A- A A+





Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith
Senarai Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith

Bulan Ramadhan memberi kesempatan bagi seseorang hamba merebut dan memperbanyakkan amalan agar amalan tersebut menjadi kelaziman setelah habisnya Ramadhan. Inilah kesempatan dan keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW walaupun umurnya pendek tetapi diberikan anugerah sebegini bagi memberatkan amalan di akhirat nanti. Alangkah ruginya bagi seseorang apabila datangnya bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat kebaikannya, malah dia masih lalai dan bergelumang dengan noda serta dosa. Banyak hadith yang memberikan galakan dan fadhilat bagi yang menjiwai ibadah-ibadah dalam bulan Ramadhan yang akhirnya akan menjadi amalan kelaziman serta istiqamah dilakukan di bulan-bulan yang lain. Namun ada juga hadith-hadith yang memberikan peringatan agar kedatangan Ramadhan ini tidak sia-sia tanpa amalan, pengampunan, rahmat dan kesan ibadah-ibadah lain pergi dengan berlalunya Ramadhan. Inilah kesempatan yang telah diberikan Allah SWT kerana yang telah pergi tidak akan kembali lagi. Beberapa hadith untuk dihayati bersama, antaranya:

 

1. Bulan Ramadhan Perbanyakkan Amalan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ ‏ ‏رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ.مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

-أخرجه البخاري في صحيحه , كتاب بدء الوحي , حديث رقم 6 , عن إبن عباس رضي الله عنهما.

Maksudnya:

Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata; b  ahawa Rasulullah SAW merupakan orang yang paling pemurah melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda SAW akan bertambah menjelangnya bulan Ramadhan tatkala malaikat Jibril AS menemui Baginda SAW. Jibril AS akan datang menemui Baginda SAW pada setiap malam pada bulan Ramadhan, lalu Jibril AS mengajarkan al-Qur’an kepada Baginda SAW. Sesungguhnya Baginda SAW bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.” (Muttafaqun ‘Alayh, riwayat al-Bukhari, no. 6, 1906, 3220, 3554, 4997, Muslim, no: 2308)

Pengajaran hadith :

1. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Pencipta-Nya. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadahnya pada bulan Ramadhan sahaja dengan tidak beramal pada bulan yang lain, tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang dan momentum memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik.

 

2. Antara amalan kebaikan yang selalu dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan adalah bertadarus al-Qur’an. Al-Qur’an adalah Kalamullah yang diturunkan oleh Allah SWT dan mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW, yang akan diberikan pahala apabila membacanya. Setiap Muslim dituntut membaca al-Qur’an pada setiap hari, terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia ini kerana dengan bertadabbur makna dan isi al-Qur’an akan meningkatkan keimanan dan kekayaan hati ke arah kebaikan. Bahkan demi kebesaran dan kemuliaan Ramadhan, maka Allah SWT menurunkan al-Qur’an pada bulan tersebut.

 

3. Marilah kita bersama-sama mengisi kedatangan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan memperbanyakkan bersedekah, mempelajari dan mengajarkan al-Quran kerana pada bulan ini adalah bulan yang dipenuhi keberkatan serta dihidangkan di dalamnya dengan pelbagai amal ibadah yang pahalanya digandakan.

 

2. Mendapat Keampunan

2.1- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. متفق عليه

-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الإيمان، باب صوم رمضان إحتسابا من الإيمان، حديث رقم 38 و 2014.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan keredhaan Allah) akan diampunkan dosanya yang terdahulu." (Muttafaqun 'Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 38, 2014, Muslim, no. 760)

 

2.2- عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قال : أَنَّ َرسُوْلَ الله صلى الله عليه وسلم قَالَ : مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. متفق عليه.

-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب صلاة التراويح ، باب فضل من قام رمضان، حديث رقم2009  و 38.

Maksudnya:

Daripada Abi Hurairah RA, beliau berkata; bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab

(mengharapkan keredhaan Allah) akan diampunkan dosanya yang terdahulu. (Muttafaqun 'Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 37, 2009, Muslim, no. 759)

 

Pengajaran hadith :

1. Allah SWT telah menfardhukan puasa pada bulan Ramadhan dan telah menjadikan berdiri pada malam harinya yakni solat sunat tarawih sebagai satu amalan sunat kepada umat Nabi Muhammad SAW. Daripada kenyataan ini dapat diketahui bahawa perintah untuk solat sunat tarawih datang daripada Allah SWT sendiri dan amalan tersebut adalah sunat sebagaimana yang telah disepakati oleh semua imam mazhab.

 

2. Jumhur Ulama As-Syafie, mazhab Imam Abu Hanifah, Mazhab Imam Ahmad dan sebahagian ulama mazhab Maliki telah bersepakat mengatakan solat sunat tarawih ini yang afdhalnya dilakukan secara berjemaah sebagaimana yang telah dilakukan oleh Syaidina Umar dan para sahabat (r.anhum). Ianya merupakan syiar daripada syiar-syiar Islam sebagaimana solat sunat hari raya. Jadi janganlah kita disebabkan terlalu kenyang berbuka sampai tidak larat dan malas untuk pergi menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid kerana hanya pada bulan ini sahajalah solat sunat tarawih dapat dilakukan.

 

2.3- عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ قَامَ لَيْلَةُ الْقَدْرِ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. متفق عليه .

-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الصوم، باب من صام رمضان إيمانا واحتسابا ونية، حديث رقم 1901.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW  bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan keredhaan Allah) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.

(Muttafaqun 'Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 1901, 2014, Muslim, no. 760)

 

Pengajaran hadith:

Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredhaan dan keampunan dari-Nya. Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.

 

3. Mendapat Pahala Ibadah Selama 1000 Bulan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ لِلَّهِ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.

-        رواه النسائي في سنن الصغرى،  كِتَاب الصِّيَامِ ، بَاب فَضْلِ شَهْرِ رَمَضَانَ، حديث رقم 2106، عن أبي قلابة، وانظر "مسند أحمد" (7148، 9493، 8979) تحقيق شاكر، عن أبي هريرة، قال الشيخ أحمد شاكر في التعليق على مسند أحمد (7148) ، إسناده صحيح، وفى "التهذيب" يقال أنه لم يسمع من أبي هريرة ولم أجد ما يؤيد هذا، وأبو قلابة -عبد الله بن زيد- لم يعرف بتدليس والمعاصرة كافية في الحكم بوصل الإسناد.

Maksudnya :

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata;, Rasulullah SAW bersabda : “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang dipenuhi keberkatan , bulan dimana Allah menfardhukan pada siangnya berpuasa, bulan dimana dibukakan pintu-pintu langit, bulan dimana pintu-pintu neraka ditutup, bulan dimana syaitan-syaitan dirantaikan, bulan dimana padanya ada satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mendapat kebaikan pada bulan ini maka rugilah dia”. (Hadith sahih riwayat An-Nasaie, no. 2106, Ahmad, no. 7148,8979,9493).

Pengajaran Hadith :

1. Lailatul Qadr adalah satu anugerah daripada Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Seseorang yang dapat beribadat pada malam itu Allah SWT akan mengandakan amalan itu seumpama dia beribadat selama seribu bulan yang bersamaan dengan lapan puluh tiga tahun lebih. Keistimewaan ini kerana umur umat Nabi Muhammad SAW yang pendek maka Allah SWT dengan sifat Rahim-Nya menganugerahkan malam ini kepada umat ini.

2. Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang tarawih, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah SWT akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut.

3. Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredhaan dan keampunan dari-Nya.Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.Di akhir hadith ini Nabi SAW memperingatkan kita akan kerugian yang akan dialami apabila kita terlepas malam tersebut. Sebenarnya tidak syak lagi terhadap kerugian seseorang yang dinyatakan itu apabila nikmat yang sedemikian besar adalah dimusnahkan oleh tangannya sendiri.

 

4.  Ancaman Kepada Yang Mensia-siakan Ramadhan

Disini dinyatakan beberapa riwayat hadith yang berkaitan;

 

4.1- عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، " أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقَى الْمِنْبَرَ ، فَلَمَّا رَقَى الدَّرَجَةَ الأُولَى ، قَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّانِيَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّالِثَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، سَمِعْنَاكَ تَقُولُ : آمِينَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ؟ قَالَ : لَمَّا رَقِيتُ الدَّرَجَةَ الأُولَى جَاءَنِي جِبْرِيلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ".

-أخرجه البخاري في الأدب المفرد , باب منذكر عنده النبي (ص) فلم يصل عليه, رقم حديث 644 وقال السخاوي: هو حديث حسن. والطبراني في تهذيب الأثار, باب مسند طلحة بن عبيد الله, رقم حديث 356. والدارقطني في الأفراد كما في التهذيب التهذيب (7/195) وإبن شاهين في فضائل شهر رمضان (9) والبيهقي في الشعب (3350) وإبن عساكر في فضائل شهر رمضان (6) وغيرهم.

Maksudnya:

Daripada Jabir bin ‘Abdullah RA, bahawa Nabi SAW menaiki mimbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut: “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut: “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut: “Amin”. Para sahabat bertanya: “Ya Rasullullah, kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali”. Baginda menjawab: “Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata: “Celakalah seseorang hamba yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin.” Kemudian Jibril berkata: “Celakalah seseorang hamba yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkan nya ke dalam syurga. Aku pun menyebut Amin.” Kemudian Jibril berkata: “Celakalah seseorang hamba yang nama engkau (iaitu nama Rasullullah SAW) di sebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut Amin.” (Hadith hasan riwayat al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad,  no. hadith: 644, al-Tabrani dalam al-Tahzib al-Athar, no. hadith: 356, al-Daruqutni dalam al-Afrad, 7/195, al-Baihaqi dalam al-Syu‘ab, no. hadith: 3350, Ibn Syahin dalam Fadhail Syahru Ramadhan, no. hadith: 9, Ibn ‘Asyakir dalam Fadhail Syahru Ramadhan, no. hadith: 6).

 

4.2- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ  :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ.

-أخرجه الترمذي في سننه, كتاب الدعوات, باب قول رسول الله (ص) رغم أنف رجل..., رقم حديث 3545 , عن أبي هريرة رضي الله عنه, وقال أبو عيسى : هذا حديث حسن غريب من هذا الوجه وأحمد في مسنده (2/254) رقم حديث 7139, وإبن حبان في صحيحه (908) والحاكم في المستدرك (1/549)  حديث رقم 7256, والبيهقي في الدعوات (152) وغيرهم.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Celakalah seseorang apabila namaku disebut-sebut di hadapannya dan dia tidak mengucapkan selawat kepadaku. Dan celakalah seseorang, apabila Bulan Ramadhan menemuinya kemudian berlalu pergi sebelum dia mendapatkan keampunan, dan celakalah seseorang yang kedua orang tuanya berusia lanjut namun kedua orang tuanya tidak dapat memasukkannya ke dalam Syurga (kerana kebaktiannya)." (Hadith riwayat At-Tirmizi, no. hadith: 3545, dengan katanya hadith ini hasan gharib, Ahmad, no. hadith: 7139, Ibn Hibban dalam sahihnya, no.hadith: 908, al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. hadith:  7256, al-Baihaqi dalam al-Da‘waat, no.hadith: 152)

 

4.3- عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآَلِهِ وَسَلَّمَ : " احْضَرُوا الْمِنْبَرَ " ، فَحَضَرْنَا ، فَلَمَّا ارْتَقَى دَرَجَةً ، قَالَ : " آمِينَ " ، فَلَمَّا ارْتَقَى الدَّرَجَةَ الثَّانِيَةَ ، قَالَ : " آمِينَ " ، فَلَمَّا ارْتَقَى الدَّرَجَةَ الثَّالِثَةَ ، قَالَ : " آمِينَ " ، فَلَمَّا نَزَلَ ، قُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، لَقَدْ سَمِعْنَا مِنْكَ الْيَوْمَ شَيْئًا مَا كُنَّا نَسْمَعُهُ ، قَالَ : " إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ الصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَرَضَ لِي ، فَقَالَ : بُعْدًا لِمَنْ أَدْرَكَ رَمَضَانَ فَلَمْ يَغْفَرْ لَهُ ، قُلْتُ : آمِينَ ، فَلَمَّا رَقِيتُ الثَّانِيَةَ ، قَالَ : بُعْدًا لِمَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، قُلْتُ : آمِينَ ، فَلَمَّا رَقِيتُ الثَّالِثَةَ ، قَالَ : بُعْدًا لِمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ عِنْدَهُ أَوْ أَحَدُهُمَا ، فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، قُلْتُ : آمِينَ " . هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحُ الإِسْنَادِ ، وَلَمْ يُخَرِّجَاهُ .

-أخرجه الحاكم في المستدرك, كتاب البر والصلة, باب سعيد إبن أبي مريم (4/134-135), حديث رقم 7321, وقال الذهبي هذا حديث صحيح الإسناد ، ولم يخرجاه, والطبراني في الكبير (19/144( والبيهقي في الشعب (1471) والبخاري في الكبير (4/1/220) وغيرهم.

Maksudnya:

Daripada Ka’ab bin ‘Ujrah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar”. Maka kami pun berhimpun. Lalu baginda menaiki anak tangga mimbar dan berkata: “Amin.” Ketika naik ke anak tangga kedua, baginda berkata lagi: “Amin.” Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, baginda berkata lagi: “Amin.” Dan ketika baginda turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu daripada tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail A.S telah membisikkan (doa) kepadaku dengan berkata: “Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni.” Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: “Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan selawat ke atasmu.” Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: “Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya (telah tua), namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga (dengan berbakti kepadanya).” Lalu aku pun mengaminkannya. (Hadith sahih riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. hadith: 7321, al-Tabrani dalam al-Kabir (19/144), al-Baihaqi dalam al-Syu‘ab, no.hadith: 1471, al-Bukhari dalam al-Kabir (4/1/220)

Dalam mengakhiri Ramadhan yang berbaki, marilah kita bermusahabah dan menilai kembali ibadah-ibadah yang telah kita lakukan adakah memenuhi piawaian yang dikehendaki Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Al-Hafiz Ibnu Rajab dalam kitabnya Lataif al-Ma’arif, m/s: 264, menyebutkan satu riwayat yang menunjukkan semangat para salafussoleh dalam menyambut Ramadhan dengan menyebutkan keterangan Mu’alla bin Al-Fadhl (ulama tabi’ tabiin)  yang mengatakan:

كانوا يدعون الله تعالى ستة أشهر أن يبلغهم رمضان يدعونه ستة أشهر أن يتقبل منهم

(Dulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadhan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadhan. Kemudian, selama enam bulan sesudah Ramadhan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka selama bulan Ramadhan).

Yahya bin Kathir seorang ulama tabi’in senantiasa memohon kepada Allah SWT dengan doa berikut ini:

اللّهُمَّ سَلِّمْنِي إِلىَ رَمَضَانَ وَسَلِّمْ لِي رَمَضَانَ وَتَسَلَّمْهُ مِنِي مُقَبَّلاً

(Ya Allah, sampaikanlah daku kepada bulan Ramadhan, sampaikanlah bulan Ramadhan kepadaku dan terimalah ia daripadaku dengan sebenar-benar penerimaan).” (Lihat: Lathaif al-Ma’arif, m/s: 264)

Sesungguhnya para sahabat Nabi SAW senantiasa merindui kedatangan Ramadhan dan akan menangisi apabila perginya Ramadhan serta berharap agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.

Pin It