu kepada Rasulullah SAW”, no. 1. Hadis ini turut diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Ṣaḥīḥ Muslim, Kitab al-Imārah, bab berkenaan sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat”, no. 1907.


Penghayatan Hadith


  • Frasa «إنما الأعمال بالنيات» menunjukkan bahawa kesahan, kesempurnaan atau ganjaran sesuatu amalan bergantung kepada niat seseorang. Perkataan «النيات» ialah kata jamak bagi niyyah, iaitu tujuan dan keazaman hati terhadap sesuatu perkara.
  • Frasa «فمن كانت هجرته» merujuk kepada hijrah. Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain serta meninggalkan tanah air dan keluarga. Dalam konteks syarak, hijrah merujuk kepada perpindahan dari negeri kufur ke negeri Islam bagi menjaga agama dan melaksanakan syiar Islam.
  • Frasa «إلى دنيا يصيبها أو إلى امرأة ينكحها» menerangkan bahawa seseorang yang melakukan hijrah dengan tujuan mendapatkan kepentingan dunia atau untuk mengahwini seorang wanita akan memperoleh berdasarkan tujuan yang diniatkannya.
  • Peletakan hadis ini pada permulaan Ṣaḥīḥ al-Bukhārī turut memberi penekanan terhadap kepentingan keikhlasan dan pembetulan niat, khususnya bagi penuntut ilmu, pengajar dan mereka yang mempelajari hadis.


Rujukan:
Muḥammad bin Ismā‘īl al-Bukhārī, al-Jāmi‘ al-Musnad al-Ṣaḥīḥ al-Mukhtaṣar min Umūr Rasūl Allāh Ṣallā Allāh ‘Alayh wa Sallam wa Sunanihi wa Ayyāmihi (Ṣaḥīḥ al-Bukhārī), tahqiq Muṣṭafā Dīb al-Bughā, cet. ke-5 (Damsyik: Dār Ibn Kathīr dan Dār al-Yamāmah, 1414H/1993M), jld. 1, hlm. 3, no. hadis 1.

Maklumat Hadith

Nombor Hadith
1
Status Kesahihan
Tarikh Penerbitan
29 Jan 2026, 11:42 AM

Hadith Berkaitan