A- A A+





Koleksi Mutiara Hadith
Senarai Koleksi Mutiara Hadith
Perawi: Shafwan bin 'Abdullah
Koleksi: Sahih Muslim
Kitab: Zikir, doa, taubat dan Istighfar
Bab: Keutamaan Doa Kepada Muslimin di kejauhan dan tanpa diketahui
No. Hadith: 2733
Matan Hadith:

عَنْ صَفْوَانَ وَهُوَ ابْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ صَفْوَانَ وَكَانَتْ تَحْتَهُ الدَّرْدَاءُ قَالَ: قَدِمْتُ الشَّامَ فَأَتَيْتُ أَبَا الدَّرْدَاءِ فِي مَنْزِلِهِ فَلَمْ أَجِدْهُ وَوَجَدْتُ أُمَّ الدَّرْدَاءِ فَقَالَتْ: أَتُرِيدُ الْحَجَّ الْعَامَ؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ. قَالَتْ: فَادْعُ اللَّهَ لَنَا بِخَيْرٍ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ. قَالَ: فَخَرَجْتُ إِلَى السُّوقِ فَلَقِيتُ أَبَا الدَّرْدَاءِ، فَقَالَ لِي مِثْلَ ذَلِكَ يَرْوِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

التخريج: صحيح مسلم، كتاب الذكر والدعاء والتوبة والإستغفار، باب فضل الدعاء للمسلمين بظهر الغيب، حديث رقم 2733، عن  صفوان  بن عبد الله رضي الله عنه.

Terjemahan:

Daripada Shafwan bin 'Abdullah bin Shafwan dan riwayat selanjutnya adalah daripada (Ummu) al-Darda' RA, Shafwan RA berkata: "Saya pernah pergi ke Syam dan mengunjungi Abu al-Darda' RA di rumahnya. Namun saya tidak bertemu dengan beliau, lalu saya pergi menjumpai Ummu al-Darda' RA.  Setelah itu, Ummu al-Darda' RA bertanya kepadaku: "Wahai Shafwan, apakah kamu akan pergi haji pada tahun ini? Saya pun menjawab: "Ya". Ummu al-Darda' RA berkata lagi: "Mohonlah kepada Allah SWT kebaikan untuk kami, kerana Rasulullah SAW telah bersabda: "Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim daripada kejauhan tanpa diketahui olehnya akan terima. Setiap kali dia berdoa untuk kebaikan kepada saudaranya,  disisinya akan ada malaikat yang diutuskan dan  mengucapkan: " آمِينَ ",  dan berkata:  “Bagi kamu juga akan mendapat seperti itu." Shafwan RA berkata lagi: "Setelah itu saya pergi ke pasar dan di sana saya bertemu dengan Abu al-Darda'. Ternyata dia pun mengatakan seperti itu kepada saya sebagaimana yang diriwayatkannya daripada Nabi Muhammad SAW." (Hadith riwayat Muslim, no.2733, Ibnu Majah, no. 2895,  Ahmad, no. 20717,  26279)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:

1.     Setiap umat Islam dituntut untuk berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT dalam setiap pekerjaan serta perbuatan yang dilakukan.  Namun ia tidak akan sempurna tanpa doa. Doa ialah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah SWT. Dengan berusaha kita melaksanakan sebaik tadbir tetapi dengan berdoa kita mengharapkan sebaik takdir. Apabila bergabung tadbir dan takdir yang baik, in sya Allah kita akan berubah ke arah yang lebih baik.

 

2.    Apabila selesai berdoa, hendaklah kita menutupnya dengan menyebut ‘آمِينَ’ bermaksud: “Perkenankanlah” atau “Ya Allah, terimalah doa kami”. Ia boleh dibaca sama ada panjang atau pendek mengikut bahasa Arab. Al-Hafiz al-Munziri berkata:  “Dikatakan bahawa ‘آمِينَ’ merupakan satu nama daripada nama-nama Allah SWT. Dalam hadith ini menceritakan sifat Ummul al-Darda’ yang meminta Shafwan yang akan mengerjakan haji untuk mendoakan kebaikan buatnya sekeluarga. Ini adalah sifat seorang mukmin yang sentiasa mengharapkan doanya diterima Allah SWT. Antara sebab-sebab doa diterima adalah bergantung kepada amalan (antaranya bermusafir), tempat (seperti di Mekah, Madinah dan padang ‘Arafah), masa (seperti pada 9 Zulhijjah) dan individu yang berdoa itu sendiri (sifat ketaqwaannya).  Kesemua sebab-sebab doa diterima ini dimiliki oleh seseorang yang mengerjakan haji. Bahkan doa akan diterima pada setiap kali seorang Muslim mendoakan saudaranya ketika berjauhan dan tanpa diketahui maka itulah tanda keikhlasan seseorang yang berdoa. Apatah lagi doanya pula diaminkan oleh malaikat yang diutuskan , maka sudah pasti doanya diterima Allah SWT.

 

3.       Justeru, perbanyakkanlah doa dengan penuh  rasa raja’ (pengharapan) agar doa itu diterima dan rasa khauf  (takut) doa itu akan ditolak. Sungguh ajaib dan indahnya berdoa tatkala di padang ‘Arafah itu berjuta-juta umat Islam berdoa dalam pelbagai bahasa, pelbagai permintaan dan hajat, semuanya itu pasti akan diterima Allah SWT Yang Maha Mendengar.

 

Sumber rujukan:

  • Kitab Sahih Muslim
  • Kitab Sunan Ibn Majah
  • Kitab Musnad Ahmad
  • Kitab Syarah Sahih Muslim