A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Anas bin Malik RA
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: كِتَابُ الصَّوْمِ - Puasa
Bab: Keberkatan Sahur Tanpa Diwajibkannya
No. Hadith: 1923
Matan Hadith:

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَسَحَّرُوْا، فَإِنَّ فِي السُّحُوْرِ بَرَكَةً. متفق عليه. واللفظ لمسلم.

أخرجه البخاري في صحيحه،  كتاب الصوم، باب بركة السحور من غير إيجاب، حديث رقم 1923، ولمسلم في صحيحه،  كتاب الصيام، باب فضل السحور وتأكيد استحبابه واستحباب تأخيره وتعجيل الفطر، حديث رقم 1095.

Terjemahan:

Daripada Anas RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya dengan bersahur itu ada keberkatan.” (Muttafaqun ‘Alayhi, riwayat al-Bukhari, no. 1923, Muslim, no. 1095, at-Tirmizi,  no. 708, an-Nasaie, no. 2144, hadith lafaz Muslim)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:

1. Berkat adalah berasal daripada bahasa arab iaitu ‘ بَرَكَ ‘. Dari segi bahasa bermakna tempat tinggal, manakala maksudnya adalah pertambahan, peningkatan dan kebahagiaan.  Hakikat keberkatan itu datang daripada Allah SWT melalui pelbagai cara, samada melalui amalan, tempat, doa dan lain-lain.

2. Imam Ibn al-Athir dalam kitabya al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/347) menyebut: “Sahur (السَّحور) dengan baris fathah ialah apa yang dimakan dan diminum semasa bersahur, Manakala suhur (السُّحور) dengan dhammah adalah masdar dan fi'il (perbuatan) itu sendiri. Dalam kebanyakan yang diriwayatkan ia berbaris fathah. Dikatakan yang tepat adalah dengan baris dhammah, kerana apabila huruf sin itu berbaris fathah, ianya membawa maksud makanan. Manakala berkat, ganjaran dan pahala adalah pada perbuatan, bukan pada makanan." Pendapat ini juga dikuatkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqolani dalam ‘Fathul al-Bari’, jilid 4, m/s: 179, Imam An-Nawawi  dalam kitab Syarahnya, jilid 4, m/s: 2981 dan selain daripada keduanya bahawa; ‘السُّحور’ adalah dengan baris fathah sin dan dhammahnya. Jika dengan fathah itu adalah nama bagi makanan yang dimakan ketika sahur dan jika dengan dhammah itu adalah nama bagi perbuatan iaitu bersahur. Kedua-duanya adalah sahih. Justeru, perkataan ‘السُّحور’ adalah perbuatan makan atau minum pada waktu suhur dengan niat untuk berpuasa.

3. Bersahur adalah sunat muakkad bagi yang berpuasa. Imam Ibn Hajar al-‘Asqolani dalam ‘Fathul al-Bari’, jilid 4, m/s: 179, mengatakan: “Keberkatan bersahur terhasil daripada sudut yang pelbagai iaitu:

i.    Mengikuti sunnah Nabi SAW

ii.   Membezakan puasa ahli kitab yang tidak bersahur

iii.   Mendatangkan  kekuatan dalam beribadah

iv.   Menambahkan kecergasan dalam berpuasa

vi.   Menjadi benteng kepada buruknya akhlak kesan daripada menahan lapar (seperti malas beribadah)

v.     Menjadi galakan untuk bersedekah kepada yang meminta ketika itu

vii.   Menjadi galakan untuk berjemaah ketika makan sahur

viii.  Menjadi galakan untuk berzikir dan berdoa ketika waktu mustajab doa

ix.   Memperingatkan bagi yang lupa berniat puasa sebelum tidur”.

 

4.  Waktu yang disunnahkan bersahur bermula daripada akhir malam sebelum waktu subuh sehingga terbit fajar al-sadiq dan dikatakan permulaan waktu sahur adalah pada waktu fajar al-Kazib (fajar pertama) sehinggalah fajar al-Sadiq. Imam Ibn Hajar dalam ‘Fathul al-Bari’, jilid 2, m/s: 73, menjelaskan maksud; ‘Berapa jarak antara azan dan sahur?’, iaitu azan Ibn Maktum kerana Bilal RA, mengazankan sebelum waktu fajar (fajar al-Kazib), manakala yang lain mengazankan apabila masuk waktu fajar al-sadiq.” Imam Ibn Hajar dalam ‘Fathul al-Bari’, jilid 4, m/s: 177, juga menaqalkan al-Muhallab dan selainnya berkata: “Hadith ini menjelaskan jarak waktu dengan amalan badan sebagaimana kebiasaan orang arab melakukannya seperti dengan ukuran memerah susu kambing dan selainnya. Maka Zaid bin Thabit RA menyatakan dalam hadith ini dengan tempoh waktu membaca al-Quran sebagai tanda bahawa pada ketika itu adalah waktu beribadah dengan membaca al-Quran. Namun Ibn Abi Hamzah menjelaskan: “Itu adalah tanda bahawa ketika itu para sahabat sibuk dengan beribadah dan ibadah paling utama yang dimaksudkan adalah mengakhirkan sahur.” Bersandarkan dengan hadith inilah ulama berselisih kepada 2 pendapat iaitu:

  • Mengatakan bahawa adanya waktu imsak iaitu sekadar tempoh bacaan ayat al-Quran tersebut yang dianggarkan selama 10 minit sebagai sempadan berhati-hati dengan masuknya waktu subuh.
  • Mengatakan imsak adalah dengan masuknya waktu subuh sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 187: “Dan makan dan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar..”.

 

Apa yang penting adalah larangan untuk meneruskan sahur apabila sudah masuk waktu subuh. Bahkan Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini, jilid 5, m/s: 2982, menyebut: “Maknanya, jarak antara kedua waktu tersebut adalah kadar bacaan 50 ayat al-Quran serta padanya galakan untuk melewatkan sahur sehingga dekat masuk waktu fajar”. Wallahu a’lam.

 

5. Terhasilnya makan sahur itu dengan apa sahaja yang dimakan dan diminum sekalipun sekadar meminum seteguk air dengan berniat bersahur dengannya, sudah memadai untuk mendapat keberkatan daripada bersahur tersebut serta sebaik-baik makanan sahur adalah kurma. Justeru itu, adalah disunnahkan mengakhirkan sahur agar tidak terlepas seseorang yang berpuasa untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah kerana Rasulullah SAW pernah bersabda: “ Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah seolah-olah dia telah solat sepanjang malamnya.” (Hadith riwayat Muslim, no. 656, Abu Dawud, no. 555, at-Tirmizi, no. 221, Ahmad, no. 385). Semoga Allah memberikan keberkatan kepadanya.