A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Abu Hurairah RA
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: كِتَابُ الصَّوْمِ - Puasa
Bab: Larangan mendahulukan puasa Ramadhan sehari atau dua hari sebelumnya
No. Hadith: 1914
Matan Hadith:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ. متفق عليه.

التخريج: صحيح البخاري، كتاب الصوم، باب لا يتقدم رمضان بصوم يوم ولا يومين، حديث رقم 1914، عن أبي هريرة رضي الله عنه.

Terjemahan:

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda: “Janganlah kalian mendahulukan Ramadhan dengan berpuasa  sehari atau dua hari (sebelumnya) kecuali jika seseorang yang kebiasaannya berpuasa, maka berpuasalah pada hari tersebut." (Muttafaqun 'Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 1914, Muslim no. 1082, An-Nasaie, no. 2174, Ahmad, no. 7449)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:
  1. 'Hari mmegang' adalah istilah yang digunakan oleh mereka yang tinggal di pantai timur semenanjung, bagi hari melihat anak bulan dan hari yang dilarang seseorang itu berpuasa pada 29 Sya'ban iaitu sehari atau dua hari sebelum masuknya Ramadhan bagi penentuan bilakah jatuhnya 1 Ramadhan.
  1. Imam Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari (Jilid 4, muka surat 151) dalam menjelaskan hadith ini berkata: “Larangan (yang terdapat dalam hadith) tersebut sebagai bentuk kasih sayang kepada umat Islam agar tidak berasa lemah dalam melakukan kewajiban puasa dalam bulan Ramadhan, sehingga dapat melaksanakannya dengan penuh semangat dan kesungguhan. Adapun bagi orang yang telah banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban dan terbiasa dengannya, maka telah hilanglah rasa berat itu.”  Kebanyakan Ulama mengatakan bahawa berpuasa di akhir bulan Sya’ban ada tiga bentuk:

Pertama – Jika berniat puasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan sebagai suatu langkah berhati-hati itu adalah hari Ramadhan, maka perkara ini adalah dilarang agar tidak menambah hari berpuasa Ramadhan yang tidak disyariatkan.

Kedua – Jika berniat untuk berpuasa nazar atau mengqadha puasa Ramadhan yang belum ditunaikan atau membayar kafarah, maka kewajipan menqadanya adalah lebih dituntut dengan dalil yang qat'ie berbanding larangannya hanya berdalil zonni.

Ketiga – Jika hanya berniat berpuasa sunat semata, maka ulama mengatakan harus ada pemisah antara puasa Sya'ban dan Ramadhan serta melarangnya walaupun itu bertepatan hari kebiasaan dia berpuasa.

Namun perlu dilihat apakah puasa tersebut adakah puasa yang biasa dilakukan atau tidak. Ini berdasarkan teks hadith di atas, jika satu atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kebiasaan dia berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, maka ia dibolehkan. Namun jika tidak, maka ia  dilarang. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Asy-Syafi’i, Imam Ahmad dan Al-Auza’i. (Lataif Al-Ma’arif, 257-258)

  1. Antara hikmah lain larangan untuk melakukan puasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kerana puasa Ramadhan kewajipannya bergantung pada Ru’yah Hilal (melihat anak bulan), sesiapa yang (sengaja dan bukan puasa kebiasaannya) mendahului bulan Ramadhan dengan sehari atau dua hari puasa, dia seolah-olah memutuskan hukum tersebut, iaitu hukum kewajipan berpuasa Ramadhan tanpa mengikut Ru’yah Hilal, demikian penakwilan fuqaha’ mengenai hikmah larangan ini. Wallahu A'lam.

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sahih al-Bukhari
  2. Kitab Sahih Muslim
  3. Kitab Sunan An-Nasaie
  4. Kitab Musnad Ahmad
  5. Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-'Asqolani
  6. Kitab Syarh Muslim Li Imam An-Nawawi
  7. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misyakatul Masobih
  8. Kitab Lataif al-Ma'arif Li Ibn Rejab Al-Hanbali
  9. Kitab al-Mufassal Li Duktur 'Abdul Karim Zaidan.