A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Abdullah bin Abbas RA
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: 11. كِتَابُ الجُمُعَةِ - Solat Jumaat
Bab: Rukhsah Tidak Menghadiri Jumaat Disebabkan Hujan Lebat
No. Hadith: 901
Matan Hadith:

عَنْ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ لِمُؤَذِّنِهِ فِي يَوْمٍ مَطِيرٍ، إِذَا قُلْتَ: أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَلَا تَقُلْ: حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ، قُلْ: صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ، فَكَأَنَّ النَّاسَ اسْتَنْكَرُوا قَالَ: فَعَلَهُ مَنْ هُوَ خَيْرٌ مِنِّي إِنَّ الْجُمْعَةَ عَزْمَةٌ وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أُحْرِجَكُمْ فَتَمْشُونَ فِي الطِّينِ وَالدَّحَضِ. رواه البخاري ومسلم وأبو داود وإبن ماجه.

التخريج: صحيح البخاري، كِتَابٌ الْجُمُعَةُ ، بَابُ الرُّخْصَةِ إِنْ لَمْ يَحْضُرِ الْجُمُعَةَ فِي الْمَطَرِ، حديث رقم 901، عن عبد الله بن عباس رضي الله عنه.

Terjemahan:

Daripada Ibnu 'Abbas RA, beliau berkata kepada muazzinnya saat hari turun hujan lebat: "Jika kamu sudah mengucapkan: أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ', janganlah kamu sambung dengan; حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ : (Marilah mendirikan solat) '. Tapi serukanlah; صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ : (Solatlah kamu di rumah-rumah kamu)." Lalu orang ramai seakan mengingkarinya. Maka Ibnu 'Abbas RA pun berkata; "Sesungguhnya hal yang demikian ini pernah dilakukan oleh orang yang lebih baik daripadaku. Sesungguhnya solat Jumaat adalah satu ‘azimah (ketetapan) dan aku tidak suka untuk mengeluarkan kalian (untuk menunaikan solat), sehingga kalian berjalan di tanah yang penuh dengan air dan lumpur." (Hadith riwayat al-Bukhari, no. 901, Muslim, no. 699, Abu Dawud, no. 1066, Ibn Majah, no. 939).

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:
  1. Azan dan solat berjemaah merupakan syiar Islam. Walaubagaimana pun terdapat rukhsah keuzuran yang dibenarkan syarak, antaranya:
  1. Agar tidak menyusahkan dalam suasana yang sukar seperti hujan lebat, angin kuat, gelap-gelita dan lain-lain
  2. Demi menjaga kemaslahatan umat
  3. Apabila timbul ketakutan
  4. Demi menjaga keamanan dan keselamatan

 

  1. Perubahan lafaz azan ini ada dijelaskan dalam beberapa kitab fiqh dan hadith yang disebutkan dalam banyak riwayat yang berlainan lafaznya tetapi maksudnya sama bagi menggantikan lafaz seruan hay’alatain (حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ، حَىَّ عَلَى الفَلاَحِ) antaranya;
  1. Lafaz (صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu”
  2. Lafaz (صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu”
  3. Lafaz (الصَّلَاةُ فِي الرِّحَالِ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu”

 

  1. Lafaz tersebut diubah bagi memberitahu ahli qaryah agar menunaikan solat di rumah masing-masing tanpa perlu solat di masjid disebabkan keuzuran yang dibenarkan sebagaimana dalam hadith ini keuzurannya adalah hujan lebat. Dalam memahami hadith ini beberapa pendapat ulama hadith ada menjelaskan, antaranya:
  1. “Jawapan seruan azan” - Imam al-Jurdani dalam kitabnya Fathu al-‘Alam Bisyarhi Mursyidi al-Anaam (2/130) menyebut: “Sebagaimana menjawab lafaz seruan muazzin hay’alatain (حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ، حَىَّ عَلَى الفَلاَحِ), maka ketika waktu malam hujan lebat dengan seruan azan: (صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu” juga dijawab dengan: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ – (Tiada daya (dalam melakukan ketaatan) dan upaya (dalam meninggalkan maksiat) melainkan dengan pertolongan Allah jua).
  2. Solat Jumaat adalah satu ‘azimah (ketetapan)” - Imam Ibn Hajar al-Asqolani dalam kitabnya Fathu al-Bary (2/494) dalam mensyarahkan hadith ini menyebut: “Apa yang dikehendaki daripada maksud “Solat Jumaat adalah satu ‘azimah (ketetapan)”iaitu jika sekiranya muazzin meninggalkan seruan; حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ - (Marilah mendirikan solat) bagi menarik perhatian kepada yang mendengarnya untuk datang ke masjid dalam keadaan hujan lebat nescaya akan menyulitkannya, maka muazzin itu diperintahkan untuk menyeru; (صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu”, bagi memberitahu dengan sebab hujan lebat itu adalah salah satu keuzuran yang dirukhsahkan bagi sesuatu kewajipan.”
  3. “Mustahab Menukar Lafaz Azan” - Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu‘ (3/138) menaqalkan kalam Imam al-Syafie yang menyebut: “Jika sekiranya waktu malam hujan lebat atau angin kuat dan gelap-gelita, adalah mustahab (sunat) seorang muazzin selepas daripada azannya menyebut: (أَلاَ صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Ketahuilah oleh kamu, solatlah kamu di rumah-rumah kamu”, dan sekiranya muazzin menyebutnya ketika azan iaitu selepas menyebut lafaz hay’alatain (حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ، حَىَّ عَلَى الفَلاَحِ), maka dibolehkan, inilah yang dinaskan.”
  4. “Rukhsah Ketika Hujan Lebat” - Imam al-Nawawi dalam syarahnya bagi Sahih Muslim (3/213) menyebut: “Hadith ini adalah dalil kelonggaran tidak mendirikan solat berjemaah disebabkan hujan lebat dan yang seumpamanya daripada keuzuran. Bahkan solat dituntut didirikan secara berjemaah melainkan disebabkan keuzuran tersebut. Pensyariatan ini juga merupakan satu kewajipan dengan berjemaah melainkan apabila timbul kesulitan bagi mendirikannya.”
  5. “Pelaksanaan Azan”- Imam al-Nawawi pula dalam syarahnya bagi Sahih Muslim (3/213) menyebut: “Berdalilkan hadith Ibn ‘Abbas RA ini, hendaklah muazzin melaungkan: (صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu” ketika azan. Manakala dalam hadith Ibn ‘Umar RA pula, hendaklah muazzin menyebutnya selepas daripada azan. Kedua-dua cara ini adalah diharuskan sebagaimana dinaskan oleh Imam al-Syafi‘I dalam Kitab al-Umm dalam Kitab al-Azan dan inilah yang diikuti oleh jumhur ashab kami (pengikut mazhab syafi‘i). Ianya harus selepas azan dan ketika azanbersumberkan dalil Sunnah pada kedua-duanya, tetapi pendapat selepas azan itu adalah lebih baik bagi mengekalkan lafaz azan yang asal.
  6. “Hujan Lebat Adalah Keuzuran Daripada Berjumaat dan Berjemaah” - Imam al-Nawawi (3/214) juga mengakhiri syarah hadith ini dengan menyebut: “Pada hadith ini merupakan dalil gugurnya kewajipan berjumaat dengan sebab adanya keuzuran apabila turun hujan lebat dan seumpamanya. Itulah pandangan mazhab kami dan selainnya.

 

  1. Justeru, rukhsah dan keuzuran adalah suatu kelonggaran yang diberikan Allah SWT keatas hamba-hamba-Nya agar tidak merasa terbeban atau kesulitan dalam mentaati perintah-Nya. Jika tiada rukhsah atau keuzuran yang dibenarkan maka setiap Muslim adalah dituntut mengamalkannya.

 

Sumber rujukan:

  • Kitab Sahih al-Bukhari
  • Kitab Sahih Muslim
  • Kitab Sunan Abu Dawud
  • Kitab Sunan Ibn Majah
  • Kitab Fathu al-Bary
  • Kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim
  • Kitab Syuruh Sunan Ibn Majah
  • Kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab
  • Kitab Fathu al-‘Alam Bisyarhi Mursyidi al-Anaam