A- A A+





Koleksi Hadith Harian
Senarai Koleksi Hadith Harian
Perawi: Ummu Salamah
Koleksi: Sahih Al-Bukhari
Kitab: 3. كِتَابُ العِلْمِ - Ilmu
Bab: Ilmu dan berpesan pada waktu malam
No. Hadith: 115
Matan Hadith:

حَدَّثَنَا صَدَقَةُ أَخْبَرَنَا ابْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ مَعْمَرٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ هِنْدٍ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ وَعَمْرٍو وَيَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ هِنْدٍ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ :اسْتَيْقَظَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَقَالَ: سُبْحَانَ اللهِ, مَاذَا أُنْزِلَ اللَّيْلَةَ مِنْ الْفِتَنِ وَمَاذَا فُتِحَ مِنْ الْخَزَائِنِ أَيْقِظُوا صَوَاحِبَاتِ الْحُجَرِ فَرُبَّ كَاسِيَةٍ فِي الدُّنْيَا عَارِيَةٍ فِي الْآخِرَةِ
التخريج: صحيح البخاري , كتاب العلم , باب العلم والعظة بالليل , حديث رقم 115 , عن أم سلمة رضي الله عنها.

Terjemahan:

Daripada Ummu Salamah RA, beliau berkata: "Pada suatu malam Nabi SAW terbangun (dalam keadaan gusar dan gelisah) lalu bersabda: " سُبْحَانَ اللهِ (Maha Suci Allah), fitnah-fitnah apakah yang diturunkan pada malam ini? Dan (fitnah) apakah yang akan dibukakan daripada perbendaharaan harta yang melimpah-ruah? Bangunlah! (untuk mendirikan malam) wahai orang-orang yang ada di sebalik dinding-dinding (isteri-isteri baginda), kerana betapa ramai orang yang berpakaian di dunia (terutamanya wanita) tetapi akan telanjang di akhirat nanti." (Hadith riwayat Al-Bukhari, No. 115, 1126, 3599, 6218, At-Tirmizi, No. 2196)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:
  1. Lafaz سُبْحَانَ اللَّهِ adalah tasbih yang bermaksud Maha Suci Allah. Apabila seseorang Muslim melafazkan tasbih hendaklah terlintas di dalam hatinya dengan penuh taajub bahawa Allah SWT itu Maha Agung dan Maha Sempurna,  tidak ada kekurangan atau kelemahan. Maka, akan lahirlah perasaan bahawa diri ini adalah hamba yang hina, yang memiliki kekurangan dan banyak membuat kesilapan.
  1. Rasulullah SAW sering memberi peringatan kepada umat baginda mengenai bahaya fitnah-fitnah yang akan  diturunkan ke atas  mereka. Antara fitnah yang disebutkan oleh baginda SAW adalah fitnah harta kerana jika ianya tidak diuruskan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya, maka ia akan menjerumuskan pemiliknya ke dalam neraka. Manakala yang dimaksudkan dengan “betapa ramai orang yang berpakaian di dunia tetapi akan bertelanjang di akhirat nanti” ialah para wanita yang seperti berpakaian di dunia (dengan pakaian yang berwarna-warni lagi mahal) tetapi tidak menutup auratnya dengan sempurna sebenarnya adalah bertelanjang di akhirat nanti. Begitu juga yang dimaksudkan dengan seseorang yang banyak melakukan amal ibadah kepada Allah SWT di dunia tetapi amalan tersebut dipenuhi dengan takabur (sombong), riya' dan tidak ikhlas kepada Allah, maka di akhirat nanti amalan tersebut seolah-olah bertelanjang tidak memiliki apa-apa ganjaran.
  1. Oleh itu, marilah kita menginsafi diri dengan banyak mendirikan malam untuk beribadat kepada Allah SWT. Selain itu, setiap Muslim hendaklah mengajak ahli keluarga bersama-sama untuk bangun malam beribadah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW. Setiap Muslim dan Muslimah turut dituntut menjaga aurat dengan sempurna baik ketika berpakaian mahupun dalam setiap muamalah. Pastikan juga setiap Ibadah yang dilakukan adalah benar-benar ikhlas kepada Allah SWT.

Sumber Rujukan :

  1. Kitab Sahih al-Bukhari
  2. Kitab Jami’e at-Tirmizi
  3. Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani
  4. Kitab Tuhfatul Al-Ahwazi Li Mubarakfuri
  5. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykah Al-Masobih Li Ali Al-Qari