A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Talhah bin Ubaidullah RA
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: كِتَابُ الصَّوْمِ - Puasa
Bab: Kewajipan puasa Ramadhan dan firman Allah: Wahai orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa
No. Hadith: 1891
Matan Hadith:

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ ، أَنَّ أَعْرَابِيًّا جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَائِرَ الرَّأْسِ ، فَقَالَ: "يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَخْبِرْنِي مَاذَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ ؟ فَقَالَ : الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ ، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ شَيْئًا ، فَقَالَ : أَخْبِرْنِي مَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنَ الصِّيَامِ ؟ فَقَالَ : شَهْرَ رَمَضَانَ ، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ شَيْئًا ، فَقَالَ : أَخْبِرْنِي بِمَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنَ الزَّكَاةِ ؟ فَقَالَ : فَأَخْبَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَرَائِعَ الْإِسْلَامِ ، .قَالَ : وَالَّذِي أَكْرَمَكَ لَا أَتَطَوَّعُ شَيْئًا وَلَا أَنْقُصُ مِمَّا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ شَيْئًا ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَفْلَحَ إِنْ صَدَقَ ، أَوْ دَخَلَ الْجَنَّةَ إِنْ صَدَقَ".

-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الصيام، باب وجوب صوم رمضان، وقوله تعالى: يا أيها الذين أمنوا كتب عليكم الصيام... ، حديث رقم  1891 وفيه 6956، والنسائي في سننه، حديث رقم  2090، 5028.  

Terjemahan:

Daripada Talhah bin Ubaidullah RA, bahawa seorang arab badwi menemui Rasulullah SAW dalam keadaan kepalanya penuh debu, lalu berkata: “Ya Rasulullah, beritahukanlah kepadaku solat apakah yang Allah wajibkan atasku?”. Baginda SAW menjawab: “Solat lima waktu, kecuali jika engkau suka mengerjakan solat sunat.” Si arab badwi tadi bertanya lagi: “Beritahukanlah kepadaku puasa apakah yang Allah wajibkan bagiku?”. Baginda SAW menjawab: “Puasa bulan Ramadhan, kecuali jika engkau suka mengerjakan puasa sunat.” Si arab badwi tadi  bertanya lagi: “Beritahukanlah kepadaku, zakat apakah yang Allah wajibkan atasku?”, maka Rasulullah SAW memberitahukan kepadanya tentang syariat-syariat Islam, lalu arab badwi tersebut mengataka:  “Demi Zat yang memuliakanmu, saya tidak suka melakukan yang sunat dan tidak akan mengurangi sedikitpun yang telah Allah fardhukan ke atas diriku.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Dia seorang yang beruntung jika dia benar atau  dia akan memasuki syurga jika dia benar.”

(Hadith riwayat al-Bukhari, no.1891, 6956, an-Nasaie, no. 2090,5028)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:

1.       Segala puja dan puji milik mutlak Allah SWT yang telah mengabulkan doa hamba-Nya dan memberikan kepada hamba-Nya peluang serta kesempatan untuk mendapat rahmat dan keampunan disebalik kedatangan Ramadhan. Sesungguhnya puasa itu satu kefardhuan daripada kefardhuan-kefardhuan yang telah diwajibkan oleh Allah SWT.

2.       Perkataan Ramadhan berasal daripada kata dasar " رَمَضَ " , yang bererti “panas” atau “panas yang menyengat”. Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud “menjadi panas atau sangat panas”, atau diertikan juga sebagai “hampir membakar”. Makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tenggorok terasa haus disebabkan sedang berpuasa. 

3.       Dikhabarkan para salafussoleh melakukan persiapan enam bulan sebelumnya untuk menghadapi Ramadhan dan sentiasa berdoa agar berkesempatan bertemu Ramadhan. Imam Ibn Rejab al-Hanbali dalam kitabnya ‘Lataif al-Ma’arif’ (muka surat 154-158) berkata: “Hadith ini merupakan sumber asal dalam menyatakan Nabi SAW dan para sahabat RA akan saling mengucapkan tahniah dan memberikan khabar gembira apabila datangnya Ramadhan. Justeru, bagaimanakah seorang beriman tidak akan bergembira apabila semua pintu syurga dibuka tanda rahmat Allah terbuka luas kepada hamba-Nya. Bagaimanakah pula seorang beriman tidak akan bergembira apabila semua pintu neraka ditutup, mengambarkan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya dengan keampunan. Bagaimanakah pula kegembiraan tersebut akan lebih bertambah apabila syaitan-syaitan dibelenggu daripada menghasut dan memperdaya hamba-hamba Allah untuk tidak merebut peluang ini. Bilakah lagi masanya? Bersegeralah wahai orang beriman  dengan memperbanyakkan amalan dan berhentilah wahai pelaku maksiat kerana mungkin ini Ramadhan-mu yang terakhir.

Marilah kita bersama menyatakan kesyukuran dan memohon keselamatan daripada sebarang gangguan untuk menelusuri Ramadhan ini dengan berdoa:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا لِرَمَضَانَ وَسَلِّمْ رَمَضَانَ مِنَّا ، وَتَسَلَّمْهُ مِنَّا مُتَقَبَّلا

 (Ya Allah, berilah keselamatan kepada kami untuk (menghadapi) Ramadhan. Berilah kesejahteraan Ramadhan untuk kami dan terimalah ibadah Ramadhan daripada kami dengan sebenar-benar penerimaan)”. (Diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam kitabnya ‘al-Du’a’, no. 902, al-Dailami dalam musnad al-Firdaus, daripada Ubadah bin Somit RA, beliau berkata: Adalah Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kami beberapa kalimah doa apabila datangnya Ramadhan).