A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Abdullah bin Mas'ud RA
Koleksi: Sahih Muslim
Kitab: 2. كِتَابُ الإِيمَانِ - Iman
Bab: Haramnya Sifat Sombong dan Penjelasannya
No. Hadith: 91
Matan Hadith:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ، قَالَ رَجُلٌ: إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً، قَالَ: إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ.

أخرجه مسلم في صحيحه، كِتَابٌ الْإِيمَانُ،  بَابٌ تَحْرِيمُ الْكِبْرِ وَبَيَانُهُ، حديث رقم 91 (147).

Terjemahan:

Daripada ‘Abdullah bin Mas'ud r.a., daripada Nabi SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang  dalam hatinya terdapat seberat zarah daripada sifat kesombongan. Lalu seorang lelaki bertanya: "Sesungguhnya seorang lelaki suka memakai baju dan kasutnya yang baik, (apakah ini termasuk daripada kesombongan)?" Baginda menjawab: "Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia lain." (Riwayat Muslim, no. 91 (147))

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:
  1. Dalam bahasa arab, zarah mempunyai beberapa makna. Di antara maknanya adalah:
  • Semut kecil yang diletakkan pada sebuah timbangan, maka sangat sedikit beratnya bahkan hampir-hampir tidak ada;
  • Sebutir tanah yang masih melekat pada tangan seseorang tatkala dia membersihkan telapak tangannya setelah dia memukulkan tangannya pada tanah;
  • Sebuah partikel-partikel kecil yang nampak tatkala cahaya matahari pagi menyinari jendela yang sedang dibuka. Semua makna zarah ini menunjukkan bahawa ia adalah suatu yang sangat kecil dan jika dinaikkan di atas timbangan, hampir-hampir tidak memiliki berat sama sekali.
  1. Sifat sombong pula boleh disama erti dengan makna ujub iaitu merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain sedangkan dia adalah sebaliknya dan ia merupakan sifat mazmumah yang perlu dijauhi. Seseorang memakai pakaian yang cantik dan memiliki harta yang banyak, namun dia tidak sombong dengan semua itu serta tidak pula menghina dan merendahkan orang lain maka dia tidak termasuk dalam golongan orang yang sombong. Sebaliknya, seseorang yang miskin dan secara penampilannya memilki sikap zuhud tetapi hatinya dipenuhi dengan kesombongan, maka dia akan terhalang daripada memasuki syurga. Inilah yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam syarahnya (1/276): “Hadith ini adalah larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka dan menolak kebenaran.” Bahkan orang yang sombong adalah seseorang yang tidak mahu mendengarkan penjelasan, keterangan, perkataan orang lain atau pihak lain dengan menolaknya dan mengingkarinya. Lebih buruk daripada itu, dengan disedari ataupun tanpa disedari kekadang ada yang akan merendahkan, menghina dan mencemuh orang lain disebabkan sifat ego dan sombongnya kepada diri sendiri yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain, dirinya lebih besar pangkatnya, dirinya lebih berilmu, lebih betul/ benar dan sikap tidak mengakui kesilapan diri sendiri mengakibatkan nasihat tersebut akan ditolak atau tidak didengari jika disampaikan oleh orang yang lebih rendah daripadanya.
  2. Justeru, bermuhasabalah dengan melihat keburukan diri sendiri dan menutup keaiban orang lain agar sifat sombong tidak menapak dalam hati serta berdoalah agar diberikan sifat rendah diri daripada sifat sombong ini.

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sahih Muslim
  2. Kitab Syarh Sahih Muslim Li an-Nawawi
  3. Kitab Riyadus Salihin