A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: ‘Abdullah bin 'Amru RA
Koleksi: Sahih Muslim
Kitab: Menyusui- كِتَابٌ الرِّضَاعُ
Bab: Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah
No. Hadith: 1467
Matan Hadith:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا؛ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ. 

التخريج: صحيح مسلم، كِتَابٌ الرِّضَاعُ،  بَابٌ خَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا ؛ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ. حديث رقم 1467، عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنه.

Terjemahan:

Daripada 'Abdullah bin ‘Amru RA, bahawa Rasulullah   bersabda: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.”

(Hadith riwayat Muslim, no. 1467, An-Nasaa'i, no. 3232, Ibn Majah, no. 1885, Ahmad, no. 6567, al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 3442)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:

1. Allah SWT telah menjadikan kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan dan kebahagiaan untuk sementara waktu sahaja dan sesungguhnya hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. 

 

2. Hadith ini telah menjelaskan bahawa untuk mencapai kebahagiaan di dunia ini, pelengkapnya adalah wanita solehah. Bagi mengenali wanita solehah, keutamaan dan ciri-cirinya telah dijelaskan oleh beberapa hadith, antaranya:

 

i. Telah diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dalam sunannya sebuah hadith Ibn 'Abbas RA, yang bermaksud: "Mahukah aku beritahukan kepadamu tentang simpanan harta yang paling baik oleh seseorang lelaki?  (Iaitu) Wanita solehah; apabila seorang lelaki (samada ayahnya atau suaminya atau abangnya) melihat kepadanya, dia akan menggembirakannya, apabila  diberi arahan kepadanya, wanita itu taat dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (Hadith riwayat Abu Dawud, Kitabu Az-Zakah, Baabu Fi Huquuqi al-Maali, no.1664, berkata al-Arna'ut: Hadith dhaif dan disahihkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 3281 [1/408-409])

 

ii. Telah diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam sunannya, daripada Abu Umamah RA, Nabi menyebut: “Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah selepas taqwanya kepada Allah SWT, lebih daripada isteri yang solehah; Jika disuruh (suaminya), dia taat, jika (suaminya) melihat kepadanya, dia menyenangkannya. Jika dia bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan (suaminya), dia menjaga diri dan hartanya.” (Hadith riwayat Ibn Majah, Kitabu An-Nikah, Baabu Afdhalu An-Nisaa'i, no. 1857, berkata al-Arna'ut: Hadith dhaif)

 

3.    Justeru, wanita solehah adalah berkait rapat dengan seorang isteri yang akan melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, seterusnya menjadi wanita yang solehah dan akhirnya menjadi isteri yang mithali. Hal ini juga telah dirakamkan oleh Allah SWT dengan doa orang yang beriman dalam Surah al-Furqan, ayat 74 yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami; perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

اللّٰهُمَّ آمِينَ.

 

Sumber rujukan:

1.       Kitab Sahih Muslim, Terbitan Dar Ihya’ at-Turathu al-‘Arabi

2.       Kitab Sunan Abu Dawud, Terbitan Dar ar-Risaalah al-‘Alamiyyah (1/2009)

3.       Kitab Sunan Ibn Majah, Terbitan Dar ar-Risaalah al-‘Alamiyyah (1/2009)

4.       Kitab Musnad Ahmad, Terbitan Dar al-Hadith al-Qahirah (1/1995)

5.       Kitab al-Mustadrak ‘Ala as-Sahihain Li al-Hakim, Terbitan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah (1/1990)

6.       Kitab al-Kawaakib al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, Terbitan Dar al-Minhaj (1/2009)

7.       Kitab ‘Auni al-Ma’bud, Terbitan Dar ar-Risaalah al-‘Alamiyyah (2/1415H)

8.       Kitab Hasyiah as-Sindi ‘Ala Ibn Majah, Terbitan Dar al-Jil

9.       Kitab al-Kasyif ‘An Haqaaiq as-Sunan, Terbitan Maktab Nazzar (1/1997)