A- A A+





Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith
Senarai Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW hingga hari kiamat.

Allah SWT telah menjadikan satu malam yang istimewa berbanding malam-malam lain yang mana dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan pada malam tersebut. Ia dijelaskan melalui nas al-Quran dan banyak hadith Nabi SAW. Kita dituntut untuk memperbanyakkan berdoa pada setiap malam Ramadhan terutama pada sepuluh malam terakhir. Terdapat hadith yang menceritakan berkaitan doa yang diajar oleh Nabi SAW kepada isterinya iaitu Aisyah RA apabila bertemu malam yang mulia ini.

Daripada ‘Aisyah RA, beliau berkata, aku telah bertanya; “Wahai Rasulullah SAW, beritahulah kepadaku sekiranya aku mengetahui malam manakah Lailatul Qadr, apakah doa yang sepatutnya aku pohon?” Baginda SAW bersabda, berdoalah:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

(Ya Allah! Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun dan amat suka akan pengampunan, maka ampunilah daku.” (Hadith sahih riwayat al-Tirmizi, no. 3513, Ibn Majah, no. 3850, Ahmad, no. 25384, al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 1985)

 

MATAN HADITH

عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ :قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ: أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيِّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ اْلقَدْرِ مَا أَقُوْلُ فِيْهَا؟: قَالَ قُوْلِي: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي.   

TAKHRIJ

  •  3850 سنن ابن ماجه، كتاب الدعاء، باب الدعاء بالعفو والعافية، حديث رقم 
  • سنن الترمذي، كتاب الدعوات، باب منه، حديث رقم 3513، وقال أبو عيسى: هذا حديث حسن صحيح.
  • مسند أحمد، باقي مسند الأنصار، حديث السيدة عائشة رضي الله عنها، حديث رقم 25384.
  • المستدرك على الصحيحين، كتاب الدعاء والتكبير والتهليل والتسبيح والذكر، حديث رقم 1985، وقال:صحيح على شرط الشيخين ولم يخرجاه

STATUS HADITH

Imam al-Tirmizi dalam sunannya menilai hadith ini sebagai hasan sahih dan Imam Al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak mengatakan hadith ini sahih mengikut syarat ‘al-Syaikhain’. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’utd menghukum sanad hadith ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah.

 

 

SEMAKAN HADITH

Daripada riwayat-riwayat yang ditemui dalam kitab-kitab hadith dan fiqh, kebanyakannya tiada penambahan lafaz “كَرِيمٌ” melainkan hanya pada riwayat at-Tirmizi dalam sunannya. Walaubagaimanapun ada pengkritik hadith mengatakan bahawa penambahan ini tidak didapati di dalam Sunan al-Tirmizi yang telah ditahqiq dan ia juga tidak didapati di dalam kitab-kitab hadith yang lain dan tidak terdapat di dalam sumber-sumber yang dikatakan diambil daripadanya. Maka, zahirnya lafaz itu adalah mudrajah (penambahan daripada perawi atau orang lain dan ia bukanlah daripada Nabi SAW) dan itu adalah dilarang. Kesilapan tersebut mungkin daripada sebahagian orang yang menyalin atau mencetak kerana lafaz tersebut tidak terdapat di dalam cetakan hindiyyah bagi Sunan al-Tirmizi yang terdapat padanya Syarah Tuhfah al-Ahwazi oleh al-Mubarakfuri dan tidak ada juga pada yang lainnya. Selain itu, yang menguatkan bahawa lafaz tersebut adalah tambahan kerana Imam al-Nasa’ie di dalam sebahagian riwayatnya telah meriwayatkan melalui jalur yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan keduanya melalui guru mereka berdua (Imam al-Nasa’ie dan Imam al-Tirmizi) iaitu Qutaibah bin Said dengan sanadnya tanpa ada penambahan. Bahkan apabila dilihat jalur periwayatan perawi dalam sanad yang dibawakan oleh Imam al-Tirmizi juga adalah sahih dan apabila disemak dalam kebanyakan kitab Sunan al-Tirmizi yang telah ditahqiq dan dicetak semuanya meletakkan lafaz “كَرِيمٌ” tersebut. Antara semakan cetakan yang dirujuk seperti berikut:

BIL

NAMA KITAB

NAMA PENERBIT

TAHUN

JILID/ MUKA SURAT

1.

الجامع الصحيح وهو سنن الترمذي

دار إحياء التراث العربي، بيروت، لبنان

1995

5 / 534

2.

الجامع الصحيح وهو سنن الترمذي

دار عمران، بيروت

1938

5 / 534

3.

موسوعة السنة الكتب الستة وشروحها

دار سحنون

1992

14/4-5/534

4.

الكتب الستة

مكتبة الرشد

2005

1 / 2163

5.

تحفة الأحوذي شرح الجامع الترمذي

بيت الأفكار الدولية

1940

0 / 2488

 

KESIMPULAN

Berpandukan kepada rujukan dan sumber yang ada, maka adalah sesuatu yang mustahil dan tidak amanah jika benar sebagaimana dakwaan yang mengatakan penambahan lafaz “كَرِيمٌ” adalah kesilapan perawi atau penyalin atau pencetak. Justeru, tiada kesalahan untuk berdoa dengan lafaz tersebut sebagaimana yang terdapat dalam riwayat al-Tirmizi dalam sunannya iaitu:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

(Ya Allah! Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mulia dan amat suka akan pengampunan, maka ampunilah daku.” (Hadith riwayat al-Tirmizi, no. 3513, dengan mengatakan hadith ini hasan sahih).

والله أعلم.

 

Pin It