A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Aisyah RA
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: Solat Istisqa'
Bab: Apa yang dibaca ketika hujan
No. Hadith: 1032
Matan Hadith:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى الْمَطَرَ قَالَ: اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا. رواه البخاري والنسائي وإبن ماجه وأحمد.

التخريج: صحيح البخاري،  كِتَابُ الِاسْتِسْقَاءِ ،  بَابُ مَا يُقَالُ إِذَا أَمَطَرَتْ، حديث رقم 1032.

Terjemahan:

Daripada 'Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW tatkala melihat hujan, Baginda akan berdoa:

 اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

(Ya Allah, jadikanlah hujan ini bermanfaat)”.

(Hadith riwayat al-Bukhari, no. 1032, an-Nasaie, no. 1532, Ibn Majah, no. 3890, Ahmad, no.23448)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:

 

  1. Hujan merupakan kejadian alam yang menjadi proses kitaran kehidupan. Adakalanya hujan menjadi nikmat yang ditunggu-tunggu, terutamanya pada musim kemarau dan ketika kesulitan mendapatkan air. Allah SWT yang berkuasa menurunkannya, bukan manusia atau makhluk-makhluk lainnya. Ia merupakan nikmat dan juga bentruk kasih sayang  Allah kepada makhluk-makhluknya.
  1. Justeru, Nabi SAW mengajarkan kepada umatnya apabila melihat hujan turun agar berdoa dengan doa ini. Bahkan berdoa ketika hujan adalah mustajab sebagaimana disebutkan daripada Sahl bin Sa’ad RA, Rasulullah SAW bersabda:

"إِثْتَتَانِ لَا تُرَدَّانِ: الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ، وَتَحْتَ الْمَطَرِ".

أخرجه الحاكم، كتاب الجهاد، حديث رقم 2534، عن سهل بن سعد رضي الله عنه، وقال: هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه.

Maksudnya: “Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.” (Hadith riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 2534)

  1. Imam Ibn Hajar (jilid 2, halaman 668-669) dalam mensyarahkan hadith ini mengatakan: "Bahawa doa ini adalah mustahab (sunat dan digalakkan) dibacakan selepas turunnya hujan bagi menambahkan lagi kebaikan dan keberkatan serta menjauhi musibah daripada sebarang kemudharatan. Menjadi amalan Nabi SAW apabila melihat awan atau pun hujan turun maka Baginda SAW akan berdoa kepada Allah SWT agar awan atau hujan tersebut membawa rahmat bukannya musibah sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَقُولُ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ الرِّيحِ وَالْغَيْمِ عُرِفَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ وَأَقْبَلَ وَأَدْبَرَ فَإِذَا مَطَرَتْ سُرَّ بِهِ وَذَهَبَ عَنْهُ ذَلِكَ قَالَتْ عَائِشَةُ فَسَأَلْتُهُ فَقَالَ إِنِّي خَشِيتُ أَنْ يَكُونَ عَذَابًا سُلِّطَ عَلَى أُمَّتِي وَيَقُولُ إِذَا رَأَى الْمَطَرَ رَحْمَةٌ. أخرجه مسلم في صحيحه كِتَابٌ : صَلَاةُ الِاسْتِسْقَاءِ،  بَابٌ : التَّعَوُّذُ عِنْدَ رُؤْيَةِ الرِّيحِ وَالْغَيْمِ وَالْفَرَحُ بِالْمَطَرِ، حديث رقم 899.

Maksudnya:

Daripada Aisyah RA, isteri Nabi SAW berkata: " Rasulullah SAW apabila melihat mendung di langit, Baginda berganjak ke depan, ke belakang atau beralih masuk atau keluar dan berubahlah raut wajahnya. Maka apabila hujan turun, Baginda mula menenangkan hatinya dan hilanglah kekhuatirannya. Lantas Aisyah berkata; “Maka saya pun menanyakan hal itu , lalu Baginda menjawab: "Saya khuatir, kemungkinan ini menjadi azab yang ditimpakan ke atas umatku." Dan ketika melihat hujan turun Baginda bersabda: "(Ini adalah) rahmat." (Hadith riwayat Muslim, no. 899).

  1. Antara amalan yang dilakukan Nabi SAW apabila hujan yang turun itu sebagai rahmat daripada Allah SWT ialah Baginda akan membasahkan badannya dengan air hujan tersebut  sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan sebagaimana  disebut oleh Anas bin Malik RA:

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : قَالَ أَنَسٌ : ” أَصَابَنَا وَنَحْنُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَطَرٌ ، قَالَ : فَحَسَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ حَتَّى أَصَابَهُ مِنَ الْمَطَرِ ، فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا ؟ قَالَ : ” لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى “. أخرجه  مسلم في صحيحه،  كِتَابٌ : صَلَاةُ الِاسْتِسْقَاءِ، بَابٌ : الدُّعَاءُ فِي الِاسْتِسْقَاءِ، حديث رقم 898.

Maksudnya:

Daripada Anas RA, beliau berkata; “Kami bersama-sama Rasulullah SAW pernah ditimpa hujan, Anas melanjutkan: “Lalu Rasulullah SAW menyelak pakaiannya, sehingga hujan menimpa (tubuhnya)”. Kami bertanya: “Wahai Rasulullah! Kenapa engkau lakukan hal ini?” Baginda SAW menjawab: “Kerana ia adalah makhluk yang Allah baru diciptakan (Hadith riwayat Muslim, no. 898, Ahmad, no. 11917, 13318). Imam an-Nawawi dalam syarahnya menghuraikan hadith ini mengatakan: “Hadith ini bermaksud hujan adalah rahmat, ia merupakan ciptaan Allah yang baru sahaja diciptakan, maka Nabi SAW bertabarruk (mengambil berkat) dengannya. Hadith ini juga merupakan dalil kepada pendapat ulama mazhab Syafie bahawa digalakkan untuk membuka anggota (tubuh) yang bukan aurat pada awal turunnya hujan, agar air hujan terkena pada badannya”.

  1. Hujan adalah nikmat dan rahmat yang perlu disyukuri serta menjadi muhasabah dan ujian atas seseorang hamba. Itulah bukti kekuasaan Allah SWT yang akan mendorong seorang hamba mengakui ke-Esaan-Nya dan kekuasaan-Nya dan mengikhlaskan diri beribadah kepada Allah SWT. Oleh itu, setiap orang beriman dituntut untuk berdoa ketika turun hujan agar dijauhkan daripada segala bala bencana. Semoga Allah SWT menjadikan setiap hujan yang turun itu sebagai rahmat dan keberkatan daripada-Nya.

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sahih al-Bukhari
  2. Kitab Sahih Muslim
  3. Kitab Sunan an-Nasaie
  4. Kitab Sunan Ibn Majah
  5. Kitab Musnad Ahmad
  6. Kitab al-Mustadrak ala al-Sahihain
  7. Kitab Fath al-Bary
  8. Kitab al-Minhaj ala syarh Sahih Muslim