A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Abu Bakar As-Siddiq RA
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: کتاب الأذان - Azan
Bab: باب الدعاء قبل السلام - Doa Sebelum Salam
No. Hadith: 834
Matan Hadith:

عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَلِّمْنِي دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِي صَلَاتِي, قَالَ: قُلْ: اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

التخريج: صحيح البخاري , کتاب الأذان , باب الدعاء قبل السلام  , حديث رقم 834 , عن أبي بكر الصديق رضي الله عنه.

Terjemahan:

Daripada Abu Bakar As-Siddiq RA, bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah SAW: "Ajarkanlah daku suatu doa yang dapat daku mohon dalam solatku!.” Maka Baginda pun bersabda: "Berdoalah:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

(Ya Allah, sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku dan tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau. Maka, ampunilah daku dengan ampunan dari sisi-Mu serta rahmatilah daku. Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang)”.

(Muttafaqun ‘Alayhi, hadith riwayat Al-Bukhari, No. 834, 6326, 7388, Muslim, No. 2705, At-Tirmizi, No.3531, An-Nasaie, No.1302)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:
  1. Solat merupakan ibadah yang paling agung dan ia merupakan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah SWT kepada hamba-Nya di akhirat kelak. Solat dari sudut bahasa bermaksud doa. Solat juga waktu dimustajabkan berdoa kerana dalam solat terdapat waktu yang dituntut untuk memperbanyakkan doa kepada Allah SWT dengan doa-doa warid yang diajarkan Rasulullah SAW terutamanya sebelum seseorang itu memberi salam.
  1. Doa yang dianjurkan dalam solat adalah doa keampunan. Secara logiknya, tidak sesuai bagi seseorang berdoa dalam solat kerana sedang melakukan ketaatan kepada Allah SWT, namun inilah yang ditanya oleh Syaidina Abu Bakar As-Siddiq RA (yang terkenal dengan keimanan dan ketaatannya kepada Allah SWT). Beliau sendiri tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan dosa apatah lagi kita insan yang menzalimi diri sendiri yang banyak melakukan dosa. Betapa indahnya doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada beliau kerana didahului dengan pengakuan dosa dan disusuli ketauhidan (pengesaan) kepada Allah SWT. Seseorang hamba hendaklah sentiasa mengharapkan keampunan serta memperbanyakkan pujian kepada Allah SWT agar dosanya diampuni dan diterima oleh-Nya walaupun terdapat kekurangan serta kecacatan dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT.
  1. Berdoa dengan Asmaul Husna (nama-nama Allah yang Maha Indah) dikenali sebagai tawassul kepada Allah kerana ketika berdoa memohon sesuatu atau dihindarkan daripada sesuatu yang menakutkan, kita digalakkan menyebut dua nama Allah Azza wa Jalla iaitu (الْغَفُورُ الرَّحِيمُ) Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang), sesuai dengan permohonan: "Maka ampunilah daku dengan ampunan dari sisi-Mu serta rahmatilah daku ".

Sumber Rujukan :

  1. Kitab Sahih al-Bukhari
  2. Sahih Muslim
  3. Kitab Jami’e at-Tirmizi
  4. Kitab Sunan An-Nasaie
  5. Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani
  6. Kitab Faydh Al-Qadir Syarah Jami’e Al-Shoghir
  7. Kitab Al-Badr Al-Tamam Syarh Bulugh Al-Maram Li Al-Qadi Al-Husain Al-Maghribi
  8. Kitab Al-Ifham Syarah Umdatul Ahkam Li Al-Qahtoni
  9. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Lil Imam al-Nawawi