A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Anas bin Malik RA
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: كِتَابُ الصَّوْمِ - Puasa
Bab: Kelebih Bersahur Tanpa Diwajibkan
No. Hadith: 1923
Matan Hadith:

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَسَحَّرُوْا، فَإِنَّ فِي السُّحُوْرِ بَرَكَةً. متفق عليه.

-أخرجه البخاري في صحيحه،  كتاب الصوم، باب بركة السحور من غير إيجاب، حديث رقم 1923، ولمسلم في صحيحه، كتاب الصيام، باب فضل السحور وتأكيد استحبابه واستحباب تأخيره وتعجيل الفطر، حديث رقم 1095.

Terjemahan:

Daripada Anas RA, beliau berkata, Nabi ﷺ bersabda: “Hendaklah kamu semua bersahur, kerana sesungguhnya dengan bersahur itu ada keberkatan.”

(Muttafaqun ‘Alayhi, riwayat al-Bukhari, no. 1923, Muslim, no. 1095, at-Tirmizi,  no. 708, an-Nasaie, no. 2144)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:
  1. Berkat adalah berasal daripada bahasa arab iaitu ‘ بَرَكَ ‘. Dari segi bahasa bermakna tempat tinggal, manakala maksudnya adalah pertambahan, peningkatan dan kebahagiaan. Hakikat keberkatan itu datang daripada Allah SWT melalui pelbagai cara, samada melalui amalan, tempat, doa dan lain-lain.

  1. Bersahur adalah sunat muakkad bagi yang berpuasa. Imam Ibn Hajar al-‘Asqolani dalam ‘Fathul al-Bari’ (jilid 4, m/s: 179) mengatakan: “Keberkatan bersahur terhasil daripada sudut yang pelbagai iaitu:

  1. Mengikuti sunnah Nabi SAW;

  2. Membezakan puasa ahli kitab yang tidak bersahur;

  3. Mendatangkan kekuatan dalam beribadah;

  4. Menambahkan kecergasan dalam berpuasa;

  5. Menjadi benteng kepada buruknya akhlak kesan daripada menahan lapar (seperti malas beribadah);

  6. Menjadi galakan untuk bersedekah kepada yang meminta ketika waktu sahur itu;

  7. Menjadi galakan untuk berjemaah ketika makan sahur;

  8. Menjadi galakan untuk berzikir dan berdoa ketika waktu mustajab doa;

  9. Memperingatkan bagi yang lupa berniat puasa sebelum tidur.”

  1. Justeru, waktu sahur juga adalah salah satu waktu istimewa di bulan Ramadan kerana Allah SWT menawarkan keampunan, pemberian, kebaikan dan mustajabnya doa kepada hamba-hamba-Nya yang mendirikan malam.

 

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sahih al-Bukhari

  2. Kitab Sahih Muslim

  3. Kitab Jami’ at-Tirmizi

  4. Kitab Sunan an-Nasa’i

  5. Kitab Fathu al-Bary ٍ Syarh Sahih al-Bukhari