عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِذَا سَمِعْتُمْ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِي الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
التخريج: صحيح مسلم، كِتَابُ الصَّلَاةِ، بَابُ الْقَوْلِ مِثْلَ قَوْلِ الْمُؤَذِّنِ لِمَنْ سَمِعَهُ ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى، حديث رقم 384.
Daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash RA, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Apabila kalian mendengar (ucapan) mu'azin maka ucapkanlah seperti yang diucapkan mu'azin, kemudian berselawatlah untukku, kerana seseorang yang berselawat untukku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. Mohonlah kepada Allah wasilah untukku, kerana wasilah adalah kedudukan yang tinggi di syurga, tidaklah layak tempat tersebut kecuali untuk seorang hamba daripada hamba-hamba Allah dan aku berharap aku adalah hamba tersebut. Dan sesiapa memintakan wasilah untukku, maka layaklah syafa'at untuknya." (Hadith riwayat Muslim, no. 384, Abu Dawud, no. 523, At-Tirmizi, no. 3614, Al-Nasaie, no. 678, Ahmad, no.6280)
‘Selawat’ (صلوات) adalah kalimah jamak daripada kalimah solat bererti doa atau seruan kepada Allah SWT. Dari segi bahasa pula, selawat bermaksud mendoakan atau memohon berkat kepada Allah SWT dan melimpahkan Rahmat-Nya untuk Nabi SAW dengan ucapan, kenyataan dan pengharapan, semoga Baginda SAW sentiasa dalam kesejahteraan.
Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya pada menjelaskan ayat 33, Surah al-Ahzab dengan menaqalkan kalam Imam al-Bukhari dengan berkata; Berkata Abu al-‘Aliyah: “Maksud Selawat Allah SWT adalah pujian Allah kepada Nabi Muhammad SAW di sisi para malaikatnya, manakala Selawat Malaikat adalah dengan mendoakannya. Berkata Ibn Abbas: “Berselawat bermaksud memberkatinya”. Bahkan sering kali diingatkan akan perintah Allah SWT selepas Allah SWT dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, lantas diperintahkan juga kepada orang-orang beriman untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Sekali seorang hamba berselawat maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali. Maksud Allah SWT berselawat kepada hamba yang berselawat adalah dengan Allah SWT menurunkan rahmat-Nya dan memberikan ganjaran pahala ke atas orang yang berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
إِنَّ الدِّينَ بَدَأَ غَرِيبًا وَيَرْجِعُ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ بَعْدِي مِنْ سُنَّتِي
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Islam itu bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing, iaitu orang orang yang memperbaiki salah satu daripada sunnahku yang telah dirosakkan oleh orang-orang setelahku". (Hadith riwayat At-Tirmizi, no. 2630, Abu Isa berkata; 'Hadith ini hasan sahih”.
اللّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْهُمْ. أّمِيْنَ!
Sumber rujukan: