A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Aisyah RA
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: Gerhana- كِتَابُ الْكُسُوفِ
Bab: Bersedekah ketika gerhana
No. Hadith: 1044
Matan Hadith:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ :خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الْأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا. متفق عليه.

التخريج: صحيح البخاري، كِتَابُ الْكُسُوفِ، بَابُ الصَّدَقَةِ فِي الْكُسُوفِ، حديث رقم 1044.

Terjemahan:

Daripada 'Aisyah RA, bahawasanya beliau berkata:  "Pernah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW, lantas Baginda mendirikan solat bersama orang ramai. Lalu Baginda qiyam (berdiri) dalam solatnya dengan memanjangkan qiyamnya (dengan bacaan surah yang panjang). Kemudian Baginda rukuk dengan memanjangkan rukuknya. (Selepas rukuk) Baginda berdiri lagi dengan memanjangkan qiyamnya, namun tidak selama qiyam yang pertama. Kemudian Baginda rukuk dan memanjangkan rukuknya, namun tidak selama rukuknya yang pertama. (Selepas iktidal) Baginda sujud dengan memanjangkan sujudnya. Seterusnya Baginda mengerjakan rakaat kedua seperti pada rakaat yang pertama. Saat Baginda selesai melaksanakan solat, matahari telah nampak kembali. Kemudian Baginda menyampaikan khutbah kepada orang ramai dengan memulai khutbahnya dengan memuji Allah SWT dan mengangungkan-Nya, lalu bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada segala tanda keesaaan dan kebesaran Allah SWT. Tidaklah berlaku gerhana disebabkan kerana mati atau hidupnya seseorang (sebaliknya) jika kalian melihat gerhana, maka perbanyaklah berdoa kepada Allah SWT, bertakbirlah, dirikanlah solat dan bersedekahlah. Kemudian Baginda bersabda lagi: "Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada yang melebihi kecemburuan Allah SWT kecuali saat Dia melihat hamba laki-laki atau hamba perempuan-Nya (yang tergamak) melakukan zina. Wahai umat Muhammad! Demi Allah, seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan lebih banyak menangis."  

(Muttafaqun ‘alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no.  1044, Muslim, no. 901)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:
  1. Allah SWT adalah al-Khaliq, Tuhan yang menjadikan setiap makhluk. Setiap makhluk yang dijadikan membuktikan keesaan dan kebesaran Allah SWT. Antara tanda-tanda kebesaran-Nya adalah fenomena gerhana. Asal perkataan Gerhana [gĕr-ha-na]; adalah pinjaman bahasa Sanskrit iaitu merupakan fenomena astronomi yang berlaku apabila satu objek astronomi bergerak ke dalam bayang objek astronomi yang lain. Ia adalah satu perubahan, suatu fenomena kejadian alam yang memperlihatkan kebijaksanaan, keagungan dan kebesaran Penciptanya, yang berlaku pada matahari dan bulan serta menjadi iktibar kepada sekalian manusia. Bahkan fenomena ini adalah suatu perkara yang amat mudah bagi Allah SWT melakukannya tanpa berhajat kepada mana-mana makhluk ciptaan-Nya kerana seluruh makhluk di alam ini, samada besar, kecil, yang bergerak mahupun yang diam, di bumi mahupun di langit, semuanya tunduk di bawah pengaturan Allah SWT.
  1. Imam al-Bukhari telah menyusun dalam sahihnya satu tajuk kitab berkaitan dengan gerhana dengan diberi nama Kitab al-Kusuf yang terdiri daripada 19 bab yang menghimpunkan sebanyak 27 hadith berkaitan gerhana. Begitu juga Imam Muslim telah menyusun dalam sahihnya Kitab al-Kusuf yang terdiri daripada 5 bab yang menghimpunkan sebanyak 29 hadith berkaitan gerhana. Hadith-hadith ini membicarakan; kaifiat (cara-cara melakukan) solat sunat gerhana, khutbah solat gerhana, sunnahnya solat gerhana di masjid dan dilakukan dengan berjemaah, berlakunya gerhana adalah peringatan Allah SWT agar takut dengan azab-Nya, Nabi SAW memohon perlindungan daripada siksa kubur saat terjadi gerhana, lamanya Nabi SAW sujud ketika gerhana, para wanita bersolat bersama kaum lelaki ketika gerhana, matahari tidak mengalami gerhana  disebabkan kematian ataupun kelahiran seseorang dan seumpamanya. Kesemua hadith-hadith ini memberikan gambaran dan ibrah kepada umat Muhammad SAW akan kegusaran dan kerisauan Nabi SAW apabila berlaku gerhana. Sesungguhnya setiap kali bila tibanya gerhana maka Rasulullah SAW akan mundar-mandir dalam keadaan khuatir yang amat sangat sehingga tergambar kerisauan di wajah Baginda SAW terhadap umatnya kerana gerhana itu salah satu petanda berlakunya kiamat. Apabila tibanya gerhana, Rasulullah SAW akan cepat-cepat mendirikan solat gerhana agar gerhana itu cepat berlalu kerana hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa menahan/ melanjutkan tempoh gerhana itu sehingga ke tempoh yang  Allah SWT telah tetapkan. Manakala hadith ini, Imam al-Bukhari telah meletakkannya dalam bab “Bersedekah ketika gerhana” dan Imam Muslim dalam bab “Solat Gerhana”.
  1. Imam Ibn Hajar dalam mengsyarahkan hadith ini menjelaskan, antaranya:
  1. Pengajaran dan ibrah kepada umatnya tatkala berlaku gerhana adalah menjadi Sunnah melakukan solat sunat gerhana secara berjemaah, memperbanyakkan doa, berzikir dan bersedekah sebagai tanda ketaatan dan keakuran seorang hamba apabila berlakunya tanda-tanda tersebut. Sesungguhnya dengan melakukan amalan ketaatan itu akan menghapuskan dosa dan menolak bencana.
  2. Peringatan daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya agar menjauhi perbuatan maksiat dan perbuatan zina merupakan diantara seburuk-buruk maksiat yang akan memberikan kesan yang besar kepada diri individu mahupun masyarakat.
  3. Menolak dakwaan bahawa matahari dan bulan memberikan kesan kepada alam ini, sebaliknya yang memberi kesan dan berkuasa hanyalah Allah SWT”.
  4. Manusia akan sentiasa memperbanyakkan amalan dan menangis apabila mengetahui dan sedar akan betapa beratnya siksaaan Allah SWT di akhirat nanti.
  1. Imam al-Nawawi dalam syarahnya juga turut menjelaskan: “Bahawa fenomena gerhana pernah berlaku pada zaman Nabi SAW dan Baginda telah menolak dakwaan palsu bahawa ia berlaku kerana kematian Saidina Ibrahim RA, putera Baginda. Ulama mengatakan: “Hikmah sabdaan Nabi SAW (dalam khutbahnya ini) adalah penafian terhadap sebahagian amalan sesat kaum jahiliyyah yang menyembah matahari dan bulan. Ini merupakan pembuktiaan bahawa matahari dan bulan itu adalah makhluk ciptaan Allah SWT sebagaimana makhluk-makhluk lain ciptaan-Nya.” Tidak ada sesuatu yang berlaku samada berbentuk musibah, nasib malang atau manfaat seperti kematian atau kelahiran atas campurtangan daripada makhluk. Semuanya berlaku dan terjadi adalah dengan kekuasaan Allah SWT jua.
  1. Kasih sayang Nabi SAW terhadap umatnya tidak dapat diukur dengan seluruh kasih sayang umat ini terhadap Baginda SAW. Bahkan Baginda sering bermunajat dengan tangisan air mata kepada Allah SWT agar mengampunkan umatnya dan sanggup mengorbankan diri Baginda demi kasih sayang kepada umatnya. Peringatan demi peringatan diberikan kerana Baginda tahu dan telah diperlihatkan oleh Allah SWT akan beratnya azab bagi mereka yang ingkar dan melakukan maksiat kepada-Nya. Seandainya umatnya ini sedar dan mengimani akan apa yang telah disampaikan oleh Nabi SAW ini, nescaya mereka akan sedikit tertawa dan lebih banyak menangis kerana takut akan azab Allah di akhirat nanti.

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sahih al-Bukhari
  2. Kitab Sahih Muslim
  3. Kitab Fath al-Bary Li Ibn Hajar al-Asqalani
  4. Kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim