A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Uthman Bin Affan
Koleksi: Sunan Abu Dawud
Kitab: al-Adab
Bab: Apa yang dibaca di waktu pagi
No. Hadith: 5088
Matan Hadith:

عَمَّنْ سَمِعَ أَبَانَ بْنَ عُثْمَانَ يَقُولُ سَمِعْتُ عُثْمَانَ يَعْنِي ابْنَ عَفَّانَ يَقُولُ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : مَنْ قَالَ : بِاسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ. قَالَ : فَأَصَابَ أَبَانَ بْنَ عُثْمَانَ الْفَالِجُ ، فَجَعَلَ الرَّجُلُ الَّذِي سَمِعَ مِنْهُ الْحَدِيثَ يَنْظُرُ إِلَيْهِ، فَقَالَ لَهُ : مَا لَكَ تَنْظُرُ إِلَيَّ ؟ فَوَاللَّهِ مَا كَذَبْتُ عَلَى عُثْمَانَ، وَلَا كَذَبَ عُثْمَانُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَكِنَّ الْيَوْمَ الَّذِي أَصَابَنِي فِيهِ مَا أَصَابَنِي غَضِبْتُ فَنَسِيتُ أَنْ أَقُولَهَا. رواه أبو داود والترمذي وإبن ماجه وأحمد.

التخريج: سنن أبي داود، كِتَابِ الْأَدَبِ،  أَبْوَابُ النَّوْمِ،  بَابٌ مَا يَقُولُ إِذَا أَصْبَحَ، حديث رقم 5088، عن عثمان بن عفان رضي الله عنه، وقال شعيب الأرناؤوط، حديث حسن.

Terjemahan:

Daripada seseorang yang mendengar Aban bin Uthman berkata; Aku mendengar Uthman  -maksudnya Uthman bin Affan RA, beliau berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mengucapkan:

بِاسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

(Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui), sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan sesiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam)." Perawi berkata: "Lalu Aban tertimpa penyakit lumpuh, hingga orang yang mendengar hadith daripadanya melihat kepadanya (Aban), maka Aban pun berkata, "Kenapa kamu melihat aku? Demi Allah, aku tidak berbohong atas nama Uthman, dan Uthman tidak berbohong atas nama Nabi SAW. Tetapi pada hari ketika aku tertimpa penyakit ini, aku sedang marah hingga aku lupa membacanya." (Hadith riwayat Abu Dawud, no. 5088, at-Tirmizi, no. 3388, Ibn Majah, no. 3869, Ahmad, no. 497)

Status Hadith: Hasan
Pengajaran:
  1. Zikir mempunyai maksud yang teramat luas, samada mengingati Allah SWT dengan hati yang khusyuk atau dengan berdoa atau dengan memuji dan menyebut nama Allah SWT yang Maha Mulia atau dengan mematuhi semua perintah dan menjauhi semua larangan Allah SWT. Zikir juga termasuk setiap pergerakan mahupun perbuatan yang berhubung dengan Allah SWT. Dengan berzikir seorang hamba akan lebih dekat dengan Tuhannya dan memelihara dirinya daripada gangguan syaitan serta bala bencana.

 

  1. Imam al-Nawawi telah meletakkan hadith ini dalam kitabnya Riyadus Solihin dalam bab zikir pagi dan petang. Manakala dalam Sunan Abu Dawud, Imam Abu Dawud al-Sijistani telah meletakkan hadith ini dalam bab apa yang dibaca di waktu pagi. Imam al-‘Azim Abadi dalam kitabnya 'Aunu al-Ma'bud dalam mensyarahkan hadith ini berkata: “ Imam al-Qari telah menaqalkan daripada at-Tibi, menjelaskan bahawa:

 

  1. Nabi SAW telah mengajarkan kepada umat baginda untuk membaca doa ini sebanyak tiga kali pada setiap awal pagi dan petang yang merupakan sebaik-baik waktu dipermulaan siang dan malam agar terlindung daripada sebarang musibah disepanjang hari.
  2. Doa ini dimulai dengan nama Allah SWT sambil memohon perlindungan dengan kebesaran nama Allah SWT daripada setiap perkara yang memudharatkan.
  3. Allah jualah yang memiliki kemanfaatan dan kemudharatan. Tidak ada sesuatupun yang dapat memberikan kemudharatan di bumi mahupun di langit dengan sebarang musibah yang diturunkan melainkan Allah SWT menghendakinya.
  4. Allah jualah yang Maha Mendengar akan rintihan setiap hamba-Nya serta Maha Mengetahui akan setiap perbuatan hamba-Nya. Tidak tersembunyi sesuatu apa pun yang berlaku di bumi mahupun di langit daripada pengetahuan-Nya.
  5. Setiap hamba yang membacanya akan terpelihara daripada sebarang bala musibah yang datang secara tiba-tiba  dan tidak akan memudharatkannya.
  6. Kebenaran kisah ini telah diceritakan oleh Aban perawi hadith ini sendiri daripada kalangan Tabien ketika dirinya ditimpa penyakit lumpuh adalah kerana dia terlupa membaca doa ini. Itulah bukti kisah kebenaran para salafus soleh tentang keimanan mereka dengan qada' dan qadar Allah SWT.

 

  1. Manakala Imam Ibn 'Allan juga dalam kitabnya al-Futuhat ar-Rabbaniyyah (3/100) telah menyebut  dalam kitab syarh al-Jamie al-Soghir karangan Imam al-'Alqimi (al-Kawkabu al-Munir) telah menaqalkan bahawa Imam al-Qurtubi berkata berkenaan hadith ini: "Hadith ini adalah sahih dan apa yang disampaikan adalah benar sebagaimana dalil itu telah dibuktikan dengan pengalaman yang telah berlaku. Maka semenjak aku mendengar hadith ini dan beramal dengannya tidak berlaku suatu mudharat pun keatas diriku hinggalah aku terlupa membacanya dan menyebabkan seekor kala jengking telah menyengatku pada satu malam di Madinah. Lantas aku teringat bahawa aku telah terlupa  memohon perlindungan dengan membaca kalimah-kalimah tersebut.

 

  1. Banyak lagi doa-doa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW tanpa mengkhususkannya kepada satu perkara sahaja, tetapi diumumkan kepada semua mudharat mahupun wabak atau bala bencana mengikut ketentuan Allah SWT ke atas individu yang berbeza-beza. Bahkan doa merupakan senjata orang mukmin dan salah satu ibadah yang hebat kerana dengan berdoa walaupun dalam sekecil-kecil perkara juga menunjukkan betapa tingginya pergantungan seorang hamba dengan Penciptanya yang Maha Memberikan Perlindungan.

 

  1. Di samping itu, walaupun sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah daripada Allah SWT dan Nabi SAW, namun dalam bab berdoa ini terdapat keluasan yang mana tidak semestinya diwajibkan berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran atau yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith atau dalam bahasa arab sahaja. Bahkan dibolehkan di dalam bahasa masing-masing selagi makna doa tersebut tidak menyalahi syarak.

 

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sunan Abu Dawud
  2. Kitab Jami'e at-Tirmizi
  3. Kitab Sunan Ibn Majah
  4. Kitab Musnad Ahmad
  5. Kitab 'Aunu al-Ma'bud
  6. Kitab Tuhfatu al-Ahwazi
  7. Kitab al-Futuhat al-Rabbaniyyah